Orang luar jangan cepat melatah - Utusan Malaysia

Orang luar jangan cepat melatah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

SUSULAN penularan video memaparkan pensyarah mengherdik pelajar baru-baru ini, Universiti Teknologi Mara (UiTM) teruk dikecam.
Namun tidak kurang yang mempertahankan tindakan pensyarah berkenaan.
Belum pun reda isu tersebut, media sosial sekali lagi ‘panas’ selepas gambar pelajar UiTM bercuti ke luar negara dengan menaiki pesawat tiket kelas pertama sehingga timbul dakwaan kononnya institusi terbabit mengamalkan dasar pengambilan menerusi ‘orang dalam’.
Bagi mendapatkan perspektif itu, wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu bual Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor baru-baru ini. Turut dibantu jurugambar ZULFADHLI ZAKI.

MINGGUAN MALAYSIA: UiTM kini sudah lebih 50 tahun dan telah menempuh pelbagai cabaran. Adakah ia perlu dijenamakan atau dimodenisasi termasuk daripada segi jumlah dan kuota pengambilan serta kursus tertentu ?
ROZIAH: Kalau kita lihat pada sejarah, ramai orang kita lupa UiTM ditubuhkan untuk bantu kaum bumiputera dengan berteraskan prinsip ‘belakang parang jika diasah sekalipun akan tajam’. Kita mahu beri peluang kedua dalam aspek akademik kepada golongan bumiputera. Biarpun ada yang tidak didedahkan dengan pelajaran sekalipun, kita akan asah mereka selagi mampu dan prinsip ini terbukti berjaya.
Misi ini tidak akan berubah walaupun sebelum ini dikenali sebagai institut dan diubah kepada universiti termasuk memberi lonjakan serta pendedahan kepada penyelidikan.Selaras dengan anjakan perkembangan dalam sistem pendidikan pada masa kini, UiTM sentiasa berdiri teguh dalam perjuangan memperkasa bumiputera.

Dengan pertambahan bilangan pelajar dan kampus, adakah UiTM berkompromi dalam pengambilan pelajar?
Ada orang kata keseimbangan kualiti berdasarkan kuantiti. Sebenarnya dari tahun 2005, kami telah sediakan model sendiri bagi mengimbangi kualiti dan kuantiti. Sekiranya kita ambil 200,000 pelajar sekalipun, adakah kita berkompromi mengenai kualiti?
Kita katakan tidak. Sebab kami ada lembaga akreditasi. Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bila mereka datang audit, kita tunjukkan kita ada sistem yang dapat uruskan sendiri dengan menggunakan sistem sama sebagaimana yang digunakan MQA.
Selain itu, kita juga ada auditor dalaman dan pengarah akreditasi sendiri yang menguruskan lebih 500 program di UiTM di samping jawatankuasa kokurikulum yang akan melihat semua kursus dilaksanakan universiti ini.

YURAN UITM MAHAL?
Baru-baru ini ada dakwaan kononnya UiTM dilihat tidak telus dalam isu pengambilan pelajar yang matlamat asalnya mengutamakan golongan berpendapatan rendah (B40). Komen datuk?
Kita ada kira-kira 70 peratus pelajar yang terdiri daripada golongan B40 atau bersamaan 185,400 sehingga Disember ini . Tidak dinafikan memang ada golongan M40 dan T20. Tapi segala asas terletak pada merit. Jika ada anak-anak staf yang memohon sekalipun, mereka telah mengisi dalam ruangan perakuan dan pengambilan mereka tetap bersandarkan merit.

Benarkah dakwaan segelintir pihak yang mengatakan yuran UiTM mahal? Mengapa tiada lagi subsidi makanan dan minuman untuk pelajar sebagai mana sebelum ini?
Isu yuran pun satu cabaran. Setakat ini UiTM adalah yang paling rendah.Sebagai contoh, yuran pengajian pelajar diploma hanya RM540 satu semester dan bagi sarjana adalah RM590 semester. Pengurangan yuran pengajian yang diberi kerajaan telah bantu ramai pelajar meneruskan pelajaran tanpa mengira pendapatan.
Nak bandingkan dengan yuran tadika? Kita masih lagi murah. Berkenaan pemberiaan subsidi makanan, bermula tahun 2007 menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah UiTM ke 79 perkara C 1372 telah mengambil keputusan untuk menghentikan bantuan makanan secara percuma kepada pelajar diploma. Ini kerana sebanyak RM40 juta setahun akan dibelanjakan untuk makanan pelajar sahaja.
Tahun 2007 hingga 2010 kita perkenalkan sistem e-kupon yang mana pelajar boleh mendapatkan makanan di kafe dengan peruntukan RM4 sehari. Jika pelajar ambil makanan lebih RM4 mereka akan tanggung perbelanjaan sepenuhnya. UiTM tidak mengabaikan kebajikan pelajar yang kurang berkemampuan dan bantuan insentif makanan untuk pelajar yang tidak berkemampuan telah diwujudkan.

TINGKAH LAKU PELAJAR
Bagaimana UiTM melihat perbezaan tingkah laku pelajar pada zaman sekarang yang terdedah kepa­da Tik Tok, Twitter dan Facebook jika dibandingkan pelajar zaman dahulu?Adakah pelajar zaman sekarang lemah ketahanan mental dan fizikal ?
Umur saya dekat 60 tahun dan saya ikut aliran perubahan. Orang yang tidak ikut aliran perubahan akan merasakan budak-budak sekarang teruk. Dulu sebab kita tiada platform. Asasnya orang yang berumur seperti saya ini, kita yang perlu berubah.Pelajar yang masuk ke universiti ini mereka muda dan telah didedahkan dengan perkara sebegini. Kita yang tua tidak faham perubahan sehingga menyebabkan ada berlaku percanggahan.
Sudah semestinya tidak semua pensyarah macam saya. Akan tetapi peribadi orang muda akan luahkan rasa tak puas hati yang mereka rasakan ada tindak balas. Saya tidak percaya mereka lembik. Pelajar sebenarnya tak tahu mahu cakap dengan siapa dan menggunakan media sosial lagi mudah. Sebab apa? Sebab bila bangun pagi terus capai telefon pintar.

Baru-baru ini ada tersebar gambar di sosial media menunjukkan pelajar UiTM melancong ke luar negara menaiki pesawat kelas pertama sehingga memberi pelbagai reaksi negatif terhadap UiTM. Komen datuk?
Pelajar tersebut daripada B40 dan dia bukan anak orang kaya. Dia sendiri usaha dan dalam masa dia belajar ilmu berkaitan keusahawanan di UiTM.Malah dia pun pempengaruh. Jadi dia pandai dan buat pemasaran digital sehinggalah berjaya. Ia secara tidak langsung menunjukkan misi UiTM berjaya.
Orang luar jangan cepat melatah kata kita bagi (kemasukan) pada anak-anak orang kaya. Kita bagi pada mereka yang layak dan berdasarkan merit.
Kita ada sistem. Itu sangkaan orang. Saya hendak fokus ubah minda jangan cepat bersangka buruk. Fikir dulu. Malah pelajar berkenaan sebenarnya berjaya menjadi penanda aras modul UiTM berjaya dalam penyediaan kursus keusahawanan. Dakwaan kononnya ada yang masuk guna cable tidak benar. Kalau benda (orang dalam ) itu berlaku saya sendiri ambil tindakan.

ISU PENSYARAH TULAR

Apakah pandangan datuk berkaitan isu pensyarah yang sebelum ini tular di media sosial?
Isu yang berlaku disebabkan orang ketiga. Saya telah lihat dan kaji video tersebut sebaik menerimanya kandungannya. Saya dapati ia ada unsur ‘dub’ dan kita boleh lihat balik dekat mana ia dipotong. Selain itu, pelajar tersebut juga sebenarnya memang sudah ada komputer riba cuma dia tidak bawa. Lagipun video tersebut berlaku semester lepas.
Jadi mengapa sekarang baru tersebar? Saya telah menyiasat secara mendalam dan bukannya membuat tindakan melulu tanpa sebarang usul periksa.Pensyarah itu pun kami tidak buang sebaliknya beliau enggan menyambung kontrak. Walau apa pun, kedua-dua daripada mereka telah dipertemukan dan saling bermaafan. Cuma apabila berlaku perkara sebegini, UiTM sendiri hilang pensyarah berkaliber.

KEMASUKAN BUKAN MELAYU
Adakah dakwaan buruk terhadap UiTM sebelum ini dilihat sebagai cubaan segelintir pihak untuk melonggarkan syarat khusus kemasukan UiTM kepada bukan bumiputera ?
Itu pun persepsi. Mungkin ada dua tiga kumpulan buat desakan daripada bukan bumiputera tapi dalam masa sama mungkin ada bumiputera sendiri nak jatuhkan bumiputera. Walau apa pun berlaku, setiap serangan saya akan tangkas menggunakan segala usaha serta ilmu menepis dakwaan tidak berasas.
Memang betul ada orang akan beranggapan serangan kepada kita adalah desakan buka UiTM kepada bukan bumiputera. Tetapi kita perlu ingat ada lebih 400 institusi swasta di luar sana dan ada juga kuota universiti awam (UA) untuk mereka.
Saya tidak nampak kenapa golongan bukan bumiputera mahu beri tekanan. Lagipun UiTM adalah satu institusi pendidikan yang diletakkan dibawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, iaitu satu polisi yang melindungi hak dan kepentingan kaum bumiputera di Malaysia.
Dasar ini turut melindungi hak-hak negeri Sabah dan Sarawak serta kaum lain bagi mengelakkan jurang besar antara kaum Melayu dan bukan Melayu. Jadi asas itu tidak berubah sampai sekarang. Malah kami sebagai guru tidak kira siapa yang datang mahu menuntut ilmu kita akan beri. Syaratnya perlu minta ilmu itu. Jika tidak individu tersebut sombong.

BANTUAN PELAJAR MISKIN
Bagaimana dengan bantuan untuk pelajar-pelajar yang susah atau miskin tegar?Adakah disediakan pihak UiTM ?
Ya sudah tentu. Kita ada berikan beberapa bentuk bantuan sebelum ini kepada mereka. Kita amat menitik beratkan kebajikan pelajar. Pelbagai kemudahan pembiayaan termasuk dana-dana tertentu telah disediakan UiTM bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk meneruskan pembelajaran di peringkat universiti seperti dana amanah pelajar, bantuan dari pusat zakat serta alumni.

Berapa banyak pelajar miskin tegar diberi bantuan khas dan berapakah nilai anggaran bantuan tersebut?
Kita ada Zawaf iaitu duit zakat yang diwakaf. Setakat ini RM25 juta bantuan diberikan kepada pelajar miskin dalam tempoh lima tahun. Bantuan tersebut termasuk komputer riba kepada mereka yang memerlukan. Mereka boleh memohon dan kita sendiri ada aplikasi. Pelajar hanya tinggal untuk mengisi sahaja segala maklumat yang diperlukan.

PERANCANGAN UITM
Apakah perancangan terbaru UiTM?
Kita akan menjalinkan kerjasama dengan sebuah universiti dari luar negara untuk menyediakan modul kursus sebagai mana UiTM. Kursus-kursus berkenaan akan dijalankan di luar negara Semuanya berjalan lancar dan kita akan umumkan nanti.

Kata-kata kepada pelajar dan orang luar yang suka mengecam UiTM?
Kepada pihak luar yang cuba membuat tuduhan, jangan buang tenaga dan masa kami. Kami ada sasaran yang perlu dikejar, mahu jadi terbaik. Apabila adanya tuduhan atau kecaman, kami perlu buat siasatan, berjumpa pelbagai piha. Fahamilah kami mahu jadikan UiTM disegani dan dihormati. UiTM ini universiti untuk mentransformasikan B40 kepada T20. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN