Selain kisah Neelofa dan Haris Ismail menjadi perbualan hangat, isu lima selebriti yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga menjadi topik panas.
Mana tidaknya, kakitangan Jabatan Netizen masing-masing membuat andaian sendiri. Ibaratnya, semua nama artis yang kaya-raya menjadi mangsa tekaan mereka. Entah betul atau tidak, wallahualam.
Poklip tidak suka serkap jarang. Maka, bila dapat senarai artis yang dipercayai dipanggil SPRM, terus sahaja Poklip telefon seorang demi seorang. Kekda juga membantu ya. Baru ada #Teamwork.
Kisahnya, Poklip menelefon kakak kepada Neelofa iaitu Noor Nabila yang dipercayai salah seorang daripada lima selebriti yang dipanggil. Enggan panjang kisah, Nabila mengaku sahaja. Senang!
Namun, dia hanya diminta memberi keterangan untuk membantu siasatan atas kapisiti sebagai isteri pelakon, Sharnaaz. Maka, jika Nabila dipanggil, mungkin sahaja bekas suaminya juga dipanggil kan? Mungkin tau, tanya sahaja.
Tapi bila Poklip telefon Sharnaaz, pelakon itu enggan mengesahkan atau menidakkan. Tapi dia cakap dengan nada cukup sopan dan baik. Maka Poklip pun hormat sahaja keputusannya. Takkan kita nak paksa pula, tak baik.
Cuma mungkin Sharnaaz mahu menyusun ayat atau meminta nasihat daripada peguamnya terlebih dahulu sebelum beri komen. Takut nanti salah cakap pula kan.
Tak apa. Poklip doakan yang terbaik untuk kelima-lima selebriti itu. Tidak lupa juga, mereka yang bakal dipanggil oleh SPRM nanti. Siapa? Ha tunggu! Ramai lagi tau.
Tipu dosa tau!
Kelakar pun ada bila teringat kejadian yang satu ini. Al kisahnya, Poklip ada cuba menghubungi seorang pelakon berhubung spekulasi terhangat yang berlaku minggu lalu.
Berkali-kali Poklip telefon, namun tidak berangkat. Pada firasat Poklip, mungkin dia belum bersedia untuk menjawab. Tetapi soalan yang ditanya bukan panas sangat pun, biasa sahaja. Sama ada ya atau tidak, itu sahaja pun.
Tapi keesokkan harinya, Poklip cuba nasib hubungi pelakon ini lagi. Tiba-tiba, mungkin dia tersalah tekan, menerima panggilan itu. Maka tanpa buang masa, Poklip terus bagi salam dan sebut namanya.
Tiba-tiba sahaja, si polan yang menjawab panggilan itu menafikan dia adalah selebriti yang Poklip cari. Dia mendakwa nombor itu telah digunakan untuk perniagaan pelakon itu. Bukan nombor peribadi.
Poklip mulanya terkejut namun ada perasaan sangsi. Masakan tukang jawab telefon di kedai mempunyai suara dan dialek yang hampir sama dengan pelakon itu? Atau memang cari pekerja perlu kriteria itu? Pelik bukan?
Tapi tak mengapa, Poklip cuba mengusik dan terus mengatakan, ‘saya kenal suara awak tau’. Namun, si polan itu terus menafikan dan menegaskan dia bukan selebriti yang Poklip cuba hubungi.
Cuma di akhir perbualan Poklip sempat berpesan, kalau tipu dosa tau! Itu sahaja. Yalah, Poklip pun tak mahu serkap jarang. Mungkin betul suara dan gaya cakap yang sama tetapi orang berbeza. Husnuzon.
Sudah buka tudung?
BILA seorang demi seorang selebriti memilih kembali tidak mengenakan tudung timbul persoalan, adakah ia berlaku atas desakan industri atau sekadar trend?
Jika dahulu menderu- deru artis memilih untuk bertudung, kebelakangan ini lain pula kisahnya.
Kekda merasakan tidak perlu ada pihak menghentam golongan yang memilih untuk tidak bertudung ini.
Sebab kita sendiri tidak jelas kenapa golongan ini seakan nekad untuk kembali dengan imej lama walaupun tahu habuan yang akan mereka terima daripada netizen.
Terlanjur bercerita kisah buka tudung ini, terbaharu Kekda terdengar seorang lagi selebriti turut mengambil keputusan yang sama. Tidak tahu sudah berapa lama dia kembali tidak bertudung, memandangkan gambar baharunya ini turut di muat naik dalam laman sosial salah seorang rakan baiknya.
Pada pendapat Kekda mungkin dia memberikan keizinan buat rakannya itu, untuk membuat pengumuman tidak rasmi penampilan terkininya itu. Jadi secara tidak langsung tidaklah orang terkejut kalau bertemunya di luar nanti.
Teringat Kekda bagaimana dia berkongsi kisah diugut kerjayanya akan terganggu dek kerana penampilan bertudung. Dalam perkongsian itu, dia turut berjanji akan setia dengan penampilan bertudungnya ini sampai bila-bila. Tetapi itu manusia hanya merancang, Kekda harap yang terbaik sahaja untuk dirinya selepas ini. – Pancaindera.










