DUN bukan lagi tugas istiadat - Utusan Malaysia

DUN bukan lagi tugas istiadat

Yahaya Ali (kiri) menunjukkan buku yang mengandungi koleksi tulisan beberapa ahli panel termasuk sedutan teks ucapan beliau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
SELEPAS Pas mengambil alih pentadbiran Terengganu pada 2018, antara perkara pertama yang dicetuskan adalah penambahbaikan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Satu demi satu reformasi DUN Terengganu dirintis bermula dengan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Pengurusan Dewan diikuti pelaksanaan sistem pengurusan secara digital (e-Dewan), memantapkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di samping sesi lawatan ke pelbagai jabatan serta agensi kerajaan.

Turut diperkenalkan, inisiatif memasyarakatkan DUN yang secara tidak langsung mengubah persepsi masyarakat terhadap peranan badan legislatif bukan sekadar bermusim ketika persidangan semata-mata.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, ROSALINDA MD. SAID, Yang Dipertuanya, DATUK YAHAYA ALI berkongsi visi untuk menjadikan DUN Terengganu sebagai yang terunggul di negara ini.

 

Reformasi
Apabila saya diberi amanah sebagai Yang Dipertua, saya mahu menghilangkan persepsi yang DUN hanya bersifat ceremonial job. Apabila bersidang baharu, nampak peranannya. Sebagai ketua badan legislatif, kita mempunyai peranan yang lebih besar dan bukan beraksi sewaktu persidangan sahaja.

Oleh sebab itu, kita berusaha membina satu rangkaian hubungan yang luas dengan pelbagai pihak. Sebagaimana badan legislatif di peringkat nasional iaitu Parlimen, mesti ada usaha untuk menjadikan DUN sebagai badan yang berfungsi termasuklah bagi tujuan semak dan imbang.

Kita mahu DUN Terengganu bersifat inklusif bertepatan visi menjadikan badan ini sebagai yang terunggul di Malaysia.

Tubuh Jawatankuasa Terpilih Pengurusan
Perkara pertama yang saya buat ialah menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Pengurusan Dewan yang sebelum ini tidak pernah ada. Jawatankuasa terdiri daripada tujuh orang ini sangat membantu saya dari segi perancangan untuk memajukan badan legislatif secara lebih meluas.

Kita juga diberi kuasa melantik panel dalam kalangan mereka yang berkebolehan termasuk pakar undang-undang, Perlembagaan dan lain-lain.

Kita sedang membuat kajian penambahbaikan peraturan dan perintah tetap DUN kerana ia digunakan sejak persidangan pertama pada 1959. Jadi, tentulah ada perkara-perkara yang perlu mengikuti perkembangan zaman dan badan legislatif di tempat-tempat lain termasuk di luar negara.

Kita mempunyai dua pilihan, sama ada membuat pindaan total atau hanya meminda dari segi bahasa. Jadi, kita akan berbincang lebih lanjut untuk memuktamadkan perkara tersebut.

Reformasi makro
Dari segi makro, kita berusaha mewujudkan suasana lebih kondusif. Antaranya, menambah hari persidangan bagi memberi kepuasan kepada ADUN dan setakat ini paling lama pernah dibuat ialah lima hari. Perubahan ini membolehkan ahli badan legislatif mempunyai masa yang lebih untuk beraksi kerana mereka adalah jambatan kepada rakyat.

Saya juga pernah membuat pertambahan masa bagi sesi soalan lisan di samping membangunkan sistem pengurusan secara digital (e-Dewan) dan buat pertama kalinya, kita menerbitkan buku berjudul Perkembangan DUN Terengganu: Pemantapan dan Cabaran.

Buku ini mengandungi koleksi tulisan beberapa ahli panel yang dilantik termasuk sedutan teks ucapan saya. Insya-Allah, pada 22 Mac ini sempena pembukaan persidangan yang akan dirasmikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin akan ada satu lagi buku bakal diterbitkan.

Kerja-kerja mengumpul bahan bagi dimuatkan dalam buku setebal 300 muka surat tentang sejarah DUN dari 1959 hingga terkini dimulakan sejak 2018.

Lawatan ke jabatan, agensi kerajaan
Menerusi lawatan ke pelbagai jabatan kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan bersama ADUN terlibat secara tidak langsung kita mendapat maklumat first hand berhubung isu yang ditimbulkan rakyat dan penjelasan terperinci daripada pihak jabatan.

Ini semua sebahagian daripada proses semak dan imbang. Setakat ini kita sudah melawat berbelas jabatan kerajaan termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Telekom Malaysia Berhad (TM), Syarikat Air Terengganu (Satu), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu.

Kaji prestasi wakil rakyat
Langkah mereformasi DUN tidak boleh dilihat dari segi infrastruktur dalam konteks apa yang boleh dibuat badan legislatif sahaja tetapi merangkumi peranan dimainkan ahli-ahlinya.

Tujuan kajian ini kerana kita mahu ADUN-ADUN terutama wakil rakyat kerajaan merasakan diri mereka dipantau dan ada penilaian ketika di Dewan, bukan semata-mata menghadiri persidangan.

Kita menilai peranan mereka berdasarkan aspek komitmen menghantar soalan, penglibatan dalam perbahasan, sejauh mana melakukan homework dan idea-idea yang dikemukakan, adakah segar atau diulang semula.

Penilaian prestasi ini penting kerana selepas mengangkat sumpah sebagai ADUN, mereka buat akujanji untuk memainkan peranan secara aktif dalam persidangan termasuk juga kalau ada penubuhan jawatan kuasa terpilih.

Lantik ADUN wanita
Saya nampak apa yang dibuat di Terengganu diambil perhatian di negeri lain kerana dari segi ADUN dilantik sebelum ini tidak pernah ada kecuali di Sabah. Bagaimanapun, terbaharu turut berlaku di Pahang.

Kita berbangga kerana Terengganu telah memulakan satu tradisi bagi memastikan persidangan DUN disertai pelbagai kelompok masyarakat dan bukan sahaja mereka yang terpilih dalam pilihan ratya umum.

ADUN bukan Islam
Itu bergantung sebab apa yang akan dibuat dalam DUN mestilah selari dengan kehendak badan eksekutif. Perlu ada perbincangan lebih jauh berhubung keperluan untuk menambahkan kekosongan tiga kuota lagi.

Peranan badan legislatif bendung kemelut politik
Segelintir rakyat masih tidak faham dan terbuka minda tentang peranan badan legislatif. Sudah sampai masanya kita meletakkan keutamaan dari segi perpaduan ummah, integriti dan peruntukan undang-undang berbanding isu politik.

Perjalanan persidangan DUN sangat bergantung kepada kerjasama ADUN dan apabila masuk ke dewan tidak boleh disamakan ketika berada di premis lain. Sebagai Yang Dipertua, kena ada budi bicaralah bagaimana hendak mengawal situasi dan paling mustahak, saya mahu mewujudkan suasana demokrasi dan tidak boleh dilihat berat sebelah.

Misalnya dalam perbahasan Belanjawan 2021 pada persidangan DUN lalu, pertama kali dalam sejarah perbahasan memberi peluang kepada tujuh ADUN UMNO manakala lima bagi ADUN kerajaan (Pas).

DUN Terengganu lebih ke hadapan
Kita sudah melawat kebanyakan DUN lain dan hanya satu atau dua yang belum dikunjungi. Ada yang mengatakan Terengganu lebih ke hadapan tetapi tanpa mengira apa yang dibuat di negeri lain, kita mempunyai acuan tersendiri dan cuba sebaik mungkin untuk menjadi DUN yang terunggul.

Setakat yang saya tahu, program lawatan dipimpin Yang Dipertua bersama ADUN ke jabatan-jabatan itu merupakan suatu benda baharu sebenarnya dan menjadi amalan di negara luar.

Memasyarakatkan DUN
Dari segi memasyarakatkan DUN, kita memanfaatkan ruang kosong sewaktu tiada persidangan untuk membantu kerajaan negeri. Terbaharu, kita bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Muafakat Sejahtera dan syarikat korporat bagi melaksanakan misi kebajikan membantu mangsa-mangsa banjir di Dungun dan Kemaman.

Selain itu, kita juga mengadakan program komuniti pelancongan di Pulau Perhentian membabitkan aktiviti gotong-royong, penyampaian sumbangan pek kesihatan, lawatan perubatan dan dialog dengan masyarakat setempat.

Kita akan turun padang ke daerah-daerah bergantung kepada kesesuaian. Bentuk program yang akan disusun dengan masyarakat antara lain berkaitan pelancongan, kemasyarakatan dan kebajikan di samping pendidikan legislatif bagi memberi lebih kefahaman tentang proses pengundian dalam PRU.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN