ARAU: Fosil tengkorak purba dipercayai berusia ribuan tahun ditemukan di kaki bukit batu kapur, Keteri di sini sekali gus menjadi penemuan penting yang mempunyai nilai sejarah dan arkeologi berharga di Perlis.
Satu bentuk tengkorak yang terlekat di celah-celah batu dengan panjang kira-kira 20 sentimeter dan lebar 14 sentimeter itu ditemukan oleh Presiden Persatuan Mendaki Negeri Perlis (Perlis Climbers), Zainol Din ketika melakukan aktiviti membuat laluan mendaki cenuram (rock climbing) untuk profesional di kawasan berkenaan pada September 2018.
Sebagai rekod, bukit batu kapur Keteri itu berusia antara 250 juta tahun dan berkemungkinan pernah menjadi penempatan persinggahan atau laluan manusia prasejarah sekitar 3,000 hingga 5,000 tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Perlis Climbers, Mohd. Aizat Zahid,32, berkata, ketika kali pertama ditemukan fosil berkenaan kelihatan batu seakan-akan gigi di lokasi tersebut.
Katanya, bagi memastikan penemuan itu, Zainol menggunakan berus bagi membuang debu di batu berkenaan dan ternampak satu bentuk rupa tengkorak seakan-akan manusia.
“Dari segi fizikal, berkemungkinan terdiri daripada tengkorak jenis manusia purba. Sepanjang tempoh penemuan tersebut, kami memulakan proses pengecaman fosil tengkorak dan mula mencari kumpulan pakar dan profesional yang mampu untuk meneruskan kajian bersama Perlis Climbers.
“Untuk menjaga penemuan berharga negeri Perlis itu, kami menyusun langkah kajian dengan mengumpul kumpulan pakar di Malaysia,” katanya.
Mohd. Aizat memberitahu, pihaknya sudah memaklumkan penemuan tersebut kepada kerajaan negeri sejak tahun 2019, namun sehingga kini tidak ada sebarang perkembangan.
“Sayanglah bila terlalu lama dibiarkan kerana ia berpotensi tinggi dan mempunyai nilai sejarah dan arkeologi yang cukup berharga. Sepatutnya sejak awal penemuan lagi perlu dilakukan kajian kerana ia boleh menjadi khazanah berharga untuk negeri ini secara amnya,” katanya.
Sebelum ini, Perak Man, rangka manusia tertua berusia 11,000 tahun yang ditemukan 30 tahun lalu di Lembah Lenggong, Perak kini mempunyai ‘wajah’ lakaran, yang siap pada 19 Januari lalu.
Perak Man, rangka tulang manusia yang hampir sempurna yang dijumpai di Asia Tenggara pada zaman batu era paleolitik ditemukan hasil penyelidikan Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai Prof. Datuk Dr. Zuraina Majid dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia.
Ia ditemukan pada tahun 1991 di Gua Gunung Runtuh, Lembah Lenggong, Hulu Perak dan dipercayai hidup 10,000 hingga 11,000 tahun dahulu.
Tambah Mohd. Aizat, selain tengkorak tersebut, mereka turut menemukan pelbagai lagi fosil lain seperti tulang-tulang dipercayai manusia purba dan peralatan-peralatan yang digunakan manusia pada zaman itu.
“Penemuan ini mungkin boleh menjadi penemuan Homo Erectus jika hasil kajian membuktikannya namun jika sebaliknya, fosil tengkorak itu masih dikategorikan pada zaman purba berusia ribuan tahun,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya. Dr. Asyaari Muhamad berkata, beliau pernah ke tapak pertemuan tersebut dan lokasi sekitar bersama Perlis Climbers sekitar April 2019.
Katanya, hasil tinjauan di permukaan turut mendapati terdapat peninggalan zaman prasejarah di kawasan tersebut.
“Saya telah ditunjukkan tengkorak tersebut dan kawasan berkenaan didapati berpotensi sebagai tempat tinggal zaman prasejarah. Potensi itu memang ada namun perlu dilakukan kajian lanjutan bagi mengesahkannya,’’ katanya. – UTUSAN










