Moga ini nahas yang terakhir

Moga ini nahas yang terakhir

NORHANAZIELAH Hanazi (kiri) yang sarat mengandung anak ketiga menunjukkan gambar kenangan bersama arwah suaminya, Muhamad Eizreel Muhamad Roszaidi yang maut dirempuh penunggang motosikal lain semasa mahu membantu mangsa kemalangan maut di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, awal pagi Ahad lalu. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUMPULAN penunggang motosikal yang jumlahnya kadangkala boleh mencecah ratusan buah bukan pemandangan luar biasa di jalan-jalan utama sekitar Pulau Pinang khususnya pada malam minggu.

Jumlahnya boleh menjadi lebih besar dengan melibatkan beberapa kumpulan berbeza ketika musim perayaan atau cuti umum ekoran kehadiran belia bermotosikal dari luar Pulau Pinang khususnya dari negeri-negeri utara Semenanjung.

Lokasi-lokasi seperti Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, Jalan Batu Maung dan terbaharu, Jalan Berkembar Bukit Kukus adalah jalan yang popular dan sering dipenuhi kumpulan penunggang motosikal.

Barangkali faktor jalan raya yang sempurna dan luas dengan beberapa lorong serta memanjang seperti litar lumba, menarik perhatian kumpulan penunggang ini untuk menguji kecekapan serta ketangkasan mengendalikan motosikal mereka.

Namun, bagi penduduk tempatan khususnya yang tinggal berdekatan jalan-jalan raya utama ini, kehadiran kumpulan motosikal dalam jumlah yang besar itu ibarat mimpi ngeri buat mereka.

Acap kali penduduk khususnya yang sedang memandu disajikan dengan pemandangan aksi-aksi berbahaya daripada segelintir penunggang motosikal terbabit.

Ada yang memecut laju dan mencelah antara kenderaan lain, tidak kurang yang melakukan aksi zig-zag dan berbaring di atas motosikal seperti Superman ketika sedang memecut laju.

Bunyi deruan ekzos motosikal yang semestinya sudah diubah suai pada awal pagi juga kerap kali mengganggu tidur penduduk khususnya yang tinggal berdekatan dengan jalan-jalan utama.

Sudah terlalu banyak rungutan dan laporan dibuat penduduk kepada pihak berkuasa khususnya polis berhubung aktiviti kumpulan motosikal ini. Ibarat mencurah air ke daun keladi, kumpulan motosikal ini tetap memenuhi jalan-jalan raya untuk menguji minat dan jentera motosikal mereka setiap kali mempunyai peluang.

Bagaimanapun, kemalangan ngeri yang meragut empat nyawa penunggang motosikal dalam kejadian di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala Georgetown awal pagi Ahad lalu barangkali boleh menjadi titik perubahan kepada isu kumpulan motosikal ini yang sudah membelenggu penduduk tempatan sejak sekian lama.

Tidak dinafikan kemalangan ngeri itu serta kematian empat sekawan terbabit merupakan satu kejadian yang cukup tragis untuk dijadikan pengajaran.

Apatah lagi mereka yang terkorban terlalu muda dan hanya berusia belasan tahun serta awal 20-an yang sepatutnya masih mempunyai masa depan yang panjang.

Namun dari sudut lain, ia memberi isyarat bahawa sesuatu kejadian yang buruk boleh menimpa dalam kumpulan penunggang motosikal apatah lagi melibatkan jumlah yang ramai.

VIDEO

Video dan gambar kejadian itu yang tular di media sosial juga menunjukkan dengan jelas keadaan boleh menjadi tidak terkawal dan kecelakaan dalam kumpulan penunggang motosikal yang ramai sangat mudah untuk berlaku sama ada kepada penunggang motosikal itu sendiri atau lebih malang kepada pengguna jalan raya lain.

Kesan buruknya pula bukan sedikit tetapi sehingga boleh mengorbankan nyawa serta kecederaan yang mungkin terpaksa ditanggung penunggang motosikal terlibat sehingga ke akhir hayat.

Adalah diharapkan, tragedi awal pagi kelmarin menjadi yang terakhir dan tidak ada lagi ibu bapa atau waris yang terpaksa menerima kehilangan ahli keluarga mereka dalam kejadian seumpama itu.

Sebab itu, jalan terbaik untuk mengelak daripada menjadi mangsa adalah dengan menjauhi atau tidak melibatkan diri dalam kumpulan bermotosikal apatah lagi yang diketahui sedang merancang melakukan lumba haram.

Menunggang motosikal secara berkumpulan pada lewat malam sehingga awal pagi tanpa tujuan yang jelas juga tidak lagi wajar dibudayakan. Aktiviti itu khususnya di jalan-jalan utama di Pulau Pinang yang sentiasa sibuk dengan kenderaan tanpa mengira masa hanya mendedahkan mereka kepada risiko kemalangan.

Tanggungjawab menghentikan aktiviti menunggang motosikal beramai-ramai tanpa tujuan ini tidak boleh diserahkan kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semata-mata.

Operasi seperti sekatan jalan raya walau sekerap mana diadakan sekalipun tidak akan mampu menghentikan aktiviti itu apatah lagi dirancang dalam kumpulan penunggang motosikal yang ramai.

Kesedaran perlu hadir daripada kalangan kumpulan penunggang motosikal itu sendiri yang mana nyawa mereka cukup bernilai untuk dihabiskan di atas jalan raya hanya kerana aktiviti tidak bermanfaat seperti lumba haram. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Pulau Pinang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN