Bila darurat, kita mesti kerja luar biasa. Semua yang tak boleh pun dibolehkan. Bila lagi? Inilah masanya. Pendidikan PdP (pengajaran dan pembelajaran) sekarang dalam darurat. Jadi, tunggu apa lagi?
Dua hari saya buang masa merungut mengenai kemudahan internet yang buruk. Kita tentu tak sesuai merungut berpanjangan. Tentu sedikit sebanyak suara kita sudah didengar.
Sampailah masa kita berfikir pula mencari jawapan. Lagipun kawan-kawan tahukan, bukan Pak Din la jika asyik merungut tak cari jalan.
Baik, kita terima sekarang apa jua yang ada, seadanya. Kita tak boleh ubah perkara besar sekelip mata. Mari kita buat dalam keupayaan yang ada. Apa caranya?
Sekaranglah masanya kembali kepada komuniti kita, di kampung atau taman perumahan. JKKK (jawatan kuasa kemajuan dan kawalan kampung) atau (JK) (jawatan kuasa) taman elok duduk sekarang bincang, (jagalah SOP ya) macam mana nak saling membantu PdP dalam komuniti. Tubuhkan JK kecil seperti JK pengajaran, JK bahan pendidikan, JK logistik, JK hubungan dengan sekolah. JK ini akan mengumpul maklumat seperti berapa orang pelajar ada di kampung atau taman mereka, apa masalah mereka, berapa keluarga yang ada masalah internet dan berapa yang mewah internet.
Guru besar atau pengetua sekolah hendaklah mengadakan mesyuarat setiap pagi Isnin dengan guru pakar. Guru pakar pula bermesyuarat selepasnya dengan guru mata pelajaran. Dalam mesyuarat itu, maklumat dikumpul bagaimana nak laksanakan PdP selama lima hari dari Isnin sampai Jumaat. Pada hari Jumaat, bermesyuarat lagi untuk menyemak apa masalah sepanjang seminggu juga untuk merancang penyampaian PdP minggu depan dan penyelesaian masalah. Ini termasuk idea pembinaan produk pengajaran. Suatu masa nanti maklumat terkumpul akan berguna untuk negara.
PIBG (persatuan ibu bapa dan guru), masa inilah tuan puan kena bangun bekerja betul-betul di lapangan sebagai penghubung sekolah dengan komuniti taman atau kampung. Tubuhkan ketua-ketua sektor kampung atau taman dan adakan pertemuan setiap minggu. Dapatkan maklumat seperti sumber yang ada boleh dimanfaatkan, apa jurang antara sekolah dan rumah, bagaimana boleh manfaatkan jabatan-jabatan kerajaan di kawasan? Banyak jabatan kerajaan yang idle masa ini. Kenderaan, orang, alat dan sebagainya tak digunakan. Sekarang masanya diguna untuk pendidikan bangsa. Minta DO (pegawai daerah) adakan mesyuarat antara jabatan untuk bantu pendidikan. DO adalah Pengerusi Majis Keselamatan Daerah. Sekarang dah tak ada komunis dan subversif sangat. Tapi pendidikan kita ada masalah. Anggapkan keadaan semasa sebagai darurat dan layak JKKK digerakkan menggunakan sumber jabatan-jabatan.
Ubah mentaliti pendekatan PdP. Bagi PdP, cikgu, pensyarah, guru besar, naib canselor selalu baca jurnal pendidikan antarabangsa. Bila bab teknologi PdP, rujukannya tentulah negara maju sebab penulis banyak dari negara maju. Rupanya kita berkhayal. Kemudahan kita tak sampai. Mari keluar daripada mimpi. Kita guna apa saja yang ada. Jika perlu berpatah balik ke belakang, guna teknologi lapuk 30 tahun lalu pun tak apa. Tak payah malu, tak payah nak ideal. Apa antaranya?
Internet kita ada tapi slow misalnya. Dah tau slow, jangan guna video. Banyakkan audio. Video dan gambar kan berat? Gunakan banyak audio. Kalau itu pun berat, guna juga internet tapi banyakkan teks. Kalau itu pun tak boleh, gunakan hard material. Saya ingat dulu sekolah tahun 60-an, kalau nak tambah nota, kami beli nota Pos Adabi. Mereka lebih bagus buat nota. Siap ada latihan menjawab soalan-soalan lama. Mereka pakar sebab kerja mereka berniaga itu saja. Kenapa tak boleh guna cara tu kalau cara lain dah tak ada?
Thumb drive dah ketinggalan. Pensyarah 20 tahun dulu ke sana sini bawa thumb drive mengajar dan buat presentation. Saya pun begitu. Rasanya dah 10 tahun saya tak pakai thumb drive. Semua dah online dan open source. Pakailah balik. Jangan malu.
Lupakanlah dulu cerita paperless. Tak apalah prinsip 5S tu kita tangguhkan dulu. Bersepah kertas sana sini pun tak apa dalam darurat ni. Ya, guna kertas bercetak untuk bantu pelajar. Ada yang tak ada internet langsung, komputer tak ada, tablet yang kerajaan bagi dulu pun dah kaput. Baliklah guna kertas.
Persatuan guru mesti bangun. Anda sudah berjasa naikkan pengiktirafan profesion guru. Perjuangkan gaji, perjuangkan work environment dan banyak lagi kejayaan. Sekarang jambatan nak runtuh, tebatan banjir pecah, longkang sumbat. Inilah masanya tuan-tuan turun sebagai penyelesai masalah di lapangan. Tuan-tuan mesti berada di mana- mana sekarang. Kalau dulu presiden masing masing kerap dalam majlis dengan menteri atau bergerak mengekor menteri untuk lobi bab perkhidmatan, sekarang anda diperlukan di lapangan sebagai panglima perang menyelesai masalah. Moral guru down, moral murid down, moral ibu bapa juga down. Anda mesti turun bangkitkan semula moral perang mereka. Kalau tak macam tu, batalion kita akan kalah. Besok ada tempur lagi, lusa pun ada lagi, perbatasan sudah dimasuki. Tunggu apa lagi. Askar nak tengok jeneral, nak tengok komander mereka. Turun cepat.
Alumni sekolah dan universiti. Anda seronok jadi kebanggaan sekolah. Setiap perhimpunan besar dengan murid, nama anda selalu disebut sebagai ikon sekolah. Mana anda sekarang?
Sekaranglah masanya anda dan kawan-kawan kena pakat-pakat tampil. Saya tengok banyak grup WhatsApp sekelas, sekuliah, satu sekolah. Banyak borak politik, gurau sana gurau sini, kongsi doa-doa, bincang cari pahala, hukum-hukum agama, persediaan nak mati, macam macam. Tukarlah tajuk perbualan. Jangan pula tukar untuk takat hentam itu hentam ini. Tukar bincang macam mana nak cari jalan bantu anak bangsa tetap terus belajar walau dalam kegelapan. Dulu bukan main lagi bernostalgia belajar dan baca buku pakai pelita tapi tetap berjaya. Sekarang kapal negara nak karam. Nyalakanlah pelita tu balik.
Aduhhh. Pak Din letih dah. Dah mencungap. Banyak lagi nak tulis tapi dah letih.
TAN Sri Dr. Nordin Kardi ialah Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).










