“SENI bukan percuma.” Cukup ringkas jawapan yang diberikan figura ini tatkala Pancaindera bertanyakan sama ada benar dia tidak pernah memberi penajaan kepada mana-mana pihak atas dasar populariti.
Sentiasa menyantuni bakat yang dimiliki dengan cara tersendiri, kongsi Datuk Rizalman Ibrahim, 49, sejak pembabitan dalam bidang rekaan fesyen 30 tahun lalu, fokusnya hanya satu iaitu untuk memartabatkan ilmu dimilikinya.
Tidak melihat pendiriannya ini sebagai sesuatu yang sukar, anak kelahiran Pulau Pinang ini yakin sikapnya ini juga yang meletakkan nilai eksklusif dalam setiap produk keluarannya.
“Menjadi graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), kami sentiasa diajar menjaga nilai seni itu. Seni bukan percuma. Jadi bila tamat sahaja belajar, fokus saya hanya untuk meletakkan jenama Rizalman itu sendiri pada kedudukan tinggi yang sekali gus memberi sifat prestij kepada diri sendiri.
“Apa yang saya buat ini adalah satu langkah selamat bukan sahaja untuk menjaga nilai eksklusif setiap rekaan saya, dalam masa sama untuk menjaga nama UiTM sendiri.
“Saya tahu formula penajaan ini bermula dari Barat, tetapi kena faham komuniti di sana besar dan mereka mempunyai golongan berbeza-beza dan ini tidak sesuai dipraktikan di negara kita sebenarnya,” katanya yang juga Ahli Lembaga Pengarah UiTM.
Selesa dengan pendapat yang mengatakan dia seorang cerewet, sehingga ke hari ini juga, Rizalman setuju bukan sukar untuk mengakui dia mempunyai sifat ego yang sangat tinggi.
Cuba merumuskan keadaan ini dalam situasi yang lebih mendalam, dia yakin hanya dengan kejayaan sahaja yang mampu memberi sebab untuk ilmunya diterima dengan baik.
“Cerewet ini wujud daripada ego yang tinggi. Sejak dahulu lagi saya berlumba-lumba mahu berada di tempat pertama dalam semua hal termasuk melahirkan hanya rekaan yang cantik-cantik.
Tetapi apa yang dimiliki ini, saya sulamkan dengan nilai agama dalam memberikan kebaikan kepada semua peminat saya.
“Memiliki ilmu yang diberikan Allah memerlukan kita berkongsinya. Jadi untuk memudahkan urusan ini saya perlu berada di puncak. Orang akan memandang tinggi dengan melihat apa yang kita miliki.
“Antara ilmu yang selalu saya kongsinya betapa pentingnya solat subuh, sebab sejauh mana juga kita berjaya, ilmu agama akan sentiasa berada di atas,”jelasnya yang kini dilihat sebagai antara ikon fesyen paling berpengaruh.
Sahabat baik Tunku Azizah
Bukan satu rahsia lagi ketika ini untuk mengetahui Rizalman juga ialah teman baik kepada Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menjadikan seni sebagai landasan untuk hubungan ikhlas ini terjalin, kongsinya sikap baginda menyebabkan dia cukup selesa menjadi diri sendiri tiap kali bertemu.
“Baginda mengenali saya sebagai seorang pereka fesyen yang mempunyai perangai “loqlaq” Dalam hubungan yang terjalin ini, saya dan permaisuri sendiri senang untuk menjadi diri sendiri.
Tiada istilah kepura-puraan, sebab melalui cara ini juga saya dapat melihat sisi baginda yang sebenar.
“Saya juga pernah berkongsi sebelum ini bagaimana hubungan dengan baginda juga boleh diibaratkan sebagai dua jasad berbeza roh. Macam mana saya di dapur begitu jugalah dia di dapur, senang cerita ada persamaan antara kami.” katanya.
Walaupun baginda dipandang sebagai ikon diraja dan sedar dirinya hanyalah orang biasa, tetapi keikhlasan bersahabat memberi ruang untuk hubungan mereka berkembang.
Mungkin melalui sikap itu juga, Rizalman mengakui tidak ada perasaan takut untuk mendekati baginda kerana masing-masing juga tidak berselindung dalam melahirkan sebuah hubungan yang sebenar.
“Seni juga sebenarnya menjadi antara sebab saya begitu selesa dengan baginda. Kalau diikutkan sejak zaman dahulu lagi golongan raja-raja lah yang bertanggungjawab mermatabatkan seni warisan kita.
“Bagaimana golongan ini sentiasa mahukan keindahan dalam mewujudkan tamadun yang dibina. Baginda juga tidak ketinggalan sentiasa meletakkan seni sebagai sesuatu yang tinggi,”katanya mengakhiri perbualan.
Tidak ralat bukan lagi seorang pereka fesyen
Selain kisah pandemik dunia, pertengahan Februari lalu negara juga turut dikejutkan dengan pengumuman Rizalman untuk mengundur diri dari dunia rekaan fesyen. Tahu masih ada pihak di luar sana yang mendambakan bakat yang dimilikinya, kongsi ayah kepada dua anak ini, dia tidak mahu terus dibelenggu rasa was-was dalam mencari rezeki.
“Ilmu fesyen itu sendiri halal, sebab Allah yang kurniakan ilmu itu kepada kita. Fesyen ini sendiri memberi ruang untuk membantu orang mencari keselesaan dalam berpakaian. Namun bila berhadapan dengan keadaan yang bertentangan dengan agama dan pilihan kita, perkara ini membuatkan saya tertanya kembali mengenai punca rezeki saya ini. Masih halal atau tidak bila kita menyediakan pakaian yang dikehendaki pelanggan tetapi melanggar hukum.
“Selama beberapa tahun saya memberi ‘khutbah’fesyen dan akhirnya saya buat keputusan untuk bersara dan memulakan perniagaan baharu RI Network. Jujurnya walaupun perniagaan ini masih baru, namun nilai pendapatan yang dimiliki ini mengatasi kerja-kerja yang saya lakukan dalam dunia rekaan fesyen selama 30 tahun.
“Dahulu sepanjang berada dalam dunia fesyen ibarat apa yang masuk sama juga jumlah yang keluar, kalau mahu dibandingkan pula kesusahannya bukan mudah sebenarnya mahu menyiapkan sehelai baju. Mengambil masa.
“Sesuatu yang sukar untuk dipercayai namun dengan kekuasaan Allah siapa kita untuk menyangkal. Tetapi itulah bila kita keluar dari sesuatu yang tidak diredai, ada sesuatu yang lebih besar menanti,”katanya yang kini dalam perancangan menerbitkan sebuah filem berkonsepkan ketuhanan yang akan turut dibintangi beberapa pelakon popular termasuk dirinya.
Menolak rasa ralat tidak lagi bergelar seorang pereka fesyen, sehingga saat ini tidak pernah timbul perasaan menyesal dalam dirinya untuk membuat keputusan besar ini. Membetulkan persepsi sesetengah pihak, mengenai apa yang dilakukan ini sekadar gimik. Ternyata apa yang lebih penting untuk dirinya kini, peluang untuk berkongsi rezeki dan ilmu itu lebih luas.
“Tidak pernah rasa ralat atau menyesal untuk tidak lagi membawa gelaran seorang pereka fesyen, sebab selepas 30 tahun Allah jentik rasa untuk berubah. Apa yang saya bayangkan jika saya meninggal dunia sebelum mampu keluar dari bidang ini, apa yang akan berlaku?
“Saya tidak pernah menggunakan agama untuk kepentingan diri, bagi saya dengan apa yang Allah beri ini memberi saya peluang untuk bukan sahaja berkongsi ilmu tetapi rezeki yang dimiliki.
Setiap orang ada cara untuk dia menyampaikan kebaikan itu, dan saya memilih untuk menonjolkan realiti kehidupan,” kongsi anak bongsu daripada lapan beradik ini. – MINGGUAN MALAYSIA










