UNKNOWN bakal muncul dengan Tersakiti - Utusan Malaysia

UNKNOWN bakal muncul dengan Tersakiti

UNKNOWN ditubuhkan hasil ujibakat kelolaan Ace Talents yang melalui pelbagai proses latihan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS mencipta populariti dengan lagu berjudul Jangan Marah Baby Sayang, kumpulan UNKNOWN muncul pula dengan buah tangan terbaharu berjudul Tersakiti.

Dianggotai lima anak muda berbakat besar terdiri daripada Momo,Haf, Zaq, Ameer dan Izmeer, UNKNOWN ditubuhkan melalui sesi ujibakat kelolaan Ace Talents yang melalui pelbagai proses latihan.

Ia termasuk usaha sama dan suai kenal yang memakan masa berbulan lamanya sehinggalah terlahirnya single pertama itu yang melonjak tular dalam laman sosial TikTok dengan meraih hampir 300,000 tanda suka.

“Alhamdulillah, setelah penerimaan luar jangkaan daripada peminat terhadap single pertama kami berjudul Jangan Marah (Baby Sayang), UNKNOWN semakin dikenali terutamanya dalam laman sosial. Kini, kami ingin meneruskan kejayaan tersebut dengan single kedua berjudul Tersakiti.

“Lagu Tersakiti ini dicipta oleh saya bersama Haf, dan idea di sebalik lagu ini diinspirasikan daripada lagu Korea yang menjadi kegilaan remaja masa kini.

“Ia menceritakan kisah percintaan remaja yang banyak onak dan durinya,Tersakiti bermaksud memberi pesan buat mereka yang sedang merasa ‘sakit’ di dalam jiwa yang diolah bentuk menjadi lagu,” terang Momo.

Menurut Momo lagi, lagu yang berdurasi 3:51 minit dalam nuansa hip hop dengan elemen RNB ini dimulai dengan intro yang perlahan namun menggamit perasaan kemudiannya diselitkan aksi rap oleh Haf yang penuh bertenaga, dan diwarnai dengan korusnya yang pasti membuai jiwa.

“Proses rakaman yang bertempat di Studio Platinum mengambil masa selama satu hari saja, manakala seminggu lagi diperuntuk proses penambahbaikan.

“Sewaktu proses rakaman sedang berlangsung, kami sekumpulan berpeluang bekerjasama dalam membentangkan idea dan pendapat masing-masing untuk mewarnai karya tersebut. Banyak yang kami pelajari selain dapat mengeratkan hubungan sesama kami secara kolektif,” katanya.

Video muzik (MV) yang bakal ditayangkan serentak melalui proses penggambaran di beberapa lokasi sekitar Putrajaya, Subang Jaya serta Shah Alam dengan menampilkan jalan cerita serta koreografi tarian yang menarik.

“Jalan cerita MV Tersakiti mengisahkan tentang seorang lelaki yang mempunyai kawan baik perempuan yang sedang mengalami tekanan dan kesedihan selepas ditinggalkan teman lelakinya.
“Lelaki tersebut berkali-kali memberi pesanan agar kawan baiknya itu tidak terus ditenggelami kesedihan dan kesakitan yang dialami,” jelas Zaq pula.

Sementara itu, walaupun masih baharu, UNKNOWN tetap berusaha mencuba pelbagai genre dan mencari ‘signature’ bunyi sendiri.

“Apa yang kami cuba tonjolkan adalah sesuatu yang segar, sedikit ‘gila-gila’ dan baru. Setiap daripada kami ada watak berbeza, Momo seorang ‘genius’, Haf sentiasa dengan peribadinya yang ‘cool’, Zaq pula sangat berbakat, Izmeer ada sifat yang melankolik, dan saya pula suka membuat orang tertawa,” kongsi Ameer.

Dalam pada itu, melihat kepada perjalanan UNKNOWN yang tentunya masih jauh, pun begitu, mereka sudah menunjukkan dedikasi mendalam.

“Akhir sekali, buat sesiapa yang mendengar lagu Tersakiti, bukalah mata dan jiwa anda agar memahami situasi orang sekeliling yang sedang mengalami masalah jiwa, bukan saja dalam percintaan, tetapi dalam kehidupan,” katanya.

Lagu Tersakiti boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×