Tindak balas Bersatu - Pas - Utusan Malaysia

Tindak balas Bersatu – Pas

AHMAD Zahid Hamidi diiringi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menaikkan bendera Sang Saka Bangsa dengan iringan lagu parti UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur Sabtu lalu. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesepakatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas bertambah kukuh selepas tiga hari UMNO mengumumkan menamatkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dalam perkembangan terkini, Bersatu dan Pas, antara parti pengasas PN akan menubuhkan Jawatankuasa Permesyuaratan peringkat Pusat bagi merangka strategik dan hala tuju gabungan tersebut dalam menghadapi PRU-15 termasuk rundingan pengagihan kerusi.

“Segala keputusan yang dicapai akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk dimuktamadkan secara kolektif dalam kalangan semua parti komponen,” kata kedua-dua parti tersebut menerusi satu kenyataan bersama semalam.

Kenyataan ditandatangani bersama tersebut dibuat Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hasaan

Dalam kenyataan tersebut, Bersatu dan Pas turut membuat penegasan bersama iaitu menolak sebarang bentuk penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan selepas PRU-15 terutamanya melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

Susulan itu, jelas kenyataan tersebut, kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti iaitu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengadakan pertemuan semalam bagi merangka hala tuju kerjasama lebih mantap dan berstrategik dalam gabungan itu.

“Menginsafi pentingnya kestabilan politik sebagai teras kelangsungan kerajaan PN bagi membela kebajikan rakyat terutama buat masa ini bagi menangani wabak Covid-19, kepemimpinan tertinggi Bersatu dan Pas bersetuju dengan ketetapan asas iaitu mengukuhkan kerjasama dalam menghadapi PRU-15,” jelas kenyataan tersebut.

Selain itu, Bersatu dan Pas komited untuk terus memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk selain bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menyokong konsep tersebut.

Kenyataan tersebut, sekali gus menolak sebarang usaha untuk merungkaikan perpaduan yang terjalin dan sebarang cubaan mengugut kerajaan PN yang dibina secara bersama.

“Bersatu dan Pas menyeru semua pertubuhan dan persatuan Melayu, Islam dan bumiputera serta rakyat yang cintakan negara agar bersatu hati untuk bersama-sama berjuang dalam saf yang sama demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN