Isu logo pun tak boleh selesai, macam mana mahu tadbir kerajaan? - Utusan Malaysia

Isu logo pun tak boleh selesai, macam mana mahu tadbir kerajaan?

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Pelantikan Setiausaha Agung DAP yang baharu, Anthony Loke pada 20 Mac lalu, mencetuskan pelbagai reaksi. Ada berpandangan, bekas Menteri Pengangkutan itu bakal membawa parti ke arah yang lebih sederhana.
Namun, tak kurang juga dalam kalangan DAP yang dianggap berasa terancam, misalnya Ronnie Liu yang pada April 2021 mengeluarkan kenyataan, bahawa “DAP tidak perlu mencairkan kecinaannya hanya kerana kritikan daripada musuh politik”.
Soalnya, apa kata Setiausaha Agung yang baharu? Perlukah DAP mencairkan ideologi untuk mendapatkan sokongan pelbagai kaum, terutama Melayu yang mendominasi lebih 60 peratus populasi negara? Cakap soal Melayu juga, apa yang bermain di mata beliau apabila melihat kebangkitan semula ‘musuh’ politik utama iaitu UMNO, yang menang berturut-turut dalam beberapa siri pilihan raya negeri?
Bagi mendapatkan perspektif, wartawan Mingguan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan FAHMI FAIZ menemu bual ANTHONY LOKE di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut membantu juruvideo ZUID IKH RAL SAMSON dan jurugambar MUHAMMAD SHIDDIEQIIN ZON.

MINGGUAN MALAYSIA: Ramai melihat YB bersifat sederhana dan tidak radikal, apa mendorong pendirian begitu?
ANTHONY: Sebenarnya DAP juga amalkan politik kesederhanaan. Ideo­logi kita sosial demokrasi, yang ambil pendekatan sederhana dari segi dasar dan pendekatan politik. Saya percaya dalam konteks di Malaysia, kalau kita ambil pendirian ekstrem, ia tidak akan ke mana-mana dan kita akan menjadi parti yang tidak mendapat sokongan dari peringkat arus perdana dan majoriti rakyat Malaysia.

Dinasti Lim masih mempengaruhi kputusan DAP pada masa kini?
Dalam DAP, sistem kita bersifat kepimpinan kolektif iaitu tiada satu individu yang boleh buat keputusan secara solo. Kita ada CEC. keputusan-keputusan dasar mesti diluluskan dan dipersetujui di peringkat CEC. Sebab itu kongres memilih 30 orang untuk mengganggotai CEC. Ia adalah badan pembuat keputusan tertinggi dalam parti. Jadi, tidak timbul satu atau dua orang boleh buat segala keputusan. Kedua, memang sumbangan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng tidak pertikaikan. Mereka pemimpin yang lama berkhidmat untuk parti dan banyak menyumbang kepada parti, terutama Kit Siang sejak parti ditubuhkan. Namun begitu, parti adalah untuk semua. Walaupun setiap pemimpin ada kebebasan suarakan pandangan, akhirnya ia akan dibuat secara konsensus.

UMNO DARI KACA MATA DAP
Macam mana DAP melihat UMNO, selama 60 tahun memerintah adakah mereka membawa pembangunan kepada negara?
Saya tak boleh nafikan selama 60 tahun ini, kita ada kemajuan dari segi pembangunan ekonomi. Tapi bukankah jika kita ada dasar yang lebih inklusif, atau dasar yang dapat menyatukan rakyat Malaysia, maka kita pergi ke tahap lebih baik? Sudah semestinya.

Apa beza DAP dengan UMNO, sedangkan YB akui negara memang ada kemajuan selama diperintah UMNO?
Permasalahan yang ketara antara kita dengan UMNO serta BN adalah dari segi pelaksanaan dasar itu. Kadangkala objektif itu baik, tapi kaedah pelaksanaan yang menyebabkan terlalu banyak kebocoran. Dalam pada mereka melaksanakan dasar seolah-olah untuk membantu Melayu dan bumiputera, tapi ada banyak kebocoran dalam proses itu. Ia mengakibatkan salah guna kuasa, rasuah, kronisme, nepotisme dan sebagainya.

Apa jaminan kronisme, salah guna kuasa, nepotisme dan kleptokrasi tidak berlaku jika DAP jadi kerajaan?
Jaminannya adalah melalui perubahan sistem. Maksudnya, mesti ada reformasi institusi. Kita mesti perkasakan institusi, bukannya individu yang membawa perubahan itu, sebaliknya individu membawa perubahan melalui reformasi ke atas institusi. Institusi kerajaan ini, mesti ada unsur bebas, mesti bebas melaksanakan tugas mereka sebagai semak dan imbang kepada kerajaan. Umpamanya badan kehakiman, suruhanjaya pencegahan rasuah, peguam negara, institusi Parlimen, institusi polis, suruhanjaya sekuriti dan sebagainya. Semua institusi ini mesti ada semak dan imbang yang lebih kuat, dan bukannya kuasa berpusat kepada cabang eksekutif, lebih-lebih lagi tertumpu kepada Perdana Menteri. Sebelum ini, mengapa isu 1MDB boleh berlaku? Mengapa isu kleptokrasi boleh berlaku? Kerana kuasa terlalu berpusat di tangan seorang saja, iaitu Perdana Menteri.

TIADA KUOTA HADKAN
JUMLAH MELAYU
Apa fungsi orang Melayu dalam DAP?
Mereka memainkan peranan yang sama, seperti juga pemimpin kaum lain. Iaitu untuk memartabatkan parti, untuk kukuhkan sokongan supaya lebih ramai rakyat sokong kita. Dalam konteks wakil Melayu kita, sudah tentu kita harap mereka dapat menarik lebih ramai sokongan orang Melayu kepada DAP. Untuk menarik sokongan Melayu, bukan hanya bergantung kepada pemimpin Melayu. Saya dan semua pemimpin lain juga ada peranan untuk tarik sokongan Melayu dan juga kaum India, Cina, Kadazan, Iban dan lain-lain kepada kita. Jadi mindset dalam DAP juga kena ubah, ia bukannya bahawa untuk tarik sokongan Melayu, tugas itu hanya kepada Young Syefura Othman, atau hanya kepada Shahredzan Johan. Saya punya kawasan misalnya, ada lebih 40 peratus Melayu. Jadi saya juga berperanan tarik sokongan orang Melayu.

Adakah DAP tetapkan sebarang kuota keahlian Melayu dalam parti?
Tiada.

Jika tiada kuota, apa akan jadi jika parti didominasi orang Melayu, tak risaukah halatuju akan diubah mirip UMNO atau parti Melayu lain?
Kalau kita sampai tahap itu, ia adalah kejayaan untuk mendapat sokongan majoriti rakyat Malaysia. Kita tak pernah risau jika ada terlalu ramai Melayu dalam parti, yang kita risau adalah jika tak cukup Melayu. Tiada masalah bagi kita, sebab parti ini bukan ditubuhkan dengan perlembagaan bahawa parti ini mesti dipimpin oleh kaum Cina, tidak. Ini bukan visi pengasas parti kita. Sebaliknya beliau melihat kepada satu parti yang boleh menyatukan rakyat Malaysia.

PKR DAN AMANAH
Bila cakap macam ini, tak risaukah jika pembaca Cina akan melihat DAP semakin cair sifat mempertahankan mereka?
Tidak. Itu yang kita mahu bezakan bahawa kita bukan satu parti perkauman. Memang betul sokongan kita banyak daripada pengundi Cina. Tapi perlembagaan kita tak nafikan penyertaan Melayu. Jika satu hari nanti lebih ramai Melayu berbanding Cina dalam DAP, biarlah ia terjadi, apa masalahnya?

Bolehkah DAP bergantung kepada PKR dan Amanah saja untuk tarik sokongan Melayu?
Kita mesti bersama-sama. Setiap parti ada peranan. Saya tak mahu menyatakan beban itu hanya terletak ke atas bahu PKR. Sebab dulu satu-satu gabungan, setiap parti itu ada peranan, dan mesti saling melengkapi. Kita tak boleh kata, kalau bab orang Melayu, PKR punya tanggungjawab. Kalau kaum Cina, DAP punya tanggungjawab. Atau parti Amanah hanya dalam kalangan Melayu konservatif. Tak boleh begitu, sebab jika macam itu tiada sinergi dalam kalangan parti.

ISU POKOK PUN
TAK BOLEH SELESAI?
Pandangan terhadap kemerosotan DAP dan Pakatan Harapan (PH) dalam beberapa pilihan raya negeri?
Kita tak boleh nafikan bahawa PRN di Melaka, Sarawak dan Johor, kita mengalami kemerosotan dari segi sokongan kepada PH. Itu sesuatu yang tak boleh dinafikan, dan jika mana-mana pemimpin PH menafikan, maka itu adalah satu sindrom penafian. Jadi kita mesti mengakui bahawa kita ada kelemahan, dan PH ada kekurangan dan masalah yang perlu ditangani.
Kenapa prestasi merosot?
Ada pelbagai faktor, terutama apa yang berlaku dalam Langkah Sheraton mengakibatkan ramai hilang keyakinan terhadap politik dan PH. Ramai terutama pengundi atas pagar, hilang keyakinan kepada sistem politik, sebab mereka lihat politikus ini semua pentingkan diri. Walaupun bagi kita, itu bukan kita, sebab ada yang membelot. Tapi bagi rakyat, itu mengakibatkan mereka hilang kepercayaan kepada ahli politik. Dari segi hala tuju juga, iaitu tentang bagaimana kita mahu membentuk satu kepimpinan yang kuat. Mungkin ada melihat ia sedikit rapuh dalam beberapa siri PRN baru-baru ini. Umpamanya, dari segi calon di Melaka, kita ada pertelingkahan tentang calon yang dilihat sebagai katak. Kemudian di Johor, kita dilihat tak dapat capai persetujuan mengenai logo. Itupun faktor menjejaskan keyakinan penyokong. Mereka kata isu pokok macam logo, ini perkara mudah namun tak bersatu hati, jadi macam mana mahu mentadbir kerajaan kalau tak bersatu hati dalam perkara-perkara mudah ini?
Pandangan terhadap peralihan sokongan kaum Cina yang mula berpihak kepada BN dan MCA?
Kalau kita lihat betul-betul analisis swing kepada MCA hanya di satu dua kerusi terutama di DUN Yong Peng. Ini memang jelas ada swing pengundi Cina kepada MCA. Tapi ini sebab isu mikro, bermaksud ia menggembleng sumber dan betul-betul fokus di kawasan itu. Mereka letak calon di sana yang bekerja di kawasan sepanjang masa, sejak selepas pilihan raya umum lepas. Di Yong Peng, strategi MCA adalah calon yang telah kalah sewaktu PRU14, dia tetap teruskan khidmat seperti seorang wakil rakyat.

MEMORANDUM PERSEFAHAMAN
Susulan desakan terhadap Perdana Menteri untuk bubarkan Parlimen dan beri ruang pilihan raya, apakah DAP memihak kepada PM atas sebab Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan-pembangkang?
MoU ini jelas satu persefahaman antara PH dengan kerajaan persekutuan. Ini mesti dijelaskan dari segi konsepnya. Kita bukan menyertai persefahaman ini dengan UMNO, tapi dengan kerajaan yang mana Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ialah ketua kerajaan selaku PM. Ia bukan ditandatangani atas kapasiti selaku pemimpin UMNO, sebaliknya atas kapasiti PM. Konsep ini harus difahami bahawa persefahaman kita hari ini adalah dengan kerajaan, bukan dengan parti beliau.

Apa syarat di pihak PH-DAP untuk pastikan MoU ini berfungsi?
Apa yang termaktub dalam MoU itu dilaksanakan, ini termasuk Akta Anti Lompat Parti, agenda untuk mengehadkan jawatan PM, membawa semula Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen, itu semua sedang dilaksanakan. Jika semua ini berlaku, bermakna MoU ini berkesan. MoU ini bukan sokongan, sebaliknya persefahaman. Maksud saya, mahu cakap kita sokong PM, tak betul. Kita bukan sokong, tapi ada persefahaman dengan beliau. Jadi ada obligasi kita, seperti yang kita kata akan berkecuali kalau ada undi percaya kepada beliau.
Jadi saya lontarkan dalam Parlimen. Saya kata kalau ada ahli UMNO yang rasa kalau ada keraguan terhadap PM, boleh bawa usul undi percaya. Usaha undi percaya itu, kita berkecuali. Jadi itu persefahaman kita. Maka kedudukan beliau sebagai PM tak tergugat, kecuali ada orang dalam kerajaan menarik sokongan terhadapnya termasuk dari parti beliau sendiri. Adakah mereka akan tarik sokongan? Itulah persoalannya. Jadi selagi mereka tak tarik balik sokongan, tak timbul soal kedudukan tergugat. Jika tak tergugat, tekanan itu adalah antara beliau dengan parti. Kita tak terlibat. Kita punya persefahaman, Parlimen tak sepatutnya dibubarkan sebelum 31 Julai. Tapi selepas itu, terpulanglah kepadanya, kecuali beliau kata jika ada persefahaman untuk lanjutkan.

ANTI MONARKI
Sejauh mana kebenaran dakwaan, kononnya DAP anti monarki? Adakah dakwaan itu relevan?
Tak relevan langsung.

Apa reaksi terhadap ahli DAP, Ronnie Liu yang ke Bangkok sewaktu berlakunya demonstrasi anti monarki di Thailand, malah dia tulis kenyataan “Now in Bangkok. They are saying no to the King”?
Saya tak sedar perkara itu, saya tak tahu. Kalau ada apa-apa tindakan di luar negara, ia tak mewakili parti. Itu Kalau ada tindakan atau penyertaan mana-mana ahli DAP terutama dalam demonstrasi yang melibatkan negara luar. Itu tidak mewakili pendirian parti.
Itu yang pertama. Kedua, dari segi monarki, kita berpegang kepada prinsip sistem Raja Berperlembagaan. Kita mengangkat prinsip tersebut, iaitu ada peranan sistem raja berperlembagaan, yang mana mereka sebagai payung kepada negara, dan payung kepada negeri. Malah ada peranan ceremonial mereka, dan juga ada peranan dari segi Perlembagaan.
Umpamanya melantik Perdana Menteri, melantik menteri besar, menolak untuk membubarkan Parlimen atau untuk mengisytiharkan darurat misalnya. Jadi ada peranan Raja-raja Melayu, dan itu kita hormati. Perlu difahami bahawa kita bukan anti monarki. Kita berpegang kepada prinsip raja berperlembagaan. Kita ada sistem demokrasi, demokrasi itu dipilih oleh rakyat. Tapi raja ada peranannya dalam institusi negara kita. Jadi itu dipertahankan.

Apakah DAP bersetuju ekonomi dan ekuiti Melayu bumiputera masih lemah dan belum capai agenda 30 peratus, malah agihan kekayaan negara masih belum seimbang?
Itu yang saya maksudkan, jika selepas UMNO memerintah lebih 60 tahun dan agenda itu masih tak tercapai, UMNO yang patut jawab. Mengapa mereka gagal capai 30 peratus pengagihan ekuiti bumiputera? Adakah dalam proses itu ada kebocoran, ada salah guna kuasa, ada rasuah dan sebagainya?
Jadi selalu kita katakan, kalau itu jadi masalah pokok kepada Melayu, mengapa kita tak tanya, adakah itu kegagalan UMNO? Sudah diberikan mandat berpuluh tahun, Dasar Ekonomi Baru sudah bermula sejak 1971.
Sampai hari ini, sudah 51 tahun. Mengapa dalam 51 tahun ini, kecuali 22 bulan PH memerintah, selain itu semua diperintah oleh UMNO. Perdana Menteri, Menteri Kewangan semua dari UMNO. Mengapa dalam 51 tahun ini, UMNO gagal capai 30 peratus ekuiti ekonomi bumiputera?

BAHASA MELAYU
YANG BAGUS
YB ada penguasaan bahasa Melayu yang bagus. Bagaimana boleh menguasainya?
Saya belajar di sekolah rendah kebangsaan dan masuk darjah satu pada 1984. Itu adalah kumpulan pertama yang mana sistem pendidikan kebangsaan ditukar kepada Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Malah penguasaan bahasa Melayu saya juga mungkin ada hubung kait dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebab beliau ketika itu Menteri Pendidikan yang memperkenalkan KBSR dan bahasa baku. Kita dilatih di sekolah untuk kuasai bahasa kebangsaan dan guna bahasa baku dalam membaca, menulis dan mengira. Kemudian, saya sambung belajar di sekolah menengah kebangsaan selanjutnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Jadi, sepanjang pengajian adalah berasaskan bahasa kebangsaan. – MINGGUAN MALAYSIA

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.