Pecah kontrak: UiTM laksana skim potongan gaji

Pecah kontrak: UiTM laksana skim potongan gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) melaksanakan pelbagai kaedah termasuk skim potongan gaji kakitangan bagi menuntut semula biasiswa daripada penerima yang didapati pecah kontrak seperti dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, perkara tersebut sudah lama menjadi perhatian pengurusan universiti termasuk mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut semula biasiswa daripada pemegang yang pecah kontrak.

“Kita sudah tahu pun selama ini, sebelum saya Naib Canselor pun sudah ada dalam rekod, kita memang usahakan perkara tersebut kerana kadang-kadang kita masih lagi ada prihatin, kita tahu itu duit kerajaan, kita berusaha untuk dapatkan kembali.

“Saya hormati Audit Negara, bagaimanapun, kita usahakan, sudah pun buat sebenarnya tindakan-tindakan termasuk skim potongan gaji dan ada yang kita bawa ke mahkamah.

“Tinggal lagi kadang-kadang kita berhati perut juga minta potongan sekurang-kurangnya RM100 sebulan, saya faham mereka berdepan kesukaran ketika menyambung pengajian, mereka buat silap, tetapi saya berharap mereka boleh sambung untuk habiskan pengajian,” katanya yang mula bersara semalam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan UiTM berdepan risiko kehilangan RM51.08 juta selepas lewat melaksanakan proses tuntutan ganti rugi terhadap 239 pemegang biasiswa penghutang pecah kontrak.

Menurut LKAN, kelemahan pelaksanaan tindakan tuntutan ganti rugi terhadap pemegang biasiswa yang pecah kontrak juga melibatkan kehilangan hasil berjumlah RM7.49 juta.

Malah, sehingga 31 Disember 2021, seramai 201 daripada 259 pemegang biasiswa itu yang pecah kontrak sejak 1999 masih belum dibawa kepada kelulusan Jawatankuasa Induk Peningkatan Kerjaya Sumber Manusia UiTM untuk melaksanakan tindakan tuntutan berjumlah RM42.63 juta.

Sementara itu, bekas Naib Canselor, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Sahol Hamid Abu Bakar memaklumkan, kebanyakan pemegang biasiswa tersebut merupakan kakitangan UiTM dalam sektor pentadbiran dan akademik termasuk di bawah Skim Tenaga Pengajar Muda (TPM).

“Tindakan tuntutan semula terhadap pemegang yang pecah kontrak sudah lama dilakukan dan memang ada prosedur dibuat terhadap mereka melalui Penasihat Undang-Undang (PUU) UiTM dan kita kenal pasti penerima tidak tamat pengajian.

“Biasanya penerima perlu berkhidmat dengan UiTM selepas tamat pengajian, jadi, antaranya ada yang memang warga universiti dan ada juga dari luar tetapi kalau tamat pengajian kena berkhidmat,” jelasnya yang berkhidmat dari 2010 hingga 2015. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN