Ketum lahirkan `Escobar' Malaysia - Utusan Malaysia

Ketum lahirkan `Escobar’ Malaysia

TANAMAN tetum di kawasan rumah menjadi perkara biasa di Perlis dan Kedah, namun yang menjadi masalah apabila daun berkenaan disalahgunakan untuk tujuan yang menyalahi undang-undang. - UTUSAN/ MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kegiatan pena­na­man, pengedaran dan peme­ro­sesan ketum di negara ini jika ti­dak dikawal akan melahirkan sindiket dan individu yang hi­dup atas keuntu­ngan aktiviti haram seperti raja dadah dunia, Pablo Escobar.

Dalam lima tahun, jika aktivi­ti ketum dibiarkan berleluasa, ti­dak mustahil individu mirip Es­cobar akan muncul di Malaysia.

Escobar adalah ‘raja da­dah dunia’ yang pernah me­­mo­­nopoli industri gelap pe­ngedaran barang haram di Amerika Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

Dr. Zaki Zamani Abd. Rashid

Ketika hidupnya Escobar ‘ber­kuasa’ dan mampu ‘membeli’ pihak berkuasa dan menyelamatkan individu yang terlibat dengan aktiviti berkaitan dadah.

Jika dibiarkan, senario itu tidak mustahil boleh berlaku di Malaysia ekoran mereka yang ter­libat dalam penanaman dan pengedaran ketum memperoleh pendapatan lumayan sehingga RM30,000 sebulan.

Malah ciri-ciri itu sudah mula kelihatan apabila ada ‘pengusaha’ ketum di sebuah ne­geri di utara tanah air mampu menggunakan kereta mewah ber­nilai sekitar RM1 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pe­mulihan Dadah Daerah Kota Setar, Dr. Zaki Zamani Abd. Rashid ketika berkongsi kebimbangan itu berkata, ciri-ciri kemunculan Escobar sudah dapat dilihat apabila terdapat dalam kalangan pe­­nanam dan pengedar ketum di negeri ini sanggup membayar denda di­kenakan ter­hadap individu yang ditangkap atas kesalahan berkaitan ke­tum.

Menurut beliau, penanam dan pengedar ketum itu tiada masalah untuk membayar denda kerana mereka memperoleh pendapatan lebih lumayan di sebalik aktiviti penanaman dan menjual ketum.

“Perkara lebih dibimbangi sekiranya muncul Pablo Escobar dalam kalangan penduduk tempatan yang meniru sifat berani ‘raja dadah dunia’ untuk melindungi pihak berkuasa.

“Ketika itu jika AS ada ‘raja dadah dunia, Malaysia pula ada ‘raja ketum dunia’,” katanya di sini semalam.
Sehubungan itu, Dr. Zaki berkata, kerajaan perlu lebih serius dalam menghalang aktiviti berkaitan ketum dengan bermula daripada peringkat penanaman.

Pada masa sama, beliau me­nyambut baik usaha polis Kedah yang mahu mengemukakan kertas cadangan mengenai larangan tanaman ketum di negeri ini kepada kerajaan negeri.

Menurut beliau, kertas cada­ngan yang masih dalam peringkat awal mungkin meng­ambil sedikit masa untuk di­siapkan.

“Larangan tanaman ketum di atas tanah milik sendiri agak sukar dilaksanakan kerana me­libatkan Kanun Tanah Negara, kecuali tanah milik agensi kerajaan,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini pernah melaporkan sebahagian besar penanam ketum di negeri ini meraih pendapatan lumayan antara RM11,000 hingga RM31,000 sebulan hasil jualan daun pokok tersebut.

Pendapatan diperoleh hasil jualan daun ketum yang dipetik daripada pokok berusia tiga hingga lebih tujuh tahun bagi kawasan seluas satu hektar.

Tanah seluas satu hektar boleh ditanam dengan kira-kira 1,300 pokok ketum. Harga ladang daun ketum sekitar M9 hingga RM10, sekilogram, pasaran tempatan RM30 dan ‘eksport’ ke Thailand mencecah RM100.

Penanaman ketum di utara Malaysia adalah fenomena biasa dan keadaan semakin menjadi-jadi apabila pekebun getah dan padi kini lebih cenderung menukar tanaman tersebut kepada ketum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN