MEDIA arus perdana minggu lalu mengemukakan satu persoalan penting yang perlu dijawab oleh rakyat dan pemerintah. Bolehkah wang dalam tabung amanah negara digunakan sekarang?
Di negara kita, satu tabung amanah negara diwujudkan di bawah Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 1988 (National Trust Fund Act, atau ringkasnya Akta 339).
Di bawah Seksyen 3(3), dinyatakan Bank Negara Malaysia bertanggungjawab mengenai pentadbiran dan pengurusan harian tabung tersebut, manakala sebuah panel pemegang amanah yang dilantik oleh Menteri Kewangan diberi kuasa kawal selia dana tersebut. Seksyen 6 Akta itu menceritakan bagaimana wang tabung itu boleh digunakan.
Akta 339 tidak panjang dan tidak sukar difahami, mengandungi 15 seksyen sahaja. Barangkali orang awam akan terus tidak mempedulinya jika tidak kerana satu peristiwa yang berlaku baru-baru ini.
Disebabkan peristiwa itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Menteri, Kewangan Lim Guan Eng berasa terpanggil membuat kenyataan serta teguran.
‘Peristiwa’ yang dimaksudkan itu adalah tindakan kerajaan meluluskan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021, yang kini telah diwartakan.
Di bawah ordinan baharu ini, Seksyen 6 sedia ada telah dipinda, yang mana hasilnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini ada kuasa menggunakan wang dalam tabung amanah negara untuk membeli vaksin Covid-19 dan berbelanja berkaitan program imunisasi kebangsaan.
Ordinan yang baharu ini menyusuli Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu (Pindaan) 2021, berkuat kuasa pada 31 Mac lalu, yang memberi kuasa kepada Perdana Menteri, ketua menteri dan menteri besar meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.
GANTUNG
Jika di bawah ordinan pada Mac lalu itu Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri boleh menambah perbelanjaan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa kelulusan wakil rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), di bawah pindaan baharu Akta 339 ini pula, Kerajaan Persekutuan boleh ‘pecah’ tabung amanah negara untuk berbelanja memperoleh vaksin Covid-19.
Tindakan kerajaan ini tidak boleh disoal atau dibahas oleh wakil rakyat atau ADUN kerana Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak bersidang (digantung) dari 11 Januari hingga 1 Ogos ini susulan proklamasi darurat.
Mengulas ordinan baharu ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dalam Belanjawan 2021 lalu, wang sebanyak RM3 bilion diperuntukkan untuk vaksinasi 80 peratus rakyat Malaysia, tetapi tidak ada penjelasan dan pendedahan yang terperinci bagaimana anggaran itu dibelanja atau diuruskan.
Tambahnya lagi: “Sebulan yang lalu, peruntukan untuk program imunisasi ini ditambah menjadi RM5 bilion untuk mempercepatkan sasaran vaksin 80 peratus penduduk menjelang Disember 2021 dan bukannya Februari 2022.”
Oleh itu, kenapa secara tiba-tiba perlu bagi kerajaan memecah tabung amanah negara, soalnya.
Teguran Mohamad ini serupa dengan teguran Najib: “Kenapa perlu dapatkan RM2 bilion lagi semata-mata untuk mempercepatkan vaksinasi hanya untuk dua bulan?”
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan bahawa sewaktu dia memimpin negara ini, tabung amanah negara itu tidak pernah dicuit. Dana dalam tabung bertambah dari RM4 bilion kepada RM16 bilion. Mengikut akaun rasmi yang diketahui umum, aset tabung amanah itu berjumlah RM17.4 bilion pada akhir Disember 2018.
Guan Eng pula menyifatkan tindakan Kerajaan Persekutuan itu sebagai tidak bertanggungjawab, tidak kompeten, dan cuba mengelakkan pemeriksaan Parlimen (irresponsible, incompetent, and a bid to escape Parliament scrutiny). Tindakan menggunakan wang dalam tabung itu seumpama “merompak wang simpanan untuk generasi masa depan”.
Bagi pakar ekonomi, Dr. Muhammed Abdul Khalid, tabung amanah negara kita adalah untuk kegunaan generasi masa depan, seperti mana Dana Minyak Norway ditubuhkan oleh kerajaan Norway bagi generasi masa depan mereka.
USIK
Tambahnya, kerajaan Malaysia tidak pernah usik dana dalam tabung itu walaupun negara dalam kesusahan sewaktu krisis kewangan Asia pada 1998 dan krisis kewangan global 2008.
Bagi Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, Kerajaan Persekutuan perlu jelaskan kepada rakyat kenapa berbilion ringgit yang diperuntukkan untuk program vaksinasi sebelum ini masih tidak cukup.
Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim juga menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan terbaru itu. “Saya khuatir ketirisan dan salah guna kuasa mungkin timbul. Apakah ia untuk pembelian vaksin?”
Menjawab semua kritikan ini, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata “Akta 339 ini tarikhnya 1988. Lebih 30 tahun telah berlalu. Kalau waktu krisis Covid ini tak boleh digunakan, apa guna 30 tahun lepas kita wujudkan dana KWAN? ‘Masa depan’ yang dimaksudkan pada tahun 1988 itu ialah hari ini.”
Berbanding tabung amanah negara kita kini yang dianggarkan bernilai tidak melebihi RM20 bilion, Dana Petroleum Timor Leste kini bernilai RM65 bilion, manakala Dana Minyak Norway kini bernilai AS$1 trilion.
Di Timor Leste, Parlimen terus bersidang (tidak digantung seperti Malaysia) dan telah meluluskan pengeluaran wang dari dana petroleumnya untuk memerangi pandemik Covid-19 (https://thediplomat.com/2021/02/how-timor-leste-financed-its-covid-19-efforts/).
Di Norway, sebuah portal berita melaporkan pada Mei 2020 lalu bahawa negara itu merancang mengeluarkan 382 bilion kroner (AS$37 bilion) untuk memperkukuhkan ekonomi negara yang telah lumpuh disebabkan Covid-19 dan kejatuhan pasaran minyak global (https://fortune.com/2020/05/12/norway-oil-sovereign-wealth-fund-coronavirus-bailout/).
Jika Timor Leste atau Norway dijadikan contoh, tidak salah bagi kerajaan menggunakan tabung amanah negara. Cuma soalnya, di negara kita Parlimen tidak bersidang.
DATUK Salleh Buang pernah berkhidmat sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.










