Mayat mangsa keenam kepala air ditemukan - Utusan Malaysia

Mayat mangsa keenam kepala air ditemukan

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Seorang daripada tiga mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Sungai Luit, berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak, Kampung Orang Asli Pertak, Hulu Selangor, ditemukan.

Mayat mangsa ditemukan dberhampiran kawasan Empangan Sungai Selangor kira-kira pukul 10.15 pagi ini.

Penemuan itu menjadikan enam daripada lapan lelaki yang dihanyutkan arus dalam kejadian Isnin lalu berjaya ditemukan manakala dua lagi masih hilang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut memberi tumpuan di Sektor A selepas pasukan mengesan bau dipercayai daripada mangsa di kawasan berkenaan.

Menurutnya, dua anjing pengesan (K9) digerakkan ke lokasi yang terletak berhampiran kawasan empat mangsa ditemukan pada Selasa lalu.

“Pasukan SAR menjalankan tinjauan di kawasan berkenaan petang semalam selepas menerima maklumat daripada seorang penduduk Orang Asli yang melalui lokasi itu ketika pulang dari kebun.

“Ketika tinjauan, kami memang mengesan bau secara berselang-seli di kawasan berkenaan, namun tidak dapat menyeberangi sungai kerana paras air masih tinggi, kira-kira dua meter melebihi paras biasa,” katanya di sini hari ini.

Katanya, operasi SAR bermula pukul 7 pagi ini dengan beberapa pasukan digerakkan mengikut sektor bagi memperluas kawasan pencarian.

Katanya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM menjalankan pencarian di Sektor A hingga B, iaitu dari kawasan Lata Jebus hingga ke Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Tapak Berkelah Sungai Pertak.

“Anggota JBPM, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pula menumpukan pencarian dari Sektor B hingga C, berhampiran Empangan Sungai Selangor.

“Sebanyak lima bot turut digerakkan bagi memantau keadaan sungai dan melakukan pembersihan permukaan air di Sektor C dan D susulan lambakan sampah yang dihanyutkan arus selepas kejadian kepala air kedua petang semalam,” jelasnya.

Ashrul Riezal berkata, dron JBPM turut digunakan bagi melakukan tinjauan udara meliputi Sektor A hingga D, termasuk kawasan empangan dengan jarak keseluruhan kira-kira 3.5 kilometer.

Pada Isnin lalu, lapan lelaki dihanyutkan arus dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang.

Seorang mangsa warga tempatan ditemukan pada pukul 1.30 pagi Selasa lalu di kawasan Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi kejadian di Lata Jebus.

Empat lagi mangsa warga asing ditemukan pada pagi hari sama di kawasan Jambatan Senget dan Jambatan Gantung, kira-kira 950 meter hingga satu kilometer dari Lata Jebus.

Dalam kejadian itu, seramai 34 individu daripada empat kumpulan terlibat dengan lapan lelaki dihanyutkan arus manakala 26 lagi berjaya menyelamatkan diri serta diselamatkan anggota bomba. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini