Menari buat saya gembira - Hawa Rizwana - Utusan Malaysia

Menari buat saya gembira – Hawa Rizwana

Hawa Rizwana Ahmad Redzuan turut minum air halia suam untuk kecantikan tubuh badan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Petua yang saya dapat daripada ibu saya ialah mengamalkan minum air halia suam. Kalau boleh ia diamalkan setiap hari untuk kecantikan tubuh badan,” itu reaksi Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, sewaktu ditanya mengenai adakah dia masih mengamalkan petua lama sebagai rutin kecantikan dirinya.

Si cantik berusia 26 tahun ini memberitahu baginya, menjaga kecantikan bukan setakat menitikberatkan bahagian luaran namun ia perlu diseimbangkan dengan penjagaan dalaman.

“Apa yang masuk ke dalam badan juga perlu diberi perhatian. Bagi saya soal pengambilan makanan seharian turut menjadi keutamaan dalam memastikan tubuh kekal langsing,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Penyampai berita Buletin Utama, pengacara televisyen dan penyampai radio Buletin FM ini berkata, selain mengamalkan air halia suam, dia turut amalkan minum air lemon dan mengambil makanan tinggi serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

Malah dia turut kreatif mencipta ramuan sendiri.

“Contohnya saya akan campurkan timun, tomato dan lemon dalam makanan kerana ia dapat membantu sistem penghadaman. Lebih teruja bila banyak serat dalam makanan,” katanya.

Wajah popular yang tidak asing dalam kalangan penonton yang mengikuti program berita dan bual bicara terbitan TV3 ini akur, sentiasa berhadapan dengan khalayak ramai mendorong dirinya untuk sentiasa menjaga penampilan.

AKTIF BERAKTIVITI
Hawa antara personaliti muda yang aktif beraktiviti. Kalau ke media sosialnya kita dapat melihat mengenai perkongisannya melakukan aktiviti mengeluarkan peluh seperti berlari mahupun berbasikal.

Sekiranya makan lebih daripada sepatutnya, Hawa akan giatkan masa bersenam atau berpuasa untuk seimbangkan semula berat badannya.

Baginya, berlari membantu dapat mengekalkan berat badan manakala berbasikal menguatkan stamina dan otot kakinya.

“Jangan tidak tahu, saya juga sebenarnya suka menari. Ia umpama terapi yang membantu saya meredakan tekanan kerana rasa tenang dan seronok kala mencipta gerakan.

“Tarian seperti zapin membuatkan saya rasa gembira. Pergerakan fizikal kala menari pula sama seronoknya dengan melakukan senaman,” katanya.

Kesibukan kerja nyata tidak menghalang Hawa mencuri-curi masa melakukan aktiviti.

Baginya, manfaat senaman bukan sahaja daripada segi fizikal iaitu menjadikan tubuh badan lebih kemas tetapi ia membantu dari segi kekuatan mental dan emosi.

“Bila bersenam otak mengeluarkan endorphins kemudian dopamine sebagai ganjaran selepas penat. Itulah yang mendorong saya untuk kerap melakukan senaman,” katanya.

RAWAT WAJAH
Pekerjaan yang sentiasa terdedah kepada lighting dan cahaya matahari mudah merosakkan kulit sekiranya tidak diberikan perhatian dengan rapi.

Lantaran itu, Hawa amat menitikberatkan disiplin dalam penyediaan wajahnya sebelum dilayangkan alat solek termasuk meletakkan pelembab terlebih dahulu.

“Setiap malam saya pakai pelembab. Selain wajah bahagian mata juga antara bahagian saya berikan tumpuan. Setakat ini pemakaian eye cream memang banyak membantu saya menjaga kulit bawah mata supaya kekal segar dan sihat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN