Kolum Tumpang lalu
HARI ini lisan barangkali tidak lagi berkata-kata. Tetapi itu tidak bermakna kita tidak berkomunikasi. Lidah mungkin diam, tapi tangan sedang bingit ‘berkata-kata’.
Ya, kita kini menjadikan media sosial sebagai medan perbualan. Berkomunikasi di Facebook, Twitter, Instagram, Whatsapp, Telegram dan macam-macam aplikasi yang muncul – sehinggakan saya yang berusia separuh abad ini ‘malu alah’ sendiri, kena perderas juga hadam benda-benda baharu ini.
Bercakap pasal perang saraf, saya teringat dengan juru propaganda Nazi Jerman di era Perang Dunia Kedua, Joseph Goebbels. Beliau pernah mengungkapkan: “Inform, inform and when they are interested, misinform”.
Goebbels merupakan pakar propaganda diktator Adolph Hitler yang utama dan pembenci serta musuh orang Yahudi yang tidak ada tolok bandingnya.
Malah, ramai sejarawan berpendapat, jika Goebbels terus berperanan selepas Perang Dunia Kedua, Yahudi mungkin pupus di Eropah kerana semangat kebencian anti-semitisme yang begitu menyeluruh di Eropah, khasnya di Jerman.
Goebbels dimunculkan kerana kesungguhan dan kepakarannya sebagai ejen penerangan Nazi Jerman yang terhebat. Kebolehannya mengikut rekod arkib Jerman, menyebabkan Hitler lebih berani dan lebih ganas, terutama terhadap orang Yahudi di Jerman.
Kejayaannya, walaupun dalam konteks pencapaian yang negatif, lantaran kebolehan putar alam dan putar belitnya, harus diterima kerana beliau berjaya mempakari semua aspek hearts and minds (hati dan pemikiran) rakyat Jerman sekali pun jiwa Yahudi tidak berjaya dikuasai pemerintahan Nazi. Kisah Goebbels patut menjadi teladan di kemudian hari.
PUTAR BELIT
Realiti dunia hari ini, macam-macam fi’il yang ada. Menyebar berita palsu, putarbelitkan fakta untuk tujuan tidak sah, jahat dan politik kotor. Atau dengan matlamat kepentingan diri dan kumpulan sendiri boleh digolongkan sebagai ‘salah maklum’. Dalam bahasa Inggerisnya, misinformation.
Penerangan palsu atau jenis informasi yang tidak tepat ini memberi makna atau impak yang sama dengan informasi atau penerangan yang benar-benar menerangkan, mendidik atau menambah nilai hidup manusia. ‘Salah maklum’ ini ketara dalam realiti politik tanah air ketika ini.
Kembali kepada wahana aplikasi yang muncul di zaman ini, apa yang Allah dan Rasul ingatkan tentang bahaya lisan, bukan lagi lisan yang melakukannya. Di akhir zaman, tangan mengambil alih perbuatan lisan. Kecelaan tangan bukan lagi pada mencuri, merompak, memukul, dan senarai-senarai klasiknya. Kecelaan tangan ialah pada tingkah lakunya sebagai penaip perkataan di alam tersebarnya qalam!
Bagaimanakah tersebarnya pena mendatangkan bencana? Sedangkan pena itu mulia, hingga Allah bersumpah dengannya di dalam surah al-Qalam. Pena adalah alat menulis, menyokong perintah baca (Iqra’) dan menyempurnakannya.
Tetapi akan sampai satu zaman, pena yang tersebar jadi bencana.
Misalnya, twitter saya mempunyai 45,000 ‘pengikut’. Apabila saya tweet satu mesej, “go to Hell with the *** issue!” ia dengan serta merta boleh diulang cetak di skrin 45,000 pengikut itu sehingga 45 salinan. Tambahan pula dengan retweet, atau dipetik menjadi poster, atau print screen, satu perkataan jadi berganda-ganda… sesuatu yang mustahil berlaku di zaman kertas stensil.
DEDALU
Dan serentak jika propaganda digabungkan dengan kelicikan pena aplikasi media sosial hari ini, lantas saya kutip kembali bait-bait ungkapan orang politik yang lepas.
“Esok kalau kami berkuasa, kami turunkan harga minyak. Esok, kami pulangkan tak kurang dari 20 peratus hasil keuntungan petroleum kepada Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu”.
Apa yang boleh dilihat di sini adalah mereka tidak nafikan jumlah subsidi yang besar itu. Cuma, mereka putarkan kepada sensasi bentuk janji ‘kalau menang’. Harus dilontarkan pendapat bahawa jika itu sahaja yang boleh dibuat, bererti mereka akan membankrapkan atau memufliskan khazanah negara dalam tempoh terdekat.
Mengamati saingan dan cabaran getir politik hari ini, saya teringat akan sejenis tumbuhan, dedalu – yang tidak tumbuh di tanah. Dedalu hidup di pangkal dahan pokok-pokok rendang dan sentiasa duduk di atas.
Pohon rendang selalunya akan mati kerana dedalu yang menumpang hidup itu. Dalam bahasa saintifik, dedalu ini adalah parasite.
Dalam politik, adakah perlu dicantas dedalu-dedalu ini? Cuma adakah dedalu-dedalu ini akan membesar dan merimbun pula di pokok baharu yang rendang?
Dan biasanya mana-mana pokok yang dihinggapi dedalu ini akan mati secara natural akhirnya.” Takkanlah mahu dibiarkan dedalu-dedalu ini bermaharajalela.
Pokok dedalu…ia menumpang
Menjadi parasit…ia jembalang
Dahan akan mati…ia perlu ditebang
Kalau terjumpa …ia perlu dibuang.
Pokok dedalu…jika dah dibuang,
Jangan ditanam semula…ia musuh utama malam dan siang.
Maka, dalam meniti Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti, semua pihak yang tentunya rakyat perlu berwaspada terhadap si putar alam dan putar belit.
Kisah Goebbels bukan untuk ditiru cara dan gayanya. Sebabnya, cukup bahaya. Apabila Hitler mati membunuh diri selepas meninggalkan wasiat politik mutakhirnya pada 1945, Goebbels membunuh diri di samping membunuh keenam-enam orang anak serta isterinya.
Sebelum mati, dia melaungkan: “Kami akan dicatat sejarah sebagai negarawan terhebat buat selama-lamanya atau sebaliknya sebagai penjenayah yang terhebat.” – Mingguan Malaysia










