HUJAN lebat dijangka berlaku di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor bermula bulan ini hingga awal Januari 2022. Ia susulan peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka sehingga Mac tahun depan.
Dalam tempoh berkenaan, antara empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku dengan kebanyakan negeri diramal menerima hujan paras purata sepanjang Monsun Timur Laut kali ini.
Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan rendah dan kawasan kerap banjir.
Komuniti maritim dinasihatkan bersiap sedia dan peka terhadap amaran hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan MetMalaysia.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) atau juga dikenali sebagai Pengawal Pantai Malaysia juga bersiap siaga menghadapi musim tengkujuh terutama di kawasan perairan di Pantai Timur.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, Pusat Sub Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan sentiasa bersedia menghadapi Monsun Timur Laut yang melibatkan kecemasan di laut seperti orang jatuh laut dan bot karam.
Katanya, komuniti nelayan dinasihatkan tidak turun ke laut jika keadaan angin kencang dan laut bergelora yang dikhuatiri membahayakan keselamatan mereka.
“Meskipun para nelayan diakui berpengalaman luas dan biasa berhadapan situasi cemas di laut, namun mereka masih terdedah kepada bahaya ketika keadaan cuaca tidak menentu.
“Langkah waspada perlu diambil bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Nelayan yang turun ke laut pada musim tengkujuh perlu menyediakan peralatan keselamatan seperti ditetapkan dalam syarat lesen.
“Antara peralatan yang perlu ada ialah jaket keselamatan dan pelampung. Bot juga dilengkapi dengan Sistem Pengesanan Global (GPS) serta alat perhubungan radio, bekalan makanan mencukupi, peti rawatan awal kecemasan serta bekalan bahan api mencukupi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan risiko banjir boleh menjadi lebih buruk jika hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut.
Tiupan angin Timur Laut secara berterusan yang kencang juga akan menyebabkan laut bergelora dan ombak besar khususnya di perairan Laut China Selatan. Sementara kawasan pantai yang menghadap laut turut berhadapan risiko kenaikan paras air laut.
Amran berkata, orang ramai dinasihat tidak melakukan aktiviti air atau menghampiri tempat berisiko seperti pantai dan sungai sepanjang musim tengkujuh bagi mengelak kejadian lemas.
“Dengan cuaca yang tidak menentu dan fenomena ombak besar boleh mendatangkan risiko bagi pengunjung yang melakukan aktiviti air ketika ini dan hendaklah sentiasa peka dengan arahan Petugas Pengawal Pantai yang berada di pantai-pantai yang berisiko tinggi bagi menghadapi ombak besar,” katanya.
Statistik kes kecemasan di laut yang dikoordinasikan oleh MRSC Kuantan melibatkan negeri-negeri di Pantai Timur hingga hari ini merekodkan 25 kes seperti insiden kapal, kehilangan orang di laut termasuk lemas dan jatuh laut, bantuan aset serta operasi pemindahan perubatan (Medevac).
Kesedaran SAR dekati kumpulan sasaran
Jika dilihat daripada kes tahun lalu, statistik kes meningkat pada musim peralihan Monsun Barat Daya ke Monsun Timur Laut saban tahun.
Kebanyakan kes juga adalah berpunca daripada kelalaian atau sikap sesetengah individu yang memandang ringan akan keselamatan ketika berada di pantai mahupun di laut.

Sehubungan itu, kata Amran, Maritim Malaysia giat melaksanakan Kempen Kesedaran Di Laut (Preventive SAR) secara berterusan supaya dapat memberi kesedaran kepada orang ramai.
“Program Preventive SAR memfokuskan golongan sasaran terutamanya golongan nelayan, pengusaha feri dan bot penumpang, di mana mereka ini begitu hampir dan berhubungkait dengan tugas Maritim Malaysia.
“Setiap kali rondaan operasi rutin yang dijalankan, Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan mereka yang berada di laut untuk sentiasa mematuhi arahan-arahan keselamatan yang dikeluarkan.
“Selain itu memeriksa peralatan keselamatan seperti pemakaian jaket keselamatan, alat pemadam api yang berfungsi dengan baik, memiliki pelampung, rakit keselamatan dan ubatan asas (first aid kit),” katanya.
Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.











