Cemas, malu salah sebut kata BI? - Utusan Malaysia

Cemas, malu salah sebut kata BI?

RINA MOHD HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINDAKAN pihak tertentu memperbetul kesalahan yang dilakukan pemimpin kita semasa berucap dalam bahasa Inggeris di majlis antarabangsa, hendaklah dilihat secara positif dari satu segi. Ini kerana bahasa boleh mendedahkan pelbagai maklumat tentang latar belakang selain identiti sosial penuturnya.

Ia menjadi lebih penting pada pemimpin kerana beliau mewakili negaranya. Dengan ini, bahasa pemimpin itu boleh berupa sumber kebanggaan rakyat ataupun sebaliknya punca rasa kurang senang mereka.

Sehubungan ini, usaha memperbetul sebutan perkataan tertentu dalam bentuk klip video dengan pelajarannya sekali adalah baik. Walaupun begitu, ia keterlaluan kerana cara pembikinannya. Ia yang dimulakan dengan ejekan melalui bahasa Inggeris yang bergaya meskipun sekadar mahu berkelakar, sebenarnya telah mencela maruah pihak terbabit. Untuk tujuan mendidik, ia tidak patut bersifat sedemikian sekalipun bagi golongan pelajar selain menakutkan mereka yang perlu dan terpaksa berbahasa Inggeris dalam ranah awam.

Harus diakui sebutan perkataan bahasa Inggeris rencam sekali kerana ia bersifat tidak fonemik, iaitu huruf tulisan tidak selalu mewakili nilai bunyi sebenar. Ini dapat dilihat pada perkataan put (letak) dan but (tetapi). Walaupun huruf tulisan “u” itu sama, nilai bunyinya berbeza. Begitu juga dengan perkataan can (boleh) dan cell (bilik) pada huruf tulisan “c”. Inilah hakikat sistem sebutan bahasa Inggeris.

DOSA

Selanjutnya perkataan bahasa Inggeris yang berakhir dengan dua huruf tulisan tidak semestinya membawa dua nilai bunyi sewaktu disebut. Ini berlaku pada perkataan debt (hutang) yang hanya perlu disebut nilai bunyi pada huruf tulisan akhir sahaja, iaitu “t”. Bagaimanapun, ada perkataan yang perlu disebut kesemua nilai bunyi pada segala huruf tulisan yang dipaparkan. Ini berlaku pada perkataan risk (bahaya), iaitu “sk” dan impacts (kesan-kesan), yakni “kts”.

Oleh sebab bahasa Melayu tidak mempunyai sifat demikian, iaitu wujudnya gugus huruf tulisan dengan nilai bunyinya, ia menjadi masalah bagi kebanyakan kita untuk menyebutnya. Hal ini kelihatan pada sebutan padanan perkataan konteks (context) dan AIDS (penyakit) daripada bahasa Inggeris yang rata-ratanya disebut kontek dan aid.

Natijahnya di sini ialah kita dipengaruhi bahasa kita apabila berucap dalam bahasa orang lain. Sehubungan ini, lumrahnya ialah kita menzahirkan bunyi pertama sahaja daripada gugus itu. Ini dapat dilihat apabila kita hanya menyebut bunyi “s” untuk risk dan “k” bagi impact.

Oleh itu, bunyi “b” yang disebut untuk doubt oleh pemimpin itu adalah berdasarkan tabii bahasa yang tiada gugus. Walaupun ia salah mengikut sistem bahasa Inggeris, ia bukanlah dosa seperti yang mahu digambarkan pihak tertentu itu.

GAJAH

Sudah tentu ia amalan bestari apabila kita berjaya menyebut setiap perkataan bahasa Inggeris dengan caranya yang tepat. Namun dalam kes sebutan salah itu, ia tidak jauh tersasar sehingga membawa makna lain. Dalam pada itu, pemimpin berkenaan masih menyebut perkataan tersebut dalam kerangka sistem bunyi tabii yang betul, iaitu masih menzahirkan nilai bunyi yang ada pada huruf tulisannya biarpun bukan pada yang sepatutnya dalam gugus itu.

Sebenarnya ucapan banyak pemimpin negara lain dalam bahasa Inggeris juga tidak selalunya tepat mengikut sistem bunyi bahasa itu. Namun, ia tidakpun menjadi sebarang masalah untuk ditimbulkan rasa kurang enak, iaitu cemas dan malu, apatah lagi dijadikan bahan ketawa oleh rakyat sendiri.

Ini kerana mereka tidak taasub kepada bahasa orang lain, meskipun bahasa Inggeris bahasa antarabangsa terpenting. Yang mereka cemas dan malu ialah apabila bahasa sendiri tidak dibanggakan, disayangi dan seterusnya ditaati oleh watannya sendiri.

Inilah masalah kita, kuman di sebarang laut nampak, gajah di hadapan mata tidak nampak. Dalam hal ini, banyak kesalahan yang berlaku pada penggunaan bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara, tidak diendahkan sesiapapun. Malah ramai yang tidakpun mengetahuinya sebagai kesalahan.

SANTUN

Ini menunjukkan betapa buta hatinya kita terhadap bahasa sendiri. Sebaliknya kita cepat celik hati apabila berlakunya kesalahan yang tidak disengajakan akibat pengaruh bahasa sendiri dalam menguasai bahasa lain.

Sehubungan ini, dari segi sebutan dalam bahasa Melayu, tidak ada satu pihak pun yang memperlihat rasa cemas dan malu apabila nilai bunyi pada huruf tulisan “kh” pada perkataan “khabar” tidak lagi dilafazkan dengan iringan geseran. Sebaliknya ia disebut sebagai “kabar” sahaja. Rasa kesal pada kesalahan ini patut perlu ada pada semua rakyat, khususnya etnik Melayu. Ini kerana ia bukan sahaja warisan linguistik bahasa Melayu, ia jati diri bahasa Melayu.

Dari segi lain dalam hal sebutan salah ini, kita hendaklah berpada-pada dalam menegur untuk kebaikan bersama. Ia tidak perlu sama sekali berbentuk seperti yang berlaku itu dengan penuh rasa kesal secara terbuka.

Sehubungan ini, ke manakah perginya cara kita untuk kerap bersopan dan bersusila biarpun dalam marah sekali, lebih-lebih lagi daripada etnik Melayu yang budayanya selalu menekankan keperluan berlapik dan berkias ketika berkata-kata bagi memperlihat kehemahan diri selain pihak yang dirujuki. Sesungguhnya budi bahasa itu tidak terkira nilainya. Untuk ini, setiap tindakan kita hendaklah sentiasa bersulamkan kesantunan.

PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×