Tarikh keputusan rayuan Firdaus Wong ditetapkan kemudian

Tarikh keputusan rayuan Firdaus Wong ditetapkan kemudian

FIRDAUS Wong (tengah) selepas prosiding rayuan melibatkan video TikTok miliknya yang menyentuh penukaran agama kanak-kanak bawah umur secara rahsia sehingga melanggar Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan akan menentukan kemudian keputusan rayuan pendakwah bebas, Firdaus Wong berkait saman pemula oleh lapan ibu bapa berhubung video penukaran agama kanak-kanak bawah umur secara rahsia.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan berkata, mahkamah memerlukan masa untuk meneliti isu-isu perlembagaan yang dibangkitkan sebelum menyampaikan keputusan bersama alasan penghakiman penuh.

“Setelah berbincang mengenai perkara ini, kami menyedari beban berat dalam membuat keputusan, kerana ia merupakan isu perlembagaan yang sangat penting.

“Dan saya fikir ia hanya adil apabila kami menyampaikan keputusan yang disertakan dengan alasan penghakiman penuh.

“Jadi harap bersabar. Kami mungkin mengambil sedikit masa untuk membuat keputusan,” katanya yang bersidang bersama-sama Datuk Nadzarin Wok Nordin dan Datuk Sri Latifah Mohd Tahar.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Ogos ini bagi pengurusan kes secara e-review untuk menetapkan tarikh keputusan tersebut.

Pada 10 Julai 2025, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh membenarkan saman pemula difailkan lapan ibu bapa bukan Islam berhubung video Firdaus atau nama sebenarnya Firdaus Wong Wai Hung yang dimuat naik di akaun TikTok @brofirdauswong.

Hakim itu yang kini Hakim Mahkamah Rayuan turut mengisytiharkan video berkenaan melanggar Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan dan memerintahkan video itu dipadam daripada akaun TikTok dan mana-mana akaun media sosial miliknya.

Terdahulu, Firdaus yang diwakili peguam, Norazali Nordin membangkitkan persoalan sama ada seseorang individu boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap individu lain semata-mata atas dakwaan pelanggaran hak perlembagaan.

Katanya, hak perlembagaan pada asasnya mengawal hubungan antara rakyat dan kerajaan serta tidak mewujudkan hak tindakan persendirian, selain mendakwa tiada bukti berlaku penukaran agama kanak-kanak atau pelanggaran hak perlembagaan ibu bapa.

“Kami meneliti dakwaan ini dengan teliti dan mendapati skop Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diperluaskan untuk meliputi perjanjian kolektif seperti yang dibangkitkan dalam kes ini.

“Undang-undang perlembagaan hanya berkaitan pelanggaran hak individu oleh pihak kerajaan atau agensinya, dan tidak terpakai terhadap pelanggaran hak undang-undang seseorang individu oleh individu lain,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, M. Visvanathan yang mewakili lapan ibu bapa berkenaan berhujah keputusan Mahkamah Tinggi adalah tepat kerana kes itu melibatkan hak ibu bapa dalam menentukan agama anak bawah umur dan bukan semata-mata tentang agama atau peranan Firdaus sebagai pendakwah.

Menurutnya, hak perlembagaan perlu dilindungi dan mahkamah boleh memberikan perintah sewajarnya apabila hak tersebut terjejas, termasuk mengarahkan video berkenaan dipadamkan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN