Usop terharu tunang tak memilih rupa - Utusan Malaysia

Usop terharu tunang tak memilih rupa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KINI cuma menghitung hari untuk disatukan sebagai pasangan suami dan isteri, penyanyi Usop atau lebih dikenali sebagai Usop Mentor mengaku gementar memegang status tunangan orang sejak seminggu yang lalu.

Ini kerana, lazim bagai dikata orang, tempoh pertunangan seringkali berangkai dengan dugaan-dugaan tertentu yang mana, setiap pasangan akan tempuhi dalam cara dan suasana yang berbeza.

Pun begitu, bagi penyanyi dengan nama sebenar, Muhammad Saiful Naim bin Muhammad Noor ini, sebagai seorang hamba-Nya yang kerdil, segala doa dan harapan yang baik tentunya lebih afdal jika diserahkan kepada Allah SWT.

Bercerita mengenai perjalanannya mencari cinta sejati, kongsi anak jati Kulim, Kedah ini, mengaku bukan mudah sebenarnya untuk ‘memancing’ wanita bernama Nur Fatihah Md Hashim ini semasa tempoh berkenalan.

“Dia ada sisi lagak masa mula-mula saya hantar mesej di ruangan Instagram. Tetapi saya ini jenis pantang mengalah. Cuba juga tegur-tegur dengan dia di media sosial.

“Sebenarnya, saya terserempak dengan Fatihah semasa kami menghadiri satu majlis sekitar tiga tahun lalu. Memang masa itu, boleh dikatakan saya bagaikan terpesona dengan kecantikan dia.
“Cantik, tinggi lampai, Anak Mami. Dari situlah saya cuba minta nombor telefon daripada seorang kawan yang mengenalinya,” katanya.

Bagaimanapun, kata Usop, dia tidak menaruh harapan yang tinggi pada awalnya kerana sedar dalam soal jodoh, segala percaturan adalah di tangan Tuhan.

“Saya berkawanlah macam biasa walaupun Fatihah pada mulanya macam jual mahal. Tapi benarlah kata orang, kalau sudah jodoh, tidak akan salah alamat.

“Tahu-tahu sahaja, kami kini sudah menjadi pasangan tunang,” katanya.

Ditanya mengenai faktor lain yang ada pada Fatihah sehingga Usop akhirnya berani mengambil langkah untuk ke fasa yang lebih serius, penyanyi ini pantas mengatakan wanita itu ternyata tidak memilih rupa atau memandang luaran.

Apa kata tunang?
Melayangkan pertanyaan kepada Fatihah, wanita berusia 25 tahun itu mengaku tertarik kepada Usop kerana keperibadiannya yang dianggap sangat menyenangkan.

“Dia ini seorang yang lurus. Ikhlas dan nampak ketelusan dia yang ternyata tidak mudah mengalah walaupun sudah kena reject.

“Satu lagi, Usop ini bagi saya, sangat pandai mengambil hati dan menghormati orang tua. Dia muda, tetapi berani. Sesetengah lelaki tidak berani untuk buat keputusan.

“Tetapi dia, kenal-kenal, terus berjumpa dengan keluarga dan maklumkan nak teruskan hubungan ke peringkat yang serius. Itulah yang membuatkan saya hormati dia. Ada keberanian dan ikhlas,” katanya.

Selain itu, ditanya sama ada dirinya sudah bersedia terkena tempias glamor dan populariti sementelah Usop tentunya merupakan orang dalam industri seni, wanita kelahiran Pulau Pinang itu ada jawapan sendiri.

“Tentang hal itu, sebelum bertunang ini pun sudah ada macam-macam cerita bukan. Peminat-peminat dia dan sebagainya. Biasalah itu.

“Insya-Allah, saya boleh harunginya. Mahu atau tidak, memang kena fahamlah bukan sebab dah nak jadi suami isteri. Kena faham kerjaya masing-masing,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di pulau mutiara itu.

Dalam pada itu, Usop memaklumkan sedang merancang mengadakan sebuah majlis pernikahan dalam suasana tertutup sambil mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Menurutnya, majlis pernikahan kelak akan diadakan dalam tempoh kurang lebih tiga bulan lagi di tanah kelahiran bakal isterinya.

“Hasrat di hati memang kami nak buat majlis besar-besaran. Tapi, apakan daya, kita kena tengok juga keadaan semasa. Rasanya belum boleh buat majlis keramaian pada saat ini.

“Betul lah orang kata, kahwin ini sekali seumur hidup. Siapa yang tak mahu bersungguh-sungguh buat majlis bukan? Tetapi tengoklah nanti bagaimana,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×