Generasi Malaysia era 1980-an sudah tentu merindui suara gemersik dan jiwa patriotisme Penghibur Nombor Satu Asia, Datuk Sudirman Haji Arshad.
Walaupun sudah 29 tahun pemergian Allahyarham menemui Sang Pencipta-Nya pada 22 Februari 1992, jiwa dan lagu-lagu patriotiknya tetap malar segar di hati peminat generasi baharu.
Lagu-lagu patriotik seperti Tanggal 31 Ogos dan Warisan akan kembali berkumandang di mana-mana sahaja terutama di majlis sambutan bulan kemerdekaan.
Menjelang hari raya pula lagu Balik Kampung sangat popular terutama bagi sang perantau yang ghairah untuk pulang untuk berjumpa ayah bonda dan sanak saudara.
Namun di sebalik tabir, ramai masyarakat Malaysia tidak mengetahui bahawa jiwa patriotik dan keusahawanan lahir dari didikan dan pengaruh ibu bapa Allahyarham yang terlibat secara langsung dalam kedua-dua bidang itu.
Menurut pemberita Utusan Melayu era 1950-an dan 1960-an, Jazam Lusah, 86, Ketua Kaum Ibu UMNO Pahang, Ramlah Dahalan ialah ibu Sudirman yang juga wakil rakyat wanita pertama Pahang.
“Saya yang tinggal di Temerloh dan menjadi pemberita Utusan Melayu sering membuat liputan aktiviti Ramlah berkempen menarik kaum wanita menyertai UMNO.

“Saya masih ingat dia (ibu Sudirman) sering membawa anak lelakinya dalam usia 3-4 tahun ketika itu yang dipanggil Man. Apabila dewasa Sudirman menjadi penyanyi patriotik tersohor negara,” katanya.
Jazam menambah, Haji Arshad Hassan mengetuai syarikat bas koperasi yang beroperasi sekitar Temerloh, Bera, Maran ketika itu.
Seorang lagi yang berkesempatan mengenali Sudirman semasa kecil ialah Datuk Mohd. Shahaimi Othman, 74, yang sering mengikut ayahandanya, Othman Imam Awang Ketua Pemuda UMNO Pahang menganjurkan program politik di Temerloh.
Menurutnya, Ramlah ialah Wakil Rakyat Pertama (1955) mewakili kawasan Triang (Bahagian Temerloh) meninggal dunia pada 1959 pada usia muda iaitu 33 tahun ketika Sudirman berumur lima tahun.
“Walaupun saya ketika itu dalam usia sekitar 10 tahun dan Sudirman sekitar usia tu=iga atau empat tahun tetapi dia adalah kanak-kanak yang sangat keletah dan cergas,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Shahaimi bersama rombongan dari Temerloh termasuk ibu bapa Sudirman berpeluang menyaksikan dua peristiwa bersejarah.

Peristiwa itu ialah bendera Union Jack diturunkan dan Bendera Tanah di Melayu dinaikkan di Padang Kelab Selangor serta pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.
Katanya, Sudirman telah meninggalkan legasi lagu patriotik Tanggal 31 Ogos dan Warisan yang menaikkan semangat juang generasi baharu.
Mohd. Shahaimi berkata, Sudirman juga berjaya dalam bidang keusahawanan apabila mengeluarkan tiga minuman berkarbonat Sudi.
Bagaimanapun, minuman itu tidak dapat bertahan dalam pasaran berikutan kematian penyanyi itu.
Kematian Allahyarham Sudirman ketika di puncak populariti pada 22 Februari 1992 bukan sahaja meninggalkan khazanah seni berharga dan tidak sempat mengembangkan perniagaan makanan bumiputera ke peringkat antarabangsa.
Namun beliau berjaya mengangkat lagu-lagu Melayu ke persada antarabangsa apabila pada 19 Mac 1989, Allahyarham dinobatkan sebagai Penghibur Terbaik Asia di Asian Popular Music Awards di Royal Albert Hall, London.
Seorang lagi penggiat budaya, Omar Azman Mohamad, 80, berkata, Sudirman semasa hayatnya seorang insan periang, ikhlas dan sangat patriotik terhadap bangsa dan negara.
“Allahyarham juga seorang cendekiawan yang merendah diri, bersopan dan sangat menghormati rakan artis apalagi artis veteran seperti Datin Sri Saloma,” katanya.
Dalam banyak persembahan pentas lagu patriotik tidak pernah dipinggir.Pada masa sama sering mengundang ramai artis veteran bersama seperti Datuk Sarimah Ahmad.
Kepintaran menguasai pentas sambil berlawak spontan serta kebolehan melukis satu kelebihan yang sukar ditandingi artis hari ini.










