Berkesempatan mendekatinya baru-baru ini, wanita ini mengakui tidak pernah menyangka akan menjadi ikutan selepas berkongsikan fesyen yang digayakan ke pejabat setiap hari.
Lebih mesra disapa sebagai Nani, katanya pada permulaan perkongsian itu hanya dibuat bagi memenuhi permintaan rakan-rakan. Mereka memintanya menunjukkan pakaian yang dipakai ke pejabat setiap hari. Ia kerana dia sememangnya dikenali sebagai seorang yang gemar bergaya dalam kalangan rakan-rakan.
“Saya mula berkongsi fesyen saya di Instagram sejak dua tahun lepas untuk rujukan kawan-kawan. Mereka juga yang minta untuk buat catwalk sambil menunjukkan pakaian yang saya pakai ke pejabat.
“Dari situ saya mula rekod video dan letak ia di Instagram untuk mereka tonton. Tak sangka pula salah satu video kompilasi saya yang diletakkan di aplikasi TikTok tahun ini menjadi boom sehingga meraih 3.5 juta tontonan,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat senaraian awam di Cyberjaya.
Bermula dari situ, Nani semakin dikenali di laman media sosial sebagai ikon fesyen. Malah, pengikutnya di Instagram mendadak naik daripada 800 kepada 104,000 pengikut pada ketika ini.
Mengakui memiliki tahap keyakinan yang tinggi sebenarnya menjadi kelebihan buat dirinya untuk terus berfesyen dan menggayakan pakaian dengan cara yang lebih menarik.
Dia berani melakukan suai padan dan menggayakan warna-warna terang atau striking asalkan sahaja ia tidak berlebih-lebih dan sedap mata memandang.

“Setakat ini tidak merujuk ke mana-mana mengenai fesyen.
“Semuanya daripada idea saya sendiri dalam melakukan suai padan pada koleksi-koleksi pakaian yang dimiliki.
“Saya suka berfikir dahulu sebelum membeli pakaian. Biasanya saya akan bayangkan apa yang boleh saya lakukan dengan pakaian yang hendak dibeli itu seperti ia boleh dipadankan dengan apa dan boleh digayakan bagaimana,” ujarnya mesra.
Tambahnya, dia sendiri berpakaian cantik dan kemas setiap hari untuk meningkatkan keyakinan diri selain mahu mendapatkan aura positif daripada sekeliling.
“Bergaya ini bukan semata-mata untuk diri sendiri tetapi secara tidak langsung ia dapat memberikan impak positif kepada orang sekeliling. First impression orang kepada kita akan dinilai daripada cara kita berpakaian,” jelasnya.
Tambahnya, harga atau jenama sesuatu pakaian bukanlah ukuran untuk tampil bergaya, namun ia sebenarnya bergantung sepenuhnya kepada si pemakai.
“Bergaya tidak perlu mahal. Paling penting adalah pilih pakaian yang sesuai dengan tubuh badan.
“Saya sendiri tidak pentingkan harga atau jenama, saya pentingkan fesyen dan kebolehan pakaian itu untuk digayakan dengan pelbagai gaya,” kongsinya.
Seronok beri inspirasi
Menjengah ke ruangan komen Instagram, ramai yang menjadikan wanita berasal dari Pahang ini sebagai rujukan dalam berfesyen.
Bagi Nani, dia bersyukur dapat memberi inspirasi kepada wanita-wanita lain dan menggembirakan mereka.
“Saya banyak mendapat reaksi positif daripada rakan-rakan di media sosial. Malah ada yang mengakui melihat saya berpakaian cantik juga sudah cukup menggembirakan bagi mereka,” katanya.
Jadi, secara tidak langsung saya bukan sahaja bagi idea kepada orang untuk berfesyen, tetapi juga menggembirakan mereka. Moga ada pahala untuk saya nanti,” ujarnya berseloroh.
Tips awet muda
Meskipun sudah memasuki 40-an, ibu kepada tiga anak ini masih kelihatan fit dan cergas bak anak dara.
Berkongsi amalan kecantikannya, dia berkata paling penting adalah menjaga dalaman dahulu. Setkan minda supaya sentiasa positif supaya diri sentiasa dikelilingi dengan aura-aura positif sahaja.
Selepas itu barulah diteruskan dengan penjagaan luaran. Antara rutin yang dilakukannya sejak di usia muda adalah mengambil suplemen setiap hari, memakai bengkung, mengawal pengambilan gula dalam minuman serta bersenam pada hujung minggu.

“Kalau ikutkan sejak melahirkan anak pertama 18 tahun lalu saya memang berpantang sepenuhnya mengikut cara tradisional, makan jamu dan makan suplemen.
“Sehingga kini disiplin ambil suplemen dan bersenam ikut rutin kerana saya tidak berdiet dan tidak menjaga makan. Paling penting kena rajin dalam rutin penjagaan diri untuk melihat hasilnya,” katanya lagi.
Tidak ketinggalan, sempena tahun baharu hari ini, Nani berharap tahun ini akan menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
Dia juga akan terus bersemangat berkongsikan koleksi fesyennya yang elegan, ringkas dan tidak terlalu sarat untuk rujukan wanita-wanita lain.
Biodata
Nama: Noraini Ibrahim
Umur: 43 tahun.
Asal: Raub, Pahang.
Minat: Mendengar muzik.
Hobi: Berbasikal
Fesyen diminati: Elegan dan ringkas.










