PADA 28 Jun lalu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Siti Zailah Mohd. Yusoff mendedahkan pihaknya mengesan terdapat ibu bapa khususnya golongan pertengahan dan elit yang malu mendaftar anak mereka sebagai orang kurang upaya (OKU).
Lumrahnya, ramai malu sekiranya mempunyai anak atau ahli keluarga yang berbeza daripada normal, yakni kekurangan keupayaan sifat fizikal atau mental.
Dalam kata lain, mempunyai ahli keluarga yang dikategorikan sebagai OKU atau cacat. Itu adalah perasaan lumrah bagi kebanyakan ibu bapa yang pertama kali berdepan situasi ini.
Namun, apa yang lebih membimbangkan ialah anak-anak ini bakal terlepas peluang menikmati kemudahan disediakan oleh kerajaan. Angkara risaukan kata-kata ejekan dan tohmahan, ada segelintir ibu bapa menyorokkan anak OKU daripada pengetahuan ramai termasuk mengurung mereka di dalam rumah.
Sedangkan sekiranya mereka lebih bersikap terbuka dan bersedia mendaftarkan anak OKU ini di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), banyak bantuan serta kemudahan bakal mereka peroleh.
Ini termasuklah sistem pendidikan lebih teratur agar anak-anak ini mampu belajar dengan suasana kondusif dan dikendalikan oleh tenaga pengajar atau guru terlatih. Ini amat perlu bagi memastikan masa depan yang lebih terjamin.
Terdapat tujuh kategori OKU boleh didaftarkan di bawah JKM iaitu kurang upaya pendengaran, kurang upaya penglihatan, kurang upaya pertuturan, kurang upaya fizikal, kurang upaya pembelajaran, kurang upaya mental dan kurang upaya pelbagai.
Melihat kepada statistik, jumlah OKU yang berdaftar dengan JKM setakat penghujung 2021 masih dikira rendah iaitu 587,608 daripada anggaran 4.8 juta populasi OKU di negara ini.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun, data JKM sehingga 30 November 2021 menunjukkan usaha bagi menggalakkan pendaftaran OKU perlu dilakukan secara lebih aktif dan agresif bagi memastikan semua golongan ini didaftarkan.
Perlu diingatkan, hanya OKU berdaftar secara rasmi layak menikmati pelbagai kemudahan dan keistimewaan disediakan oleh kerajaan. Tindakan JKM Johor baru-baru ini sewajarnya dicontohi dan diberi pujian dengan mengadakan kempen pendaftaran OKU terutama kanak kanak dalam usaha memastikan kebajikan golongan ini sentiasa terjaga.
Kerajaan Johor melalui JKM negeri itu, sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap kanak kanak OKU yang merupakan satu daripada kumpulan sasar jabatan itu. Promosi seperti ini seharusnya diperluaskan bagi menggalakkan orang ramai khususnya kanak-kanak OKU berdaftar segera dengan JKM di negeri masing-masing.
Masyarakat perlu lebih bersikap terbuka dan menerima OKU seperti anak-anak normal yang lain. Ini penting bagi memastikan golongan itu tidak dipinggirkan. Semua ibu bapa mesti mendaftarkan anak OKU di JKM agar mereka mendapat sokongan sewajarnya serta dapat diserapkan secara inklusif di dalam komuniti.
PEMULIHAN
Antara bantuan dan keistimewaan yang boleh dimanfaatkan selepas mereka mendaftar dengan JKM termasuk insentif kewangan serta peluang pekerjaan lebih luas. Di samping itu, kerjasama daripada semua pihak amat perlu agar tidak memandang rendah golongan OKU, sebaliknya harus memahami keperluan mereka dan seterusnya membantu menyediakan kemudahan sewajarnya buat mereka.
Pendaftaran OKU ini bukan sahaja bertujuan membantu mereka mendapatkan kemudahan malah dapat membantu memperkasakan pangkalan data dalam mengetahui bilangan, taburan serta kategori OKU bagi tujuan merancang program dan perkhidmatan berkaitan dengan pencegahan, sistem pendidikan serta pemulihan termasuk latihan yang bersesuaian.
Jumlah lebih tepat bagi golongan OKU sebenar di negara ini amat diperlukan agar penyediaan kemudahan bersesuaian dapat diwujudkan dengan lebih terancang.
Seterusnya jika semua golongan OKU ini dapat didaftarkan dengan sempurna, mereka juga bakal mendapat perkhidmatan bersesuaian dengan keperluan berdasarkan tahap kefungsian dan ketidakupayaan mereka. Ini penting agar mereka tidak tercicir daripada pendidikan, rawatan dan akhirnya peluang memajukan diri seperti golongan normal lain.
Beberapa langkah perlu dicadangkan agar golongan OKU ini lebih menitikberatkan urusan pendaftaran mereka di JKM seperti mana pentingnya pendaftaran kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Antara langkah yang boleh diwujudkan adalah melalui kempen pentingnya OKU berdaftar di stesen-stesen utama media massa mahupun media sosial.
Beberapa insentif boleh juga diberikan bagi tujuan ini. Seperti hadiah sagu hati bagi pendaftar terawal atau mungkin kad ahli yang menawarkan potongan harga bagi beberapa pasar raya utama.
Kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga amatlah digalakkan bagi menyantuni golongan OKU. Semangat serta keprihatinan pihak luar sedikit sebanyak mampu menyuntik semangat bagi golongan ini yang selalu merasakan mereka kurang diendahkan dan sering dianaktirikan oleh pelbagai pihak.
Selari dengan negara kita yang kian membangun, tiba masa semua rakyat bersikap lebih prihatin terhadap golongan ini. Pelbagai usaha haruslah diadakan agar semua rakyat dapat menikmati kemudahan yang tersedia dan dapat menjalinkan hubungan lebih harmoni tanpa mengira kelemahan dan kekurangan sesetengah golongan.
Semoga usaha murni untuk memberi kesedaran tentang pentingnya pendaftaran OKU ini, kehidupan yang lebih terurus dan sempurna mampu dikecapi. Malaysia milik kita semua, inilah semangat Keluarga Malaysia. – UTUSAN
MARHANI Mohamed Anuar dan Dr. Mohd. Hafiz Zulfakar ialah Pensyarah Jabatan Pengajian Teknologi & Pengurusan Rantaian Bekalan, Fakulti Pengurusan & Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor.










