Pembelotan, penjajaran baharu dan kompromi - Utusan Malaysia

Pembelotan, penjajaran baharu dan kompromi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA era Perang Dingin Amerika Syarikat (AS) dengan Kesatuan Soviet, sejarah mecatatkan perihal pembelotan anggota Agensi Perisikan Pusat (CIA), Aldrich Ames. Dia menjual maklumat rahsia pasukan kepada agensi perisikan KGB yang menjadi musuh negaranya bagi mengaut ganjaran berjuta-juta dolar.

Selama 15 tahun dia mendapat upah atas pembelotan kepada agensi dan juga negara. Walaupun mendapat ganjaran besar, Ames tidak dapat lari daripada rasa bersalah. Kerana belot itu satu perbuatan yang tidak bermoral – mencemar tanggungjawab untuk kepentingan peribadi.

Watak-watak pembelot memang sudah lama menjadi sebahagian daripada penggerak naratif, tidak kira dalam sastera klasik atau cereka moden. Banyak terdapat dalam sejarah silam, dan tidak kurang juga dalam sejarah yang dalam ‘pembikinan.’

Perihal pembelot juga boleh dikutip daripada tragedi yang sangat masyhur ketika Empayar Rom sekitar tahun 45 Sebelum Masihi apabila Julius Caeser dikhianati orang kepercayaannya, Brutus. Sasterawan William Shakespeare menulis semula tragedi Rom ini dalam naskhah agungnya, Julius Caeser (1599).

Siapa Brutus? Ketika perang saudara tahun 49 Sebelum Masihi antara Pompey dan Caeser, Brutus telah belot dan menyebelahi Pompey. Tetapi apabila Caeser menang dan menangkapnya, Brutus menangis kononnya insaf dan meminta maaf kepada Caeser.

Brutus diberi nyawa untuk kali kedua. Dia dimaafkan dan kembali bersekutu dengan Caeser. Padahal dia adalah pembelot kerana menyokong Pompey. Bagaimanapun, ketika banyak ahli senat cuba menjatuhkan Caeser, Brutus membuat konspirasi untuk membunuh Caeser.

Dalam sejarah moden AS, siapakah yang menjatuhkan Presiden AS yang paling licik, Richard Nixon kalau bukan pembelot? Nixon ialah Presiden AS yang paling hebat dasar luarnya, tetapi terlibat dalam Skandal Watergate. Nixon mengalah dengan skandal itu dan meletak jawatan.

MELAKA

Pembelot yang memberi maklumat mengenai skandal itu ialah Alexander Butterfield, pembantu Nixon sendiri. Butterfield hidup kaya raya dengan ganjaran berjuta-juta dolar yang dikaut daripada musuh-musuh Nixon. Tanpa pembelot seperti Butterfield, Nixon tidak mudah untuk dijatuhkan.

Orang Melayu menggambarkan pembelot, tidak kira dalam konteks negara, masyarakat atau organisasi sebagai musang berbulu ayam. Belot ialah sikap tidak setia dan berubah-ubah mengikut tinggi atau rendah nilai habuan yang diperoleh hasil pembelotan.

Saya mencatatkan tentang pembelot dan pembelotan ini kerana dalam kalangan kita selalu lupa kepada watak ini. Kita hanya mengangkat watak pejuang atau wira tetapi terlupa pembelot juga menjadi faktor yang sekali gus mengangkat seseorang pejuang.

Sebabnya pejuang yang hebat bukan sahaja di medan pertempuran tetapi kenal dan dapat membaca langkah sumbang pembelot yang kononnya setia pada perjuangan. Membaca langkah pembelot tidaklah sesukar memahami semiotik naskhah klasik, Sejarah Melayu.

Malah semua sejarah manusia juga mencatatkan bahawa pembelot bukanlah dalam kalangan orang luar. Sebaliknya dalam kalangan masyarakat sendiri. Inilah yang menyukarkan untuk dikenal pasti musang atau musang berbulu ayam. Wajah dan peranannya akan berubah mengikut keadaan bagi memastikan kedudukan yang selamat demi kepentingan peribadi.

Selepas lebih lima abad, kita tidak boleh leka kononnya manusia bernama Si Kitul dan Raja Mendaliar sudah tiada. Sebenarnya kedua-dua watak ini terus wujud dengan nama dan wajah berbeza tetapi matlamatnya sama untuk mengaut kepentingan diri, dan condong kepada pihak yang boleh memberikan manfaat peribadi.

Kejatuhan Melaka pada 1511 bukanlah disebabkan kehebatan bala tentera Portugis yang diketuai oleh Alfonso de Albuquerque. Malah bukan juga kelemahan bala tentera Sultan Melaka. Kejatuhan Melaka oleh penjajah yang datang dengan tujuh buah kapal disebabkan pembelotan Si Kitul dan Raja Mendaliar.

KOMPROMI

Tetapi istilah ‘pembelot’ tidak ada dalam kamus dunia politik. Walaupun beberapa perbuatan yang pada mata kasar adalah belot kepada ketua, perjuangan, parti malah bangsanya, tetapi dalam politik itu ialah kompromi.

Apabila seorang ketua, tiba-tiba mengalih haluan bahteranya untuk kepentingan peribadi, itu adalah belot pada amanah yang diwariskan daripada generasi silam. Bagaimanapun pembelotan ini cuba dijernihkan dengan menggunakan laras ungkapan yang murni – penjajaran baharu.

Dalam politik kita istilah ‘penjajaran baharu’ adalah pembelotan dalam konteks beberapa tragedi yang dicatat tadi. Semua ini dilakukan kerana ada kepentingan-kepentingan tertentu daripada ‘penjajaran baharu’ itu.

Bagaimanapun, pembelotan itu tidak dihadamkan oleh sebahagian besar penyokongnya. Mereka ini tidak mahu melihat dan mendengar kebenaran. Mereka setia membuta tuli.

Maka diratibkan supaya setia pada parti bukan pada kebenaran, bekerja untuk parti bukan untuk rakyat. Disebabkan penyokong dan pengagum yang pasif, masing-masing mengangguk-angguk terhadap perkara yang mereka tidak faham.

Kerana tidak ada istilah pembelotan dalam politik, maka tidak ada juga istilah kawan atau seteru yang sebenar-benarnya. Yang sedalam-dalamnya. Dalam politik kawan atau seteru bukan suatu yang utama, yang penting ialah kompromi untuk faedah bersama.

Disebabkan itu, menjadi kawan atau lawan yang berpanjangan dalam politik tidak menguntungkan politikus oportunis yang sentiasa bermimpikan ‘kerusi’ dan kuasa. Jadi, janganlah terkejut sangat apabila dua seteru kini saling berkompromi demi ‘penjajaran baharu.’

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN