TREND pemakaian kanta lekap atau kanta sentuh (contact lens) walaupun tidak rabun atau mempunyai masalah penglihatan sering menjadi pilihan seseorang untuk melengkapkan gaya selain dapat menyerlahkan keyakinan.
Pakar Optometris di MOG Eyewear, Suyidatina Sulaiman berkata, ramai yang masih tidak mengetahui bahawa kanta sentuh adalah peranti perubatan yang mesti dipreskripsi oleh pakar penjagaan mata bertauliah bagi mengelakkan sebarang risiko seperti jangkitan kuman.
“Walaupun kanta sentuh adalah antara pilihan yang dipercayai, berkesan dan mudah didapati di pasaran. Namun risiko jangkitan mata akan semakin meningkat jika tidak menjaga kanta sentuh dengan betul.
“Kanta sentuh yang diperoleh daripada sumber yang tidak sah dan tidak mengikuti garis panduan yang betul boleh mendatangkan masalah yang tidak diingini,” katanya kepada Seri.
KELEBIHAN KANTA LEKAP
Sebagai alternatif kepada cermin mata konvensional, kanta sentuh juga boleh mengurangkan kesan presbiopia (rabun tua – kehilangan secara beransur-ansur keupayaan mata untuk fokus pada objek dekat disebabkan faktor usia) yang boleh dirawat dengan menggunakan kanta sentuh multifokal.
Sebaliknya, bagi individu yang mempunyai astigmatisme (kekaburan penglihatan akibat lengkungan permukaan kanta mata atau kornea), boleh berunding dengan pakar optometris berkaitan kanta sentuh lembut toric.
“Kanta ini mempunyai rekaan khusus bagi membetulkan astigmatisme kornea atau lentikular. Kanta sentuh ini biasanya tersedia dalam pilihan pakai buang harian atau bulanan untuk mengikut bajet dan mempunyai pelbagai jenis, saiz serta warna,” katanya.
Fizikal – Ia selamat dan fungsinya lebih baik daripada kaca mata untuk yang bergerak aktif. Ini kerana kanta sentuh memberikan penglihatan yang lebih luas, jelas dan kurang risiko kecederaan.
Kecantikan – Tampak lebih menarik dan bergaya. Kornea atau anak mata tidak cantik boleh disembunyikan di sebalik kanta sentuh berwarna serta meningkatkan tahap keyakinan.
Optikal – Imej lebih besar, penyebaran cahaya lebih baik, kurang penyimpanan imej di bahagian sisi dan pandangan lebih luas.
PILIH KANTA LEKAP
Kemajuan teknologi di sebalik kanta sentuh lembut juga boleh mengurangkan kemungkinan mengalami gejala mata kering dengan pengenalan bahan seperti silikon hidrogel, pengenalan ‘kanta air’ dan pelbagai jenis.
Ada beberapa keadaan mata yang boleh dirawat dengan menggunakan kanta sentuh termasuk rawatan orthokeratologi. Bagaimanapun, perlu merujuk pakar untuk penentuan kanta sentuh yang terbaik berdasarkan lengkung kornea dan keadaan permukaan mata.
Kanta sentuh lembut – Boleh digunakan untuk luka atau ulser di kornea, Bullous keratitis, sindrom Steven-Johnson, Neuroparalytic keratitis dan Exposure keratitis.
Kanta sentuh keras – Untuk mata kering, Keratoconus dan astigmatisme (masalah penglihatan biasa).
TANDA SALAH PILIH KANTA
Gejala ketegangan mata kerap terjadi disebabkan penggunaan mata secara berterusan yang menyebabkan keletihan mata.
Jika masalah penglihatan tidak dirawat, maka akan timbulnya masalah postur yang mana perlu menegangkan leher untuk melihat dengan lebih dekat dan jelas.
Tabiat ini melemahkan otot leher dan bahu yang seterusnya boleh menyebabkan kesakitan badan.
Kita mungkin menganggap bahawa gejala migrain mungkin disebabkan oleh tekanan kerja atau jadual tidur yang tidak teratur, sakit kepala yang berulang namun gejala ini barangkali disebabkan pemilihan kanta yang salah.
KEBURUKAN KANTA LEKAP
1) Dibiarkan terlalu lama dalam mata dan tidak direndam dalam solusi khas.
2) Mudah mendapat jangkitan pada mata, parut dalam kornea dan jadi buta.
3) Kerosakan pada kanta apabila tidak menyimpan dalam bekas yang disediakan.
WARNA MATA SESUAI KULIT
Warna gelap (coklat atau kelabu lembut) – Untuk wajah berkulit kuning langsat dan sawo matang. Sesuai digunakan pada majlis tunang dan nikah untuk efek natural.
Warna terang – Kulit wajah lebih cerah boleh match dengan semua jenis warna kanta tetapi elak warna yang keterlaluan bersesuaian dengan majlis.
Mata hitam kecil – Saiz kanta 14 milimeter (mm) hingga 15mm.
Mata hitam besar – Saiz kanta 15mm hingga 16 mm.










