Mukadimah
Dalam bukunya “Perangai bergantung pada diri sendiri”, tokoh ilmuan Melayu, Allahyarham Tan Sri Zainal Abidin Ahmad yang juga dikenali sebagai Zaaba menulis: “Kita tidak disuruh bertaklid buta, iaitu mengikut dan menerima saja dengan tiada soal jawab dan mengerti hujung pangkal akan apa-apa yang diterima.”
Melihat senario tanah air hari ini, dari isu amang seksual, gelombang liberalisme sehinggalah perlakuan LGBT yang menjadi-jadi, maka timbul tanda tanya, di mana titik punca segala kepincangan sosial ini? Adakah seperti kata Zaaba, masyarakat sekarang terlalu bertaklid buta terhadap tokoh ikutan masing-masing, tanpa ada soal menyoal?
Menjawab persoalan ini, wartawan Mingguan Malaysia FAHMI FAIZ dibantu jurukamera MUHAMMAD SHIDDIEQIIN ZON menemu bual pengasas badan bukan kerajaan (NGO) Multiracial Reverted Muslim (MRM), FIRDAUS WONG WAI HUNG.
Terkenal lantang mengangkat isu-isu sosial, temu bual ini bukan bertujuan meletakkan sebarang kesalahan kepada mana-mana pihak, jauh sekali mengganggu proses siasatan pihak berkuasa.
MINGGUAN MALAYSIA: Apakah itu Multiracial Reverted Muslim (MRM), dan apa fungsi organisasi ini?
FIRDAUS: MRM didaftar secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan pada 5 Februari, 2014. Tapi penubuhan MRM ini bermula lebih awal dalam media sosial, yang pada asalnya sebagai platform sokongan kepada mualaf.
Bila saya memeluk Islam pada 10 Ogos 2005, kami merasakan kurangnya sokongan dan merasakan kami ini bersendirian. Jadi tujuan asalnya, sebagai sistem sokongan kepada mualaf.
Bagaimana pula MRM kini?
Sepanjang perjalanan itu, kami terlibat dalam kebajikan mualaf. Kemudian pada masa sama, ada juga orang yang belum memeluk Islam mahu mendekati kami untuk tahu tentang Islam. Jadi dari situ kami berkembang, dan dari situlah kami mula berfikir macam mana menjadikan ia lebih serius.
Maka untuk ke arah itu, kita tak boleh sekadar bergerak dalam media sosial, kena ada struktur dan berdaftar, dan kena patuhi undang-undang.
Jadi kami ambil keputusan mendaftarkan MRM, dengan nama penuhnya Kuala Lumpur and Selangor Multiracial Reverted Muslim, nama yang agak panjang. Sebab ia bukan bersifat nasional.
PEMANGSA SEKSUAL
MRM dilihat ke hadapan dalam mendedahkan isu amang seksual dan gangguan seksual. Bagaimana sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang asalnya ditubuhkan sebagai sistem sokongan mualaf, boleh berevolusi menjadi ‘polis moral’ pula?
Kalau kita mahu kata tentang bagaimana semua ini bermula, ia bermula apabila kami mula melancarkan sayap wanita MRM pada Jun tahun ini.
Saya juga kenal seorang pakar dalam bidang pendidikan seksualiti, dan MRM pada masa sama ada mengendalikan kes-kes membabitkan masalah rumah tangga.
Maka saya tulis dalam media sosial sebagai kesedaran, bukan mahu buka aib, tapi sebagai kesedaran agar mana-mana wanita yang mengalami gangguan seksual, keganasan rumah tangga dan sebagainya, mereka boleh datang kepada kami atau cari NGO Islam lain.
Ini bagi memastikan mereka tidak pergi kepada NGO yang liberal. Itu tujuannya.
MRM mencetuskan kegemparan baru-baru ini berhubung pendedahan yang dibuat. Apa yang berlaku?
Selepas kami selesai satu program, maka pakar bidang pendidikan seksualiti itu bertanya kepada saya, kes macam mana yang MRM uruskan? Kemudian dia cakap, dia juga ada kendalikan beberapa kes, tapi dia cakap kes itu berat.
Saya tanya, kes apa? Jadi bila dia beritahu saya nama seorang individu, saya cakap dengan dia; “Kamu serius? Mustahil individu ini ada kes macam itu”. Dia ada bukti.
Peristiwa ini berlaku bila?
Saya fikir sekitar Jun hingga Julai. Jadi bila berlaku waktu itu, saya tak percaya. Sebab gambaran yang saya dapat daripada media sosial individu ini, yang mana saya tak kenal beliau secara peribadi, gambaran yang saya dapat daripada media sosial lain.
Jadi, tak akan dia buat macam itu? Jadi saya cakap kepada pakar yang juga rakan saya itu, saya tak percaya. Kemudian dia tunjukkan apa yang didakwa sebagai video, saya tengok dan terkejut.
Saya masih ada sedikit keraguan. Sebab di MRM, kami terima bukti namun tak akan percaya bulat-bulat sebab bukti boleh disunting. Bukti boleh dimanipulasi, macam-macam boleh direka-reka.
Apa berlaku kemudian?
Saya berbincang dengan sekumpulan asatizah MRM tentang isu ini. Pada masa itu juga kes tersebut makin berkembang, mulai dengan seorang mangsa. Bila saya berbincang, ada yang mengatakan kepada saya, ini adalah kes aib peribadi.
Bayangkan saya sudah terima kes ini dalam Jun, tapi saya tak cakap apa-apa pada waktu itu sebab saya cakap, ini adalah aib orang.
Tapi bila kes berkembang, semakin banyak bukti kami dapat dan ini menyedarkan kami kepada hukum dalam Islam bahawa sesuatu hukum itu berubah sejajar dengan berubahnya keadaan.
Jadi apabila kes makin berkembang dan banyak bukti diberikan, maka situasi itu berubah dan asatizah mengatakan ini bukan lagi kes aib peribadi. Ia adalah satu kes jenayah. Tapi untuk laporkan bukan senang, sebab mangsa mengalami trauma, keluarganya pula tidak menyokong.
PEMBUNUHAN KARAKTER
Apakah MRM mengambil kira faktor kemungkinan ‘mangsa’ yang tampil itu dicipta atau diupah untuk memusnah karakter mana-mana individu?
Itu antara faktor pertama yang kami ambil kira, sebab mungkin masyarakat yang telah mengikuti kami, mereka tahu kami di MRM sangat lantang dan tegas tanpa mengira sesiapa, sejak kes LTTE sehinggalah kepada pendedahan kultus-kultus, ada figura sekalipun, kami dedahkan.
Maka, kami risau, perkara pertama adalah orang menggunakan kami untuk tujuan balas dendam dengan memalsukan bukti-bukti, lalu mereka gunakan MRM sebagai kambing hitam. Itu kerisauan pertama kami.
Jadi apa berlaku seterusnya?
Sebab itu, bila pertama kali dapat bukti, dan oleh kerana kami tiada kepakaran, kami rujuk kepada beberapa pihak yang ada kepakaran dalam bidang forensik teknologi maklumat, untuk melihat sama ada wujudkah kemungkinan video atau screenshot dan sebagainya itu (direka-reka). Kemudian, takdir Allah, waktu itu hanya ada satu mangsa. Namun kemudian lebih ramai mangsa tampil ke hadapan.
HASAD DENGKI, MAHU JADI WIRA?
Ada mendakwa, sifat hasad dengki mendorong mana-mana pihak menggunakan kaedah pembunuhan karakter bagi menjatuhkan pihak yang dianggap pesaing? Macam mana dengan MRM dalam isu ini?
Kalau kami mahu membalas dendam atau hasad dengki, kita wajar gunakan akal yang sihat. Kenapa kami mahu begitu bodoh menggunakan akaun Facebook dan Telegram saya sendiri untuk kongsi maklumat? Buat akaun palsu misalnya di Twitter, kongsikan semua benda dan bukti, dan malukan saja. Tapi kenapa kami terpaksa menjalani satu proses yang mengakibatkan kami didera secara mental, difitnah, dikeji dan sebagainya, untuk sampai ke tahap itu. Kalaulah seperti yang orang kata, kami dengki, kami mahu balas dendam dan sebagainya, kenapa kami tak gunakan saja cara yang dilakukan oleh ahli politik, iaitu sebarkan khabar angin? Buat surat layang? Kenapa mahu lalui proses yang menyakitkan ini?
Kenapa MRM seolah-olah mahu jadi wira dalam isu pemangsa seksual?
Kami, yang pertama secara jujur, bila kes ini sampai, kami fikirkan tentang imej dan reputasi agama Islam. Bagaimana imej agama kita. Bagaimana kita mahu jaga imej agama kita daripada dirosakkan? Bagaimana kita mahu jaga agama kita daripada dihina oleh orang lain bila kes ini bocor, bila nama mula dipanggil?
Sebab itu, sehingga pihak polis memanggil individu tersebut tempoh hari, kami tak pernah sebut nama dia pun. Sebab waktu itu adalah proses untuk kami mematangkan masyarakat, memberikan kesedaran kepada masyarakat.
Dan sebab itu kalau perasan, di pihak unit kajian dalaman kami, mereka masih tak tahu kes itu (pada awal ia bocor) sebab kes ini terlalu berat untuk mereka uruskan.
Secara peribadi, tuan memang tiada niat jadi wira?
Tidak, tiada hero pun sebenarnya, sebab hero sebenar adalah masyarakat, hero sebenar adalah sistem perundangan, heronya adalah pihak berkuasa yang akan mengambil tindakan. Kita di MRM hanya pemudah cara, hanya membantu apa yang termampu bagi pihak mangsa.
GANGGU SIASATAN
Kes babitkan individu ini sekarang dalam siasatan pihak berkuasa. Tak takutkah MRM dilihat cuba campur tangan atau menjejaskan siasatan?
Sebagaimana kami sebut, apa juga tindakan kami, kami akan sentiasa merujuk kepada pakar-pakar yang ada. Setelah mendapatkan nasihat dan pandangan bukan saja seorang tapi sekumpulan pakar dalam pelbagai bidang, maka beranggapan ia tidak akan mengganggu siasatan.
Adakah MRM sendiri ada terlibat membantu siasatan pihak berkuasa berhubung kes ini?
Penglibatan kami adalah sekadar membantu mangsa-mangsa mendapatkan bantuan psikologi, bantuan psikiatri, sokongan moral dan bantuan guaman apabila diperlukan. Ini kerana antara kerisauan mangsa dan juga ahli keluarga mereka adalah, bagaimana jika mereka dikenakan tindakan? Bagaimana jika mereka diheret ke mahkamah? Mereka tiada duit.
Tapi setelah kami memberitahu kami ada unit guaman yang akan membantu secara percuma, maka mereka akan ke situ.
Jadi, sebab itu untuk sebut secara rasmi, maklumat-maklumat serta bukti-bukti itu telahpun diberikan oleh pihak mangsa kepada polis secara terus, dan bukan melalui kami.
Tapi kami tahu kewujudan bukti-bukti itu, kerana kami berjumpa dengan mangsa, dan bukan sekadar melihat screenshot, malah juga aplikasi Whatsapp tersebut.
KESAN KE ATAS ISLAM
Tidakkah kontroversi ini akan semakin menjauhkan umat Islam daripada golongan agamawan, sekali gus berbahaya kerana umat akan semakin jauh dari dakwah?
Jawapan saya adalah ya dan tidak. Ya, kerana mungkin ada manusia yang kurang rasional, mereka akan menyalahkan agama dan kecewa dengan agamawan.
Tapi kalau manusia yang rasional, mereka akan fikir, bukankah ini lebih baik didedahkan untuk mencegah kemungkaran.
Apa yang cuba disampaikan
Bayangkan, kalau seorang agamawan A melakukan satu perkara terkutuk, lalu yang membawa isu ini adalah golongan liberal yang tak suka kepada Islam, apakah implikasinya? Lagi teruk, bukan?
TAK JAGA AIB?
Tak terfikirkah lebih elok jaga aib, dan tidak dibuat pendedahan terang-terangan?
Nabi Muhammad SAW berkata, seperti dalam hadis riwayat Muslim, An-Nasa’i dan Ahmad daripada A’isyah: “Musnahnya orang yang sebelum daripada kamu semua ialah kerana apabila seorang yang mulia dalam kalangan kamu mencuri, mereka biarkan begitu sahaja. Tetapi apabila seorang yang lemah daripada mereka mencuri, mereka akan mengenakan hukuman ke atasnya. Demi Allah SWT! Kalau Fatimah Binti Muhammad sekalipun mencuri, aku akan potong tangannya!”
Jadi, itu prinsip Islam. Betul kita boleh tutup kes, tiada masalah. Kita dalam Islam, orang Islam kita sering terlupa nak seimbangkan antara kemaafan dan keadilan.
Kalau kita ambil contoh hukum qisas sekalipun, kenapa ada pilihan untuk buat diyat (ganti rugi atas sesuatu kehilangan nyawa) bagi membolehkan pembunuh itu terlepas dari hukuman bunuh, tapi pada masa sama, keluarga mangsa juga boleh menolak diyat dan minta pembunuh itu dihukum bunuh?
Sebab kemaafan ada ruang. Kemaafan ada masa dan peluangnya, tapi keadilan juga perlu ditegakkan.
Jangan kerana sekadar memaafkan sehingga keadilan tidak ada. Bila kita hanya ada kemaafan semata-mata tetapi tidak menegakkan keadilan, maka itu adalah kezaliman.
RANGKAIAN PENGARUH BESAR
Sejauh mana amang seksual menular dalam masyarakat sekarang?
Setelah kami melancarkan sayap wanita MRM pada Jun lalu, kami menerima banyak aduan. Dari situ kami dapat lihat coraknya, iaitu gangguan dan amang seksual.
Kami juga dapat laporan kes dilakukan oleh si ayah kepada mangsa, daripada adik beradik sendiri, kami dapat laporan kes dilakukan nazir masjid, imam masjid, kami dapat laporan datuk saudara buat gangguan seksual, kami terima kes budak 13 tahun, kes kanak-kanak seawal usia tiga, empat tahun (jadi mangsa).
Boleh tak bayangkan, bagaimana perasaan ibu mangsa, apabila anaknya berusia tiga atau empat tahun, yang masih tak pandai bercakap, bila sebut nak pergi rumah (pemangsa) saja, mereka terus takut.
Boleh bayangkan tak, kami mengendalikan berpuluh-puluh kes, emosi dan mental kami macam mana?
Bila mereka menangis-nangis minta tolong, tapi tiada siapa yang percayakan mereka. Sebab mereka dituduh mahu pecah belahkan saudara-mara, mereka dipesan oleh keluarga lain: “Sudahlah, kalau berlaku pun, kita tutup saja sebab nanti aib kepada keluarga”.
UTOPIA DUNIA
MRM sebelum ini turut menekankan isu LGBT. Sejauh mana ia mengancam kedaulatan Islam di negara ini?
LGBT tidak mengancam kedaulatan Islam, kerana kedaulatan Islam itu adalah unik dan berdiri dengan sendirinya.
Malah Islam tidak terancam dengan wujudnya kumpulan LGBT. Tapi yang terancam itu adalah kumpulan dan penyokong LGBT itu di akhirat nanti. Sebab firman Allah SWT bermaksud: “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga…” Maka adakah kerana wujudnya LGBT akan mengancam Islam? Tidak.
Bila ada golongan yang melakukan kemungkaran ini, sebenarnya ia adalah satu proses kepada kita sebagai Muslim untuk berdakwah, untuk kita menggalakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Malah itu juga ada ujian.
Masalah kita adalah kita mahukan satu dunia yang aman dan bersifat utopia. Ini bukan utopia, ini distopia. Utopia itu di syurga nanti.
Distopia pula di sini, di dunia yang jadi tempat kita berusaha. Jadi adanya golongan LGBT adalah ujian untuk kita dan ujian untuk mereka, yang diuji mempunyai kecenderungan sesama jantina.
Tapi kumpulan ini mampu mempengaruhi masyarakat dengan menampilkan sebagai golongan berjaya dari segi perniagaan?
Saya tak nafikan, ada dalam kalangan mereka yang berjaya. Tapi apa kata kita bersikap objektif dan rasional. Bandingkan nisbah siapa saja pihak transgender ini, dengan nisbah orang biasa yang berjaya. Apakah peratusan nisbah yang kita akan lihat? Kita akan dapat tahu dari situ.
Apa punca penularan budaya ini?
Adakala, orang Islam sekarang, walaupun kita tahu ajaran Islam tak membenarkan, tapi kerana lemahnya ilmu tentang agama Islam, maka disokongnya kumpulan ini.
Walaupun mereka tahu bahawa Allah SWT melaknat golongan yang menukar jantina dan seumpanya, namun macam mana ada orang yang masih boleh tengok video dan kata, “Oh! Cantiknya awak ini”.
Penyokonglah. Ini kerana wujudnya penyokong yang kurang ilmu agama, atau mungkin ada ilmu tapi pemahaman kurang dan menyokong pihak transgender ini, maka sebab itulah ia menjadi-jadi. Apabila tiada sokongan dan permintaan, pasti tiada juga penawaran. – Mingguan Malaysia









