
DALAM mengejar materialisme, sesetengah golongan menganggap nilai dan cara hidup Islam sudah tidak relevan malah menjadi penghalang kemajuan. Bagaimanapun, hakikatnya Islam tidak pernah memusuhi kemajuan tetapi membentuk umat berakhlak mulia sebagai peneraju kemajuan.
Islam sentiasa menjadi kompas supaya tidak tergelincir ke landasan materialisme yang meruntuhkan nilai dan akhlak mulia. Manusia yang diperhambakan materialisme cenderung menumbuhkan penyakit sosial. Salah satu daripadanya hilang sifat amanah dalam menjalankan tanggungjawab, misalnya rasuah.
Mengejar materialisme yang terputus daripada nilai akhlak ibarat berlari untuk mencapai kaki langit. Padahal selama mana pun pelarian itu tidak akan capai penamatnya walaupun di depan mata, ia kelihatan amat indah. Pesona materialisme tidak ada pengakhiran dan rasuah untuk hidup mewah tidak akan berhenti kecuali wujud keinsafan.
Maka penghayatan kehidupan beragama mesti menjadi pendekatan membanteras rasuah untuk jangka panjang. Generasi masa depan diibaratkan akar yang menentukan kualiti daun, buah dan bunga yang boleh dilihat dari jauh. Akar harus dibajai untuk mendapatkan hasil yang boleh dilihat pada sepohon pokok.
Membanteras rasuah mesti dipasak dengan iltizam yang kuat oleh semua lapis dan tingkat dalam struktur sosial. Denda dan hukuman paling berat memang bagus tetapi keinsafan hanya datang daripada kesedaran beragama. Rasa bersalah sebenarnya lebih penting daripada didapati bersalah.
Maka bawalah generasi masa kini dan hari depan kepada landas kehidupan beragama yang mewaraskan pemburuan materialisme dalam kehidupan. Mulakan hari ini untuk mengutip hasil 10 atau 20 tahun akan datang.
Dalam seminggu, dua ini, sana sini bercakap mengenai rasuah. Itu rasuah dan ini rasuah. Ini berikutan pengumuman Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 oleh Tranparency International yang berpangkalan di Berlin, Jerman. Sebenarnya tidak ada yang luar biasa, kedudukan Malaysia turun 10 tangga berbanding 2019.
CPI tidak memberikan gambaran tepat terhadap pandemik rasuah di negara ini, malah di mana-mana negara sekalipun. Maka tidak usahlah membuang masa dengan berforum atau berdiskusi tentang indeks yang sangat diragui akan akurasi dan sumbernya. Katanya, tahun 2019 di tangga ke 51 tetapi 2020 di tangga 61. Jangan percaya dan abaikan.
TERKEJUT
Malah tulisan ini tidak sedikit pun dipengaruhi oleh CPI. Kita sebagai warga di negara ini lebih faham tentang banyak atau sedikit rasuah di negara sendiri. Semuanya berlaku di depan mata walaupun ada yang ditutup sebelah mata dan tidak kurang juga ditutup kedua-dua mata. Tetapi hakikatnya berlaku di depan mata.
Dalam seminggu dua ini juga muncul pelbagai ‘pakar’ mengemukakan mantera membanteras rasuah, seolah-olah penyakit sosial itu baru kelmarin muncul dalam masyarakat, iaitu rakyat dan penguasa. Ini penyakit lama dan bercambah dengan pesatnya terutama sejak dunia politik kita kenal istilah ‘politik wang.’
Sesetengah pemimpin politik, jangan buat-buat terkejut dengan ledakan rasuah yang berlaku dalam parti pada era masing-masing. Rasuah dalam politik menjalar dalam sektor awam apabila wujud kepentingan di pihak tertentu.
Kerana itu, syabas diucapkan kepada pihak yang menganjurkan kempen kesedaran membanteras rasuah. Ini satu inisiatif yang sangat baik kerana gerakan melawan rasuah mesti digerak secara berterusan tanpa jemu atau bermusim.
Tetapi apabila berdepan dengan penyakit yang sebati dengan kehidupan rakyat, lebih teruk lagi diterima oleh sesetengah pihak sebagai ‘rukun hidup’ zaman kemajuan, tentulah cara mengubatnya tidak mudah.
Perasuah (pemberi dan penerima) boleh dianalogikan sebagai perokok tegar. Kempen berhenti merokok yang dianjurkan oleh kerajaan sudah hangus berjuta-juta Ringgit Malaysia, tetapi kesannya hampir tidak ada. Malah diketawakan apabila ‘rokok patah’ menjadi bahan kempen.
Jangan main-main hendak nasihatkan mereka tentang bahaya merokok, silap-silap kita yang dikuliahkan kerana mereka sangat arif dengan alam rokok. Mereka hafal senarai penyakit yang bertolak daripada tabiat merokok. Mereka tahu akan bahayanya.
Di negara kita, walaupun digegarkan dengan kes rasuah berprofil tinggi dan bertaraf dunia dalam empat atau lima tahun kebelakangan, tetapi bukanlah ini bermakna sebelum itu tidak ada kes berprofil tinggi. Ada. Cuma nasib yang membezakan, ada kes sampai ke muka pengadilan dan ada hilang di tengah jalan.
ISLAM
Tambahan pula pada dekad 1980-an dan 1990-an misalnya, media sangat terhad lingkungannya, surat khabar, radio dan televisyen. Semua media ini berada bawah kawalan penguasa. Kalau semua media ini dipejamkan mata pada kes rasuah tertentu, tertutuplah daripada pengetahuan rakyat.
Sejak alaf baharu 2000 hingga sekarang, dengan jaringan media digital tidak boleh dikawal lagi. Maka cubaan untuk menutup kes-kes rasuah tertentu sudah tidak berjaya lagi. Kalau media arus perdana ‘tidak nampak’, media sosial akan nampak.
Kecenderungan perlakuan rasuah di negara ini lebih banyak melibatkan golongan elitis dan sudah tentu bukan disebabkan ketidakcukupan wang untuk hidup, tetapi untuk hidup mewah. Ini sindrom golongan materialis.
Sebenarnya tidak ada ‘vaksin’ yang boleh memulihkan penyakit sosial yang semakin parah dalam masyarakat, iaitu rakyat dan juga penguasa. Satu-satunya yang menjadi harapan tidak lain kekuatan pegangan agama dan kerana itu, agama tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan termasuk politik.
Terbukti di sini, sains dan teknologi tidak berperanan membimbing manusia untuk menjauhi rasuah. Teknologi itu alat yang semestinya dipandu oleh manusia. Kalau pemandunya berakhlak mulia, destinasinya juga mulia.
Maka ketaksuban pada kepentingan sains yang menjadikan negara ini maju dan moden mesti diimbangi dengan nilai-nilai akhlak yang mulia dari pendekatan agama. Jangan prasangka dengan agama Islam yang kononnya ekstrem menolak kemajuan dan kemodenan.
Maka tindakan ‘kerajaan 22 bulan’ untuk mengecilkan mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah menimbulkan persoalan sangat besar. Kenapa mahu memangsakan sesuatu yang menyuburkan nilai akhlak mulia? Bukankah lebih banyak rakyat yang menghayati Islam sebenarnya lebih baik kepada kerajaan?
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.










