KUANTAN: ‘Jangan pandang mudah tanggungjawab petugas pengurusan jenazah Covid-19 kerana ia cukup mencabar dan meletihkan selain perlu berpanas terik sebelum prosesnya berakhir’.
Itu antara cabaran yang dikongsikan petugas pengurusan jenazah Covid-19, Firdaus Mohd. Akhir, 57, kepada Utusan Malaysia yang juga diberikan tanggungjawab menyediakan keranda khas hanya untuk mangsa-mangsa korban pandemik.
Menceritakan kronologi kerjanya, Firdaus berkata, ketika di tanah perkuburan, proses mengangkat dan menimbus jenazah hanya dilakukan empat petugas dengan perlu memakai pakaian peralatan perlindungan diri (PPE).
Maka, tidak hairanlah setelah proses pengebumian selesai, empat petugas berkenaan ada yang terduduk malah ada yang terbaring akibat kepenatan selepas selesai menyempurnakan pengebumian setiap mangsa Covid-19.
Mereka keletihan bukan hanya kerana perlu menyediakan keranda khas, malah segala urusan daripada A hingga Z dilakukan empat petugas terbabit.
Setiap kali berlaku kematian, semua prosedur perlu dipatuhi dan ia bermula dari bilik mayat hingga ke tanah perkuburan.
Prosesnya, bermula dari peti beku di bilik mayat untuk pengesahan waris. Selepas itu, jenazah dikafankan dengan cara dibaluti dengan kain linen dan dua lapis body bag, kemudian diikat dengan ketat.
Seterusnya, jenazah ditayammum menggunakan debu sebelum boleh dimasukkan ke dalam keranda yang ditempah khas.
Petugas perlu melakukan proses saringan nyahcemar (decon) ke seluruh badan jenazah dan ‘seal’ keranda khas tersebut menggunakan gam silikon.
Proses decon dilaksanakan sekali lagi di keranda itu sebelum petugas akan menyembahyangkan jenazah dan membawanya ke tanah perkuburan.
Di tanah perkuburan, empat petugas itu juga yang mengusung jenazah ke liang lahad tanpa bantuan waris.
Keranda diturunkan menggunakan tali dan proses timbus dilakukan orang sama.
Firdaus berkata, keranda khas dibuat menggunakan ‘plywood’ ataupun papan lapis berukuran 74 inci panjang, lebar (14 inci) manakala tinggi 20 inci.
“Saya mula membuat keranda sejak awal Januari tahun ini, sehingga kini lebih 30 keranda dibuat untuk jenazah Covid-19 dari seluruh negeri ini yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali di sini.
“Kos bayaran keranda dibayar waris atau keluarga si mati iaitu RM250 dengan segala urusan dari A hingga Z dilakukan petugas pengurusan jenazah Covid-19,” ceritanya.
Berhubung proses pengebumian, Firdaus berkata, kebiasaannya ia dilakukan ketika cuaca panas terik iaitu antara pukul 10 pagi hingga 2 petang.
“Pada waktu itu memang ‘terbakar dalam PPE’ tetapi apakan daya ia demi keselamatan kami. Jika hujan, pengebumian dilakukan juga sebab kita kesian dengan waris terutama yang datang dari jauh,” katanya.
Dari segi usia jenazah terlibat pula katanya, majoriti yang diuruskannya berusia 65 tahun ke atas dan mempunyai rekod penyakit seperti kencing manis, jantung dan juga darah tinggi.
“Jenazah Covid-19 yang saya pernah urus beratnya ada sehingga 90 kilogram, mahu tidak mahu ia satu tanggungjawab dan kami perlu melaksanakannya dalam apa jua keadaan sekalipun.
“Paling penat masa hendak timbus tanah kubur, buat dalam keadaan panas terik dengan memakai PPE dan empat orang sahaja, ia cukup mencabar,” katanya.
Firdaus dalam pada itu turut berkongsi kesedihannya terhadap segelintir netizen yang membuat aduan berasa terganggu apabila polis membunyikan siren ketika mengiringi van jenazah membawa mangsa korban Covid-19 ke tanah perkuburan.
“Ini saya sedih, mereka tidak fikir perasaan kami dalam van berkenaan yang ‘dibogelkan’, tidak ada pendingin hawa, tempat duduk juga dibuka dan hanya kerusi plastik bulat saja disediakan,” katanya. – UTUSAN










