Dania Danielle, seorang pelakon berkaliber yang sudah ada nama tersendiri dalam indsutri seni tempatan.
Tidak dapat disangkal lagi dengan lakonan hebat seorang anak seni tanah air ini di layar skrin.
Malah kadang kala memberi penonton geram dan meluat dengan karakter antagonis yang dibawanya menerusi beberapa naskhah tempatan.
Berilah apa sahaja watak kepada aktor wanita ini, pasti akan dilunaskan dengan sehabis baiknya.
Tidak hairanlah, kebanyakan penerbit Malaysia berebut untuk mengambil bintang itu sebagai pelakon untuk mewarnai lagi naskhah-naskhah mereka.
Namun, agak jarang sekali kita dapat melihat pelakon berbakat besar ini memainkan watak sebagai ‘mak-mak’ walaupun dia kini sudah mempunyai sepasang permata hati.
Menurut isteri kepada aktor Farid Kamil, dia bukan seorang pelakon yang demand untuk memilih watak. Tidak sama sekali.
Jelasnya, bukan tidak mahu untuk membawa watak ibu tetapi para penerbit dan pengarah yang senang melihat pelakon itu membawa watak-watak remaja.
“Saya bukan jenis pelakon yang macam oh saya tak suka watak ‘mak-mak’ kerana nanti rosaklah imej saya.
“Saya tidak kisah untuk bermain watak nenek atau apa-apa sekali pun. ia bergantung apa yang mereka rasa sesuai untuk saya. Kerana saya bukan seorang pelakon yang memilih watak.
“Saya bersyukur dapat bekerja terutamanya ketika pandemik ini. Jadi dari situ, saya rasa okey jika saya masih lagi boleh memainkan watak muda,” tuturnya kepada Utusan Malaysia.
Pelakon drama popular Raisha ini berpendapat, waktu ini dia perlu menikmati untuk membawa watak-watak muda kerana apabila sudah lanjut usia nanti, dia tidak boleh memainkan watak sedemikian.
“Apa pun watak yang saya dapat, selagi penonton suka dengan lakonan saya, itu adalah satu kepuasan,” kongsinya lagi.
Suka plot membuka minda
Sebagai informasi, Diana Danielle juga merupakan salah seorang pelakon menerusi sebuah naskhah romantik fantasi, Ganjil yang bergandingan dengan pelakon terkenal Malaya, Fattah Amin.

Menurut Diana, Ganjil merupakan sebuah jalan cerita yang menarik kerana banyak bermain dengan plot yang penonton perlu fahami dan selami selain menonjolkan kesan khas dalam siri tersebut.
“Ganjil ini menarik, saya suka bagaimana penerbit dan pengarah bermain dengan genre seperti ini.
“Akhirnya, bukan orang kata mudah iaitu kisah percintaan dan mengambil jalan cerita serta plot yang lebih rumit,” kongsinya ketika ditemu ramah.
Ulas Diana, karya sebegini secara tidak langsung membuka minda masyarakat untuk menerima naskhah seperti ini persis drama luar negara yang berada dalam penstriman digital, pada waktu ini.
“Seperti dahulu, kita beri plot yang mengelirukan sedikit sahaja, anda boleh mendengar penonton ‘apa cerita ini pelik sangat ini aku tidak faham’.
“Tetapi naskhah Korea dan ada platform seperti Viu telah membuka minda rakyat Malaysia kepada plot yang lebih menarik,” katanya.











