BALING: Kira-kira 48,000 penoreh getah di negeri ini masih dibelenggu kemiskinan walaupun harga getah sekerap semakin stabil apabila mencecah RM3 sekilogram ketika ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah Negeri Kedah (Pergetah), Mohd. Taufik Yaacob berkata, pendapatan penoreh terjejas apabila hasil torehan merosot disebabkan penyakit pokok dan kesan cuaca.
Katanya, tahun ini pokok getah mengalami keguguran daun tiga kali disebabkan penyakit menyebabkan hasil merosot berbanding sekali dalam tempoh setahun sebelum ini.
“Cuaca panas pada awal tahun dan kekerapan hujan sejak kebelakangan ini menyebabkan penoreh tidak dapat menoreh getah setiap hari, sebaliknya beberapa hari dalam seminggu.
“Kebanyakan hasil kutipan getah sekerap di negeri ini berkurangan antara 60 peratus hingga 80 peratus pada tahun ini kerana masalah penyakit dan cuaca.
“Walaupun harga getah sekerap mencapai paras tertinggi RM3 sekilogram, penoreh tetap meraih pendapatan yang rendah kerana jumlah hasil torehan mereka sedikit,” katanya di sini, semalam.
Mohd. Taufik berkata, penoreh getah di negeri ini tidak mendapat kutipan getah sekerap tinggi walaupun harga komoditi itu semakin kukuh di pasaran tempatan.
Jelasnya, Pergetah difahamkan, permintaan getah asli di pasaran tempatan dan luar negara meningkat terutama dalam industri pembuatan sarung tangan.
“Penoreh getah sentiasa bernasib malang apabila tidak mendapat keuntungan ketika harga getah naik di pasaran dan keadaan itu menyebabkan mereka terus merana serta berada dalam kemiskinan.
“Sebaliknya, pemain-pemain dalam industri getah yang mengaut keuntungan tinggi,” ujarnya.
Pihaknya berharap kerajaan dapat membantu penoreh getah dengan menstabilkan harga getah asli di pasaran pada harga RM3 sekilogram ke atas.
Tambahnya, harga getah yang tinggi di pasaran dapat membantu penoreh untuk meraih pendapatan lebih baik.
“Sampai bila golongan tersebut terpaksa bekerja dengan keras tetapi pendapatan pula tidak setimpal,” katanya.
Seorang penoreh dari Kampung Kota Bukit, Sik, Ramli Abu Bakar, 33, berkata, dia mengusahakan kebun getah seluas kira-kira 1.4 hektar dengan pendapatan tidak menentu.
Katanya, keadaan tersebut berlaku kerana harga getah di pasaran tidak stabil dan hasil torehan merosot pada tahun ini.
“Dalam tempoh seminggu saya hanya dapat mengutip sekerap kira-kira 100 kilogram (kg).
“Saya jarang dapat mengutip hasil sekerap melebihi 100 kg seminggu kerana susu getah berkurangan pada tahun ini, selain selalu tidak dapat menoreh kerana hujan,” katanya.
Penoreh dari Kampung Bukit Cham di sini, Mustafa Md. Diah, 73, berkata, dia mempunyai kebun getah seluas 0.5 hektar tetapi mengupah penduduk tempatan melakukan kerja-kerja menoreh kerana masalah kesihatan.
Katanya, pendapatannya semakin merosot kerana hasil jualan sekerap dibahagi dua.
“Hasil torehan semakin merosot sekitar kira-kira 50kg seminggu dan harga getah sekarang dijual antara RM2.80 hingga RM3 sekilogram,” ujarnya.
Sementara itu, penoreh dari Kampung Seberang Pondok, Gajah Mati, Pendang, Musa Md. Idris, 57, berkata, dia terpaksa meneruskan kerja dengan menoreh di kebun getahnya seluas 1.5 hektar walaupun pendapatan tidak menentu demi menyara keluarga.
Malah katanya, pendapatannya semakin terjejas apabila hasil susu getah semakin berkurangan disebabkan faktor cuaca apabila kerap hujan pada tahun ini. – UTUSAN










