Mukadimah
Industri penerbangan antara yang paling terkesan akibat pandemik Covid-19 dan kenyataan ini bukan dibuat-buat.
Misalnya, sebuah badan pemikir global, Centre For Aviation (CAPA) membuat unjuran, kebanyakan syarikat penerbangan seluruh dunia bakal muflis, malah katanya malapetaka itu sudah mula menerjah seawal Mei lalu.
Persoalannya, bagaimana nasib di Malaysia? Sejauh mana kesan pandemik ini mengheret industri ini, terutama Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), yang bertanggungjawab menguruskan aset penerbangan khususnya puluhan lapangan terbang di dalam dan luar negara?
Mendepani persoalan membabitkan nasib puluhan, kalau bukan ratusan ribu rakyat yang bergantung kepada industri itu, Mingguan Malaysia mewawancara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports (GCEO), Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh. Ikuti wawancara ini, yang disertai wartawan Roshihan Annuar Yub, Fahmi Faiz dan jurugambar Amir Khalid bagi mendapatkan perspektif beliau.
MINGGUAN MALAYSIA: Apa aset-aset di bawah seliaan Malaysia Airports?
Mohd. Shukrie: Malaysia Airports merupakan operator yang mengendalikan sebanyak 39 lapangan terbang di Malaysia dan sebuah lapangan terbang di Turki iaitu Istanbul Sabiha Gokcen (ISG). Daripada jumlah itu, sebanyak lima lapangan terbang adalah lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik serta 18 lagi padang terbang pelepasan dan pendaratan singkat (STOLports).
Sejauh mana pandemik Covid-19 beri kesan terhadap Malaysia Airports sejak pintu sempadan antarabangsa ditutup?
Umum mengetahui industri penerbangan secara keseluruhan menghadapi tekanan hebat berpunca daripada penguncupan trafik penumpang dan kehilangan pendapatan ekoran kesan berpanjangan pandemik Covid-19. Malah, laporan daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) memanjangkan lagi jangkaan tempoh pemulihan ke tahun 2024 berbanding 2023 sebelumnya.
MENDIGITALKAN PENGURUSAN
Apa langkah yang sudah diambil?
Sejak pandemik menular, Malaysia Airports terus mengambil langkah segera dan proaktif dalam melaksanakan pelan kekangan kos yang agresif.
Pelan 18 bulan ini mengambil kira semua aspek bukan sahaja daripada kawalan kos tetapi juga dari segi kajian kecekapan operasi di mana kecekapan boleh dipertingkatkan melalui proses digitalisasi misalnya.
Sejauh mana proses digitalisasi ini berkesan dan boleh dicapai?
Walaupun mungkin proses digitalisasi ini akan memakan belanja untuk dilaksanakan, tetapi manfaat terhasil bersifat jangka panjang. Lagipun, inilah masa terbaik untuk melakukan penambahbaikan seperti ini kerana ia melibatkan gangguan minimum kepada operasi ekoran jumlah penumpang rendah. Di samping itu, kami juga mengambil peluang tempoh pergerakan perlahan ini untuk juga meneruskan misi pelaburan kritikal seperti penggantian aset lama, penaiktarafan landasan, penambahbaikan tandas dan penetapan semula komersial.
Boleh beri contohnya?
Contoh aset lama tetapi amat kritikal adalah sistem pengendalian bagasi yang tidak pernah ditukar secara keseluruhan semenjak Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dibuka pada 1998. Contoh kedua, adalah penggantian Aerotren di KLIA yang telah lama dirancang. Ini penting kerana Aerotren yang diguna sekarang hanya boleh berkhidmat untuk terminal berkapasiti 25 juta penumpang setahun, sedangkan terminal utama KLIA telah mencecah lebih 30 juta setahun. Ini langkah ketersediaan Malaysia Airports dalam mengendalikan penumpang apabila sempadan negara dibuka kembali kelak.
Bagaimana dengan kerja naik taraf?
Ia juga sebab yang sama kenapa kami meneruskan kerja-kerja penaiktarafan ketiga-tiga landasan di KLIA. Landasan 3 selesai dinaik taraf pada Julai lepas dan sekarang adalah giliran Landasan 1 yang dijangka selesai pada Mac tahun depan.
JUALAN MURAH
Baru-baru ini tular jualan murah di KLIA, adakah itu langkah terakhir dari peniaga untuk terus bertahan?
Inisiatif jualan seperti KLIA Crazy Sale yang berlangsung sebanyak dua kali pada Ogos dan September lepas adalah salah satu daripada usaha Malaysia Airports yang juga bertujuan membantu peruncit di lapangan terbang menghabiskan lebihan inventori mereka yang tidak terjual kerana kekurangan penumpang di lapangan terbang.
Apa lagi langkah MAHB bantu peniaga dan peruncit dalam lapangan terbang yang terkesan?
Kami tidak mengehadkan inisiatif menolong peniaga runcit kami hanya dengan menjalankan aktiviti jualan murah sahaja. Kami juga membangunkan dan memperkenalkan platform e-dagang yang dikenali sebagai shopMYairports. Ini salah satu contoh usaha digitalisasi yang kami telah sebutkan tadi.
Boleh hurai lebih lanjut?
Platform e-dagang khusus bagi produk runcit pelancongan ini adalah yang pertama di Malaysia. Ia akan memberi peluang kepada peruncit lapangan terbang untuk mengembangkan pasaran mereka ke luar dari kawasan lapangan terbang yang secara langsung berpotensi untuk meningkatkan pendapatan mereka. Kami menjangkakan platform dagang terbaharu ini dapat membantu pemulihan perniagaan mereka dengan cara lebih mampan kerana ia bersifat jangka panjang.
Apa maksud jangka panjang itu?
Inisiatif ini akan membolehkan orang ramai mengakses dan membeli produk eksklusif perjalanan dalam talian dan penghantaran terus ke rumah mereka. Semua ini bertujuan memberikan pengalaman beli-belah yang lebih menarik dari lapangan terbang. Platform atas talian ini boleh diakses di talian www.shopMYairports.com.my. Ia dilancarkan pada September lepas oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dan setakat ini mendapat sambutan agak memberansangkan daripada orang ramai.
MAHB BERI MORATORIUM
Adakah memberi kelonggaran seperti sewa dan sebagainya kepada penyewa (terutamanya di lokasi pintu masuk antarabangsa) yang kita tahu langsung tidak beroperasi?
Seperti yang diumumkan pada September baru-baru ini, pihak Malaysia Airports mewujudkan beberapa inisiatif dalam usaha meringankan beban penyewa lot dan peruncit di lapangan terbang. Antara inisiatif itu adalah model kadar sewaan baharu yang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam mengekalkan dan menarik rakan niaga yang akan membantu menghidupkan semula penawaran komersial lapangan terbang di bawah strategi penetapan semula komersial.
Apa maksudnya?
Dengan model sewaan baharu ini, penyewa mendaftar di bawah program penetapan semula komersial lapangan terbang akan mendapat pengurangan sewa sehingga 30 peratus. Penurunan kadar sewa ini secara keseluruhan berjumlah RM45 juta. Model sewaan baru ini diguna pakai bermula 2021. Sebelum itu, pengumuman model kadar sewaan baharu itu, pihak kami juga menawarkan moratorium sewa selama enam bulan kepada semua peruncit. Selanjutnya, kami menawarkan pakej bantuan segera pengurangan sewa pada 2020 sebanyak 50 peratus selama enam bulan. Pakej bantuan RM22 juta ini bertujuan memberi bantuan dari segi aliran tunai kepada para peruncit.
Berapa ramai peruncit dalam lapangan terbang yang dapat manfaat?
Kira-kira 650 penyewa runcit menikmati pengurangan sewa 50 peratus dan mereka ini mewakili 80 peratus peruncit di lapangan terbang yang kebanyakannya terdiri daripada pengusaha kecil dan sederhana (PKS). Kami sentiasa akan terus menyokong semua rakan kongsi kami supaya kami dapat bertahan dari krisis ini bersama.
ASET DI TURKI CATAT
PRESTASI CEMERLANG
Jika operasi penerbangan menjejaskan pendapatan, adakah aset-aset lain diselenggara ketika ini masih mampu membuat untung?
Semua sektor perniagaan kami di lapangan terbang yang kami kendalikan terkesan. Namun begitu, terdapat beberapa faktor membantu kami bertahan.
Pertama, lapangan terbang milik 100 peratus Malaysia Airports di Turki iaitu Lapangan Terbang Istanbul Sabiha Gokcen (Kod IATA: SAW) mencatatkan pemulihan yang lebih rancak berbanding Malaysia.
Contoh kecemerlangan prestasinya?
Pada Oktober lepas, SAW dinobatkan sebagai lapangan terbang kelima tersibuk di benua Eropah oleh Eurocontrol dengan mencatatkan purata harian hampir 500 penerbangan. Ini sekali gus menyumbangkan sebanyak 60 peratus kepada jumlah trafik penumpang kumpulan Malaysia Airports. Penerbangan domestiknya kini berada di tahap 80 peratus jika dibandingkan dengan tahun lepas.
SASARAN OPERASI KARGO
Bagaimana operasi kargo pula?
Sepanjang tahun, operasi kargo udara di Malaysia tetap stabil. Operasi kargo di Malaysia menunjukkan rata-rata kira-kira 65,000 metrik tan sebulan berbanding sekitar 76,000 metrik tan sebulan pada 2019. KLIA juga berjaya mengekalkan jumlah syarikat penerbangan kargo yang sama yang beroperasi dari lapangan terbang sejak 2019 iaitu sebanyak 21 syarikat penerbangan kargo dan ini membuktikan KLIA tetap menjadi hab serantau yang menarik untuk sektor penerbangan.
Apa jangkaan MAHB di sektor kargo?
Dijangkakan sektor ini berpotensi meningkatkan jumlah kargo sebanyak 700,000 tan, atau dua kali ganda jumlah semasa KLIA kepada 1.4 juta setahun menjelang 2029, dan menyumbang sekurang-kurangnya AS$10.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan bakal mewujudkan lebih 100,000 pekerjaan dalam tempoh 10 tahun.
Selepas pandemik reda, apakah industri penerbangan boleh rancak semula atau akan terus merudum?
Kami kekal optimis yang industri penerbangan akan pulih perlahan-lahan. Ini berdasarkan beberapa faktor seperti daya ketahanan resiliency rantau Asia Pasifik yang menguncup 76 peratus berbanding rantau lain yang jauh lebih rendah pada 2020. Perancangan kerajaan untuk melaksanakan gelembung perjalanan di masa hadapan dan beberapa pengumuman dari syarikat farmaseutikal tentang keberkesanan vaksin juga memberi tanda positif.
Ada pelan perniagaan baharu?
Kami juga telah merumuskan pelan perniagaan lima tahun ke hadapan. Ia dijangka dapat memberi bimbingan bagi syarikat mengemudi krisis akibat Covid-19 ini. Pelan perniagaan ini dirangka berdasarkan dua fasa – iaitu kelangsungan dan pemulihan syarikat serta transformasi dan pertumbuhan.
Boleh huraikan lebih lanjut?
Dalam fasa pertama, kami akan mengekalkan usaha mengembalikan keyakinan penumpang terhadap tahap keselamatan di lapangan terbang di kala berdepan dengan pandemik. Banyak langkah yang kami ambil untuk memastikan tahap keselamatan berada di tahap tertinggi.
Contoh langkah keselamatan yang akan dikuatkuasakan?
Inisiatif digitalisasi di bawah Airports 4.0 mengambil kira semua norma baharu – antaranya pemeriksaan sekuriti tanpa sentuhan, sistem daftar masuk digital berdasarkan pengecaman wajah, sistem daftar masuk bagasi layan diri dan automasi proses sanitasi. Ini semua dapat memastikan suasana selamat di lapangan terbang dan juga memastikan penjarakan fizikal dapat dikekalkan semasa perjalanan penumpang di lapangan terbang.
Bagaimana pula dengan projek-projek yang sedang diusahakan?
Aplikasi MYAirports yang telah dibangunkan akan ditambah baik secara berterusan agar ia dapat membantu dalam mengurangkan kontak semasa berinteraksi di lapangan terbang.
Pada fasa kedua, kami menjangkakan kebanyakan projek kritikal yang bermula sekarang, seperti penggantian aset sistem pengendalian bagasi, Aerotren dan penaiktarafan landasan berjaya disiapkan. Ini supaya kami boleh maju kembali ke fasa pertumbuhan.
TIADA PEMBERHENTIAN
PEKERJA SETAKAT INI
Setakat ini, adakah Malaysia Airports mengurangkan kakitangan? Jika ada berapa peratus?
Malaysia Airports adalah organisasi yang bertanggungjawab mengendalikan rangkaian lapangan terbang dengan kira-kira 11,000 kakitangan. Kekhuatiran mengenai masalah ini pasti menjadi perhatian utama bagi kakitangan Malaysia Airports. Pada permulaan pandemik, syarikat mengambil langkah proaktif mengurangkan kegusaran tersebut dengan mengumumkan yang syarikat tiada perancangan melaksanakan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dalam masa 18 bulan akan datang. Namun, semua kakitangan perlulah bersatu menggembleng tenaga dalam memastikan kemampanan dan daya tahan syarikat.
Apa saranan pengurusan kepada kakitangan dalam memastikan MAHB boleh bertahan?
Ini termasuklah bersama-sama dalam melakukan aktiviti pengekangan kos secara agresif dan juga menggalas kerja yang mungkin di luar bidang kerja selama ini.
Kedudukan tunai MAHB?
Kedudukan tunai syarikat pada akhir 2019 yang agak kukuh telah membolehkan syarikat mengambil langkah ini. Pada September 2020, kedudukan tunai kami adalah lebih kurang RM1.5 bilion. Selain itu, kerana asas syarikat yang kuat dan penilaian kredit AAA yang kukuh, kami masih mendapat sokongan daripada pelbagai institusi kewangan untuk menikmati kemudahan kredit sekiranya diperlukan. Ini semua membantu kami mengekalkan tenaga kerja sepenuhnya setakat ini.
Pekerja MAHB rata-rata profesional, tidak rugikah kalau kumpulan ini ditamatkan perkhidmatan, mengambil kira profesionalisme dan pengalaman masing-masing?
Benar, sebilangan besar tenaga kerja kami sangat terlatih dan pakar dalam peranan masing-masing. Melepaskan kakitangan seperti itu tidak semestinya pilihan terbaik dalam jangka masa panjang. Kami harus memastikan kesediaan operasi kita dengan segera setelah perjalanan dilanjutkan dengan bersungguh-sungguh.










