Athiah berubah demi kejayaan Azizulhasni - Utusan Malaysia

Athiah berubah demi kejayaan Azizulhasni

Athiah Ilyana Abd. Samad bersama suami, Azizulhasni dan anak-anak gemarkan aktiviti lasak di luar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Datuk Azizulhasni Awang melakar satu lagi kemenangan bermakna buat tanah air tercinta apabila membawa pulang pingat perak dalam acara Keirin di Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini.

Kejayaannya itu menjadi kegembiraan dan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Namun, sudah pasti di sebalik kehebatan dan kejayaan figura yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocket Man itu, berdiri seorang wanita yang setia menjadi tulang belakang beliau selama ini.

Itulah isterinya, Datin Athiah Ilyana Abd. Samad, 35, yang sudah hampir 12 tahun berkongsi suka-duka dan jatuh bangun bersama atlet kebanggaan negara itu.

Di sebalik setiap kejayaan yang dikecapi, terselit pengorbanan besar seorang isteri demi suami tercinta.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, katanya, sebagai isteri dia tahu komitmen besar suaminya terhadap negara.

ATHIAH ILYANA ABD. SAMAD

Lantaran itu beliau berkata, sejak awal lagi dia nekad untuk belajar menjadi seorang isteri berdikari dan kuat supaya dirinya tidak mengganggu fokus suami terhadap kerjaya.

Malah katanya, perkongsian hidup bersama jaguh berbasikal negara itu, banyak mengubah personaliti menjadi lebih berdikari dan terbuka serta sentiasa memperbaiki diri untuk memahami tanggungjawab digalas oleh suami.

“Saya tidak boleh terlalu bergantung kepada suami dalam semua perkara, kerana beliau sangat sibuk.

“Contohnya pergi membaiki kereta. Kalau suami saya boleh buat, dia akan buat tapi kalau dia tidak dapat lakukan saya tidak akan persoalkan,” katanya.

Athirah berkata, daripada menjadi isteri yang terlalu bergantung kepada suami, dia memainkan peranan sebagai pembakar semangat buat suami setiap kali menjelang pertandingan penting.

“Setiap kali dia bakal beraksi, saya akan pastikan untuk sentiasa berbual dengannya. Tetapi percakapan kami sangat terhad supaya suami tidak hilang fokus.

“Saya akan berkongsikan kata-kata semangat, hadis dan sebagainya. Paling penting, saya tidak akan menceritakan masalah atau perkara yang boleh memeningkan kepalanya,” katanya sambil menyifatkan suami sebagai seorang yang romantik dan manja.

ANAK SUMBER KEKUATAN

Membesarkan anak-anak yang semakin menginjak dewasa sendirian di bumi asing, Melbourne, Australia tatkala suami berjuang demi negara bukanlah suatu perkara yang mudah.

Apatah lagi ketika ini, ibu kepada dua cahaya mata itu sedang hamil anak ketiga yang menjadi penantian mereka suami isteri sejak setahun lalu.

Menganggap ia sebagai rezeki dan hadiah istimewa saat berjauhan daripada suami ketika ini, Athiah tidak sedikitpun merungut walaupun menghadapi alahan di awal kandungan bersendirian.

Tegasnya, anak-anak menjadi sumber kekuatan utama dalam menempuh hari-hari mendatang.

“Kehidupan harus diteruskan walaupun tiada suami, keluarga atau pun teman. Tujuan hidup yang sebenar adalah untuk mendapat keredaan Allah SWT, jadi kita sebagai wanita harus menyusun laluan untuk terus hidup.

“Anak-anak akan memerhati dan belajar daripada apa yang kita buat. Tambahan, anak saya dua-dua perempuan dan saya tidak mahu mereka terlalu manja dan mudah mengalah,” katanya.

Bagaimana pun, dia bersyukur dua puteri kesayangan, Amna Maryam, 9, dan Amna Khadeeja, 6, sudah mampu memahami keadaan sekeliling dan menjaga diri masing-masing tatkala dia diserang alahan sewaktu hamil.

“Rakan-rakan sekeliling juga sangat banyak membantu dengan menghantar makanan kepadanya dan anak-anak.

“Saya sangat bersyukur dengan sokongan yang di berikan oleh rakan-rakan. Ada kalanya mereka datang tolong mengemas rumah ataupun melayan anak-anak saya,” ujarnya yang mengharapkan kehadiran seorang hero bagi kehamilan ketiga ini.

Dari kiri Maryam, Athiah dan Khadeeja memberikan sokongan kepada atlet negara, Azizulhasni ketika Sukan Olimpik Tokyo, baru-baru ini.

Selain itu, dia juga mengamalkan terapi diri bagi mengendalikan emosi sendiri dengan lebih baik tatkala berada di fasa down.

Sebagai seorang wanita, dia sudah pasti tidak dapat mengelak daripada merasa letih dan penat terutamanya ketika berbadan dua.

“Saya dapat ketenangan apabila membaca al-Quran. Selain itu, saya banyak membaca buku motivasi dan mendengar podcast di internet .

“Kata-kata inspirasi atau motivasi dari orang lain sangat penting untuk membina kekuatan minda dan fizikal. Senaman seperti pilates juga sangat membantu memberi ketenangan kepada minda,” jelasnya.

TIPS BAHAGIA

Mengenai tips rumah tangga bahagia, anak kedua daripada lima beradik itu berkata, memahami tanggungjawab dan amanah sebagai isteri, percaya pada pasangan serta banyak melakukan aktiviti bersama-sama adalah sangat penting dalam menguatkan kasih sayang.

Lebih-lebih bersuamikan seorang figura.

“Saya perlu bersikap lebih terbuka dan tahu keperluan suami sebagai atlet profesional,” katanya.

 

Biodata:
Nama: Athiah Ilyana Abd. Samad
Umur: 35 tahun
Pendidikan: Ijazah Sarjana Seni Bina, Deakin Australia
Hobi: Membaca buku, memanjat gunung
Minat: Melukis, memasak, melancong
Mengenai diri: Seorang yang peramah dan suka berkawan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya