'Suami suka beri hadiah kejutan itu bonus' - Utusan Malaysia

‘Suami suka beri hadiah kejutan itu bonus’

Nursyafiqah Aina Abdul Wahab mahu membuktikan dirinya tidak sekadar model atau instafamous.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebalik pesona dan keanggunan, dia pernah dikecam teruk. Pun begitu, usahawan dan pengasas klinik estetik, Ainaa Clinic, Nursyafiqah Aina Abdul Wahab, 28 tidak pernah berputus asa dalam meneruskan perniagaannya bila orang ramai membuta tuli mengatakan dia berniaga produk timbang kilo.

Sehinggakan ada pengguna media sosial menghinanya dalam laman sosial dengan aksi sengaja mencampak produknya ke lantai. Lemah semangatnya. Namun dia terus bangkit dan buktikan kepada masyarakat bahawa apa yang mereka katakan itu tidak benar.

Itu cerita empat tahun lepas. Hari ini Pengasas Ainaa Beauty, membuktikan jenamanya bukan produk sampah dengan mengembangkan sayap perniagaan menerusi pembukaan klinik estetik di ibu kota, Ainaa Clinic yang dilengkapi dua doktor perubatan.

Nursyafiqah Aina memulakan kerjaya sebagai model pakaian Muslimah pada 2016 dan bergiat aktif di media sosial.

“Bergelumang dalam glamor membolehkan saya berkenalan dengan ramai pemilik jenama terkenal. Sedikit sebanyak ilmu niaga tertumpah pada diri saya,” katanya kepada Seri.

Selepas mendirikan rumah tangga pada 2017 Nursyafiqah Aina tidak lagi menjadi model sebaliknya menumpukan perhatian pada dunia perniagaan.

“Saya mahu membuktikan diri ini bukan sekadar seorang model atau instafamous. Saya mahu lebih lagi. Saya menyertai bidang perniagaan pada Januari 2018. Biarpun bermula dengan kosong saya yakin boleh melaluinya,” katanya.

Lebih daripada itu dia mahu memastikan karier pilihannya itu mampu memberi sesuatu dalam perkembangan peribadinya seperti belajar perkara baharu dan mengumpul pengalaman sebanyak mungkin dalam setiap perjalanan membina perniagaan.

MENCABAR DAN BERBEZA
Menjual produk kecantikan dan membuka klinik estetik, sungguh berbeza sungguhpun ia menjurus kepada misi yang sama iaitu mahu cantik.

“Klinik ini adalah inovasi atau perkembangan perniagaan Ainaa Beauty. Kedua-dua bidang ini sangat mencabar sebab ia berbeza. Tetapi saya mahu enjoy the journey. Pada saya, pengalaman sesuatu yang berharga untuk saya lebih menghargai apa yang saya lakukan ini,” katanya.

Lebih setahun juga jenamanya itu melalui proses mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Dalam setahun itu juga klinik kami sudah siap tetapi kami masih tidak boleh beroperasi. Walaupun kos pengurusan tetap berjalan, saya reda dan akhirnya penantian saya berbaloi,” katanya. Klinik itu dibuka secara rasmi baru-baru ini.

MEDIA SOSIAL KE ARAH POSITIF
Memiliki lebih sejuta pengikut di media sosial, Nursyafiqah Aina mengakui tidak mudah menjadi insan dikenali. Namun dia bersyukur medium itulah juga banyak memberi manfaat pada pembangunan perniagaannya.

“Zaman ini, terlalu banyak peluang di depan mata. Sebagai wanita, cuba keluar daripada zon selesa yang mana wanita selalu mengharapkan bantuan dan kerjaya suami untuk menampung kehidupan diri serta keluarga. Keluarlah mencari sesuatu untuk menjana duit tambahan, bukan untuk kepentingan diri sahaja tapi untuk kepentingan jika berlaku apa apa kecemasan,” katanya.

Jelasnya stigma masyarakat bahawa wanita lemah dan hanya dapur tempat wanita perlu diubah.

“Wanita perlu berdikari dan menjana pendapatan, mengambil risiko serta membuat keputusan sendiri. Selama ini, masyarakat terbiasa dengan stigma wanita tidak mampu untuk menonjol setanding lelaki. Hidup mereka hanya berakhir sebagai menjadi suri rumah dan duduk di dapur. Realitinya, ramai wanita yang lebih berkebolehan melakukan pelbagai perkara,” katanya.

BANTU INSAN MEMERLUKAN
Pertubuhan AINAA ditubuhkan untuk membantu insan kurang bernasib baik meneruskan kehidupan.

Kata Nursyafiqah Aina sejak mula berniaga lagi, dia suka memperbanyakkan aktiviti untuk membantu masyarakat memerlukan.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020 sama seperti usahawan lain yang gementar kerana tidak tahu apa yang akan berlaku terhadap masa depan perniagaan. Namun jualan untuk produk kecantikan saya meningkat, malah melebihi jualan daripada sebelum PKP,” katanya.

‘Suami suka buat kejutan itu bonus’
Bagi mereka yang mengikuti perkembangannya, Nursyafiqah Aina dianggap wanita bertuah kerana mempunyai suami romantis yang suka memberi hadiah kejutan untuk dirinya.

Bermula dirinya masih bergelar kekasih, tunang sehingga kini menjadi isteri, si jelita ini dihujani pelbagai kejutan seperti menaiki limosin, menerima hadiah kereta Honda merah dan percutian mewah.

Namun Nursyafiqah Aina berkata, dia menganggap setiap kejutan itu sebagai bonus tetapi apa yang lebih penting adalah layanan suami terhadap dirinya sebagai isteri.

“Setiap lelaki mempunyai cara berbeza menghargai pasangannya, meskipun tidak diberikan barang berharga dan segala kemewahan.

“Ini kerana kebahagiaan atau kegembiraan itu bukan bersandarkan harta benda. Bukan cara kejutan tu yang boleh menggembirakan kita.

“Bagi saya, barang-barang mahal itu tak buat saya bahagia. Tapi sebab suami jenis suka membuat kejutan, jadi ia adalah bonus untuk saya,” katanya.

Lebih daripada itu, jelitawan ini bersyukur kerana suami menerima dirinya seadanya sejak mereka mula berkenalan kira-kira enam tahun lalu.

“Dari berbadan gempal dan muka berjerawat hinggalah anggun seperti sekarang, suami sentiasa ada di sisi memberikan sokongan. Kata suami, kalau kita berhenti sekarang, kita akan gagal. Tetapi kalau kita teruskan, percayalah satu hari nanti kita akan menang, dengan mengubah pandangan orang terhadap jenama dan produk kami usahakan,” katanya.

Walaupun dihimpit kesibukan Nursyafiqah Aina sering dahulukan keperluan keluarga sebelum mula menguruskan perniagaan termasuk membawa anak ke pejabat.

“Saya tidak mahu meletakkan tanggapan menguruskan keluarga dan rumah adalah satu bebanan. Saya enjoy untuk menjaga emosi sebab perniagaan ini melibatkan ramai orang dan sangat memenatkan. Saya percaya, setiap apa yang kita miliki sekarang adalah rezeki yang perlu kita jaga dan bukan mudah untuk dicapai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN