Halal: Integriti sistem atau jati diri? - Utusan Malaysia

Halal: Integriti sistem atau jati diri?

DARI segi integriti garis panduan, standard, manual dan protokol industri Halal Malaysia, semuanya sudah lengkap. – Utusan/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya terpanggil untuk mengulas artikel ditulis oleh Panel Pakar Industri Halal Negara, Mohd. Amri Abdullah dalam Utusan Malaysia bertarikh 23 Januari 2021 tentang signifikannya peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menentukan keutuhan ekosistem halal dan sumbangannya terhadap ekonomi negara. Memang tidak boleh dinafikan sejak penubuhannya, agensi itu memainkan peranan utama dalam memberikan panduan kepada umat Islam terhadap pemilihan produk halal untuk keperluan harian mereka.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bukanlah sebuah badan berautoriti dalam penentuan kehalalan sesuatu produk atau perkhidmatan walaupun peranannya telah jauh menjangkau sehingga penetapan standard-standard halal negara sejak lebih dua dekad lalu.

Secara peribadi, saya sedih apabila agensi yang telah memainkan peranan amat besar ini menjadi bahan kecaman pihak-pihak tidak bertanggungjawab dan tidak tahu menahu langsung mengenai ekosistem halal negara dan tatacara pengurusannya.

Sejak 1995 lagi, sebelum penubuhan PPIM, gagasan halal telah dicetuskan dan sekumpulan profesional Islam duduk berbincang tentang usaha strategik untuk memperkasakan halal supaya menjadi platform untuk umat Islam maju dalam bidang ekonomi.

Melobi

Langkah pertama yang dicetuskan oleh mereka ialah menaik taraf garis panduan halal ke tahap standard. Melalui kerjasama erat dengan pihak industri pada masa itu, Mas Catering Sdn. Bhd., jawatan kuasa teknikal yang dibentuk berjaya menghasilkan satu standard pengurusan pertama di dunia berdasarkan sunnah dan hadis iaitu ISI2020. Penubuhan PPIM dan RISIS (Research Institute of Standards in Islam) pada 1997 memberikan standard ISI2020 sebagai platform baharu untuk diketengahkan dalam kalangan pemain-pemain industri lain di dalam dan luar negara.

Secara kebetulan pada 2000, standard halal pertama negara telah diterbitkan oleh Jabatan Standard Malaysia dalam bidang makanan halal, MS15­00:­2000 dengan kerjasama Jakim dan SIRIM Berhad.

Sejak itu, PPIM terus diberikan peranan untuk menyertai jawatan kuasa teknikal untuk meng­gariskan hampir kesemua standard halal yang ada sehingga hari ini. Malah, wakil PPIM juga pernah diberikan amanah untuk mempe­ngerusikan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan dari Perspektif Islam. Jawatan kuasa ini berjaya menghasilkan tidak kurang lapan standard pengurusan Islam.

Elemen-elemen yang diguna pakai dalam ISI2020 juga digabung bagi menggariskan standard halal dan pengurusan Islam ini. Sehingga kini, Malaysia adalah satu-satunya negara Islam yang berjaya menerbitkan standard dalam pelbagai sektor industri penting yang menjadi rujukan seluruh dunia.

Ketirisan

Apa yang saya nyatakan di sini adalah dari segi integriti garis panduan, standard, manual dan protokol yang kita telah terbitkan untuk kegunaan semua agensi yang terbabit dalam industri halal termasuk Jakim, Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kastam Diraja serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

JAKIM juga melalui fasa-fasa penting dalam memantapkan pengujian halal melalui Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHac), bidang penyelidikan dan pembangunan melalui Akademi Kajian Halal Antarabangsa (HIRA) serta Akademi Halal Antarabangsa Malaysia (MIHA). Mutakhir, pada Oktober lalu, Jakim menerima pengiktirafan akreditasi ISO/IEC17065 yang menandakan ia telah mematuhi sepenuhnya keperluan bertaraf antarabangsa standard dan perundangan yang ditetapkan ISO.

Integriti sistem Halal Malaysia sepatutnya memang tidak boleh dipersoalkan lagi oleh mana-mana pihak jika mereka peka terhadap latar belakang pengurusannya serta peranan yang dimainkan oleh agensi-agensi berkaitan.

Jika ada sebarang salah laku atau ketirisan halal di negara ini, maka saya kira ia adalah 100 peratus berpunca daripada faktor manusia.

PENULIS ialah Penolong Setiausaha, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan penerima Anugerah Standard Kebangsaan 2019, Jabatan Standard Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN