NAMPAKNYA, krisis politik antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti tiada kesudahan.
Terbaharu, Tan Sri Annuar Musa digugurkan sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) kerana mempertahankan keputusan dasar UMNO iaitu bekerjasama dengan Pas dan Bersatu, mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) selain menyokong Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah Persekutuan, TUN FAISAL ISMAIL AZIZ mempersoalkan dasar parti adalah jelas ‘No DAP, No Anwar’, tetapi kenapa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ‘mengkhianati’ parti apabila tandatangan akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menggerakkan jajaran politik baharu melibatkan kerjasama UMNO-PKR-DAP?
Dalam temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM di Putrajaya, baru-baru ini, Bekas Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik dan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) turut membidas bekas bosnya, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang didakwanya ‘berbohong’ kononnya UMNO dibuli Bersatu.

USAHA HALANG ANNUAR
UTUSAN: Boleh komen pendedahan Annuar baru-baru ini mengenai wujud sokongan kepada Anwar secara sembunyi tanpa pengetahuan pemimpin UMNO/BN lain apatah lagi akar umbi?
TUN FAISAL: Pendedahan dibuat Annuar itu setelah berkali-kali beliau berjumpa secara empat mata dengan Presiden dan berkali-kali terpaksa memperbaiki hubungan antara ketiga-tiga Presiden selepas hubungan ini tercalar berulang kali.
Kali ini agak berbeza kerana ada usaha untuk menghalang Annuar memberikan pandangan yang berbeza dan usaha secara terang-terangan dibuat untuk memaksa jajaran politik baharu secara mengelirukan ahli akar umbi.
Difahamkan mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya minggu lalu menyatakan komitmen untuk menyokong Bersatu dan Muhyiddin serta tidak akan terlibat menjatuhkan kerajaan PN sekarang demi kepentingan Melayu Islam?
Sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, saya berpandangan jika ketua bahagian dan kepimpinan bahagian lain benar-benar menjelaskan kejadian dan cerita sebenar kepada ahli di peringkat akar umbi, mereka tidak akan mengambil pendirian menolak kerjasama dengan Bersatu dan akan terus menyokong kerajaan PN serta penyatuan ummah. Malangnya cerita sebenar tidak dijelaskan kepada ahli akar umbi dan sentimen kebencian terhadap Bersatu dibakar menggunakan cerita yang tidak benar.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Mohd. Puad (bekas Ketua Pengarah Jasa) misalnya berulang kali ‘berbohong’ mengenai UMNO dibuli Bersatu semasa Pilihan Raya Negeri Sabah. Sedangkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan tidak berani mengulas apabila ditanya benarkah UMNO dibuli?
Begitu juga apabila usul dibawa untuk menolak Bersatu di bahagian, tidak dinyatakan secara jelas apakah yang akan berlaku selepas kerjasama dengan Bersatu dihentikan. Tidak dinyatakan mengenai dapatan-dapatan kajian yang dibuat oleh penyelidik mengenai peluang UMNO menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) secara solo dan jika bersama PN.
Tidak juga dinyatakan jika bukan dengan Bersatu, siapakah rakan UMNO dan langsung tidak dibawa ke Mesyuarat Bahagian Pasir Salak misalnya, jika hubungan dengan Bersatu diputuskan, jajaran politik baharu bersama Anwar, PKR dan DAP akan dilaksanakan. Jadi bila semuanya ini tidak dijelaskan, maka ahli akar umbi akan membuat keputusan bukan berdasarkan maklumat sebenar tetapi sentimen kebencian dan emosi yang dimainkan.
BAKAR SENTIMEN
Adakah pergeseran pemimpin UMNO sendiri boleh menyebabkan parti itu ditolak sekali lagi oleh rakyat pada PRU akan datang?
Setuju. Sebab itu, perbalahan ini perlu ditamatkan segera. Caranya adalah dengan memberikan sebanyak mungkin maklumat kepada ahli dan mendedahkan kebenaran agar ahli-ahli boleh membuat penilaian yang lebih tepat. Selagi kebenaran tidak didedahkan, pihak-pihak tertentu akan terus membakar sentimen menggunakan cerita yang direka-reka.
Dua Menteri Kabinet, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin bersedia melepaskan jawatan menteri jika diminta pucuk pimpinan UMNO?
Saya cuma boleh bersetuju jika arahan melepaskan jawatan ini dibuat jika ia benar-benar memberi manfaat paling banyak kepada parti, ahli, perjuangan, agama, rakyat dan negara.
Saya tak dapat bersetuju jika arahan melepaskan jawatan ini akan merugikan parti dan ahli, mendatangkan ketidakstabilan kepada negara, memberi kesan tidak baik kepada rakyat dan ekonomi negara.
HILANG PELUANG JADI CALON
MKT telah mengusulkan untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu?
Dari kefahaman saya, MKT belum membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Bersatu, tetapi bersetuju agar usul ini dibawa ke peringkat Persidangan Agung Tahunan UMNO dan dibahaskan di sana.
Ia baru di peringkat usul. Saya berharap sebelum Perhimpunan Agung UMNO, penjelasan yang sepenuhnya dapat dibuat kepada perwakilan agar mereka dapat membuat keputusan berdasarkan fakta dan cerita yang betul bukan berdasarkan sentimen kebencian dan cerita yang direka-reka.
UMNO kena nyatakan dengan jelas kepada ahli, apakah kesan selepas memutuskan hubungan dengan Bersatu, adakah UMNO akan bertanding secara solo atau dalam jajaran politik baharu bersama Anwar dan DAP. Adakah UMNO akan bertanding sebagai pembangkang atau sebagai parti kerajaan.
Perbezaan pendapat dengan pucuk pimpinan terutama Ahmad Zahid boleh menyebabkan seseorang itu dipecat jawatan dalam parti?
Perbezaan pendapat bukan sahaja boleh mengakibatkan mereka yang berkaitan dipecat, malah mungkin (menghilangkan) peluang bertanding dalam PRU-15. Macam saya di Putrajaya. Sebagai Timbalan Ketua Bahagian, saya mempunyai peluang yang baik untuk dinamakan sebagai calon, tetapi apabila berbeza pandangan, mungkin peluang itu juga hilang.
Tetapi bagi saya, menyelamatkan parti dan perjuangan lebih penting daripada menjadi calon. Ini soal prinsip, tujuan dan niat saya terlibat dalam politik. Ia tak wajar dikompromikan. Kalau itu harga untuk mempertahankan prinsip dan perjuangan, saya bersedia.

TANDATANGAN SD TOLAK KERJASAMA ANWAR, DAP
Adakah tindakan Presiden UMNO ini melampau pada saat negara berdepan pandemik Covid-19?
Bagi saya kita kena jujur dengan diri sendiri. Apa sebenarnya niat dan keutamaan kita apabila membuat sesuatu keputusan dan tindakan. Adakah kita berbuat sesuatu kerana rakyat, perjuangan, agama, bangsa, negara atau kerana berbuat sesuatu kerana kepentingan diri kita dan kumpulan kita.
Yang pastinya mendesak pilihan raya ketika pendemik masih tidak terkawal tiada kena mengena dengan hasrat untuk memberi manfaat kepada rakyat, agama, bangsa dan negara.
Saudara dilihat sebagai orang yang sentiasa mempertahankan institusi, termasuk institusi Presiden. Kenapa sekarang berbeza?
Saya akan pertahankan institusi selagi tidak khianati parti. Masalahnya Presiden sendiri telah khianati parti apabila menandatangani surat menyokong dan setia kepada Anwar dan menggerakkan jajaran politik baharu melibatkan kerjasama UMNO-PKR-DAP. Itu soal pokok yang tak boleh dikompromi.
Kenapa Presiden tak memberitahu semua orang bahawa beliau sokong Anwar kalau benda tak salah? Kenapa dibuat secara sorok-sorok? Sepatutnya sebelum tandatangan SD, buat pengumuman pada sidang akhbar supaya ahli parti jelas dan rakyat boleh menilai.
Bagaimana nak selesaikan kemelut ini?
Senang sahaja nak selesaikan, Presiden kena buat SD tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Anwar serta menghentikan jajaran politik baharu. Jika Presiden lakukan ini, kita akan sokong semula. Selagi Presiden tak berani buat dan tak mahu arahkan untuk hentikan jajaran politik baharu ini, selagi itu tidak akan selesai.










