SUDAH tentu dia tahu mengenai isu hangat yang sedang diperkatakan dalam industri.
Isu bagaimana wujudnya segelintir artis atau Instafamous yang ghairah untuk menikmati hidup mewah, sehingga tergamak memperjudikan maruah.
Bergetah cantik mengiringi waktu muda, dua kelebihan ini seharusnya datang dengan pakej bijaksana jika tidak mahu binasa.
Apa lagi kalau sudah namanya perempuan, akan ada sahaja mata galak yang memerhati mencari kesilapan dalam segenap kelakuan.
Demikian pandangan Elisya Sandha, yang kini sedang meniti populariti, mencari makan dalam industri atas tiket anak seni.
Bukanlah seorang individu yang mudah menghakimi, namun bagi aktres ini, ketika mencari rezeki biarlah melangkah dengan niat yang tulus dan bukan di jalan hitam.
“Saya tahu setiap orang ada pandangan berbeza tentang kehidupan. Tetapi susah macam mana sekali pun, kita sebagai wanita atau sesiapa perlu tetap mencari rezeki yang halal.
“Walaupun sikit, Insya-Allah, rezeki itu akan jadi lebih luas. Apa lagi kalau kita rajin bersedekah, berkongsi pula dengan keluarga.
“Jangan takut dilihat hidup sederhana atau mungkin tidak punya apa-apa. Sebab kita tak tahu apa yang Tuhan sudah susun buat kita pada masa akan datang,” katanya.
Sedar bahawa golongan wanita lebih banyak terpalit dengan andaian buruk berkaitan isu sensitif seperti menjual tubuh, Elisya enggan menuding jari pada mana-mana individu.
Baginya, hidup ini adalah sebuah pilihan dan terpulang pada kebijaksanaan masing-masing dalam menentukan baik buruk sesuatu pilihan itu terutama dalam menjaga nama baik diri serta keluarga.
“Lumrah hidup, orang akan tetap pandang apa sahaja perlakuan perempuan. Bagi saya, alangkah baiknya jika kita melihat perkara ini dari segenap dimensi.
“Apa sahaja perkara yang tak baik atau memudaratkan, kita jangan contohi manakala yang baik jadikan pedoman sebab akhirnya kita semua adalah manusia.
“Semua orang mesti pernah buat silap tetapi harus diingat, kita juga punya banyak pintu peluang untuk segera bangkit berubah,” katanya.
Duit penting tapi…
Memahami wujud frasa ‘pulun duit waktu muda’, Elisya bagaimanapun mengambil langkah perlahan untuk mengatur perjalanan karier seninya satu-persatu.
Tidak mahu bersikap tamak, pelakon berusia 21 tahun ini lebih cenderung untuk menjaga jenama diri agar mampu bertahan lama dalam industri.
“Saya melihat dari sudut pandang yang jauh. Ya, duit itu penting. Waktu mudalah kena ambil semua tawaran yang datang.
“Tapi kalau tidak bersikap memilih pun tak bagus. Bukanlah nak berangan diri eksklusif, tetapi ada ketika perlu menjaga jenama diri dan harus tahu waktu yang tepat untuk ambil peluang.
“Pada saya, bersikap memilih juga salah satu strategi baik untuk kerjaya sebab tak semua orang suka nak tengok muka kita selalu terpampang di mana-mana termasuklah di kaca televisyen,” katanya.
Beruntung memiliki pihak pengurusan yang bijak mengendali kerjaya seninya, Elisya kini sudah mampu tersenyum melihat banyak progres positif mewarnai hidupnya.
Bermula cuma sebagai pelakon pembantu, kini Elisya meraih kepercayaan ramai pengarah dan penerbit drama tanah air untuk memegang peranan utama dalam pelbagai naskah.
“Orang kata kalau cepat naik maka cepat juga jatuhnya. Jadi saya selesa mengambil langkah perlahan meski tahu persaingan itu sentiasa ada.
“Sebab itu kena sentiasa positif dan pasang niat yang betul jika mahu terjun dalam bidang ini.
“Jangan sesekali fikir mahu cepat popular, cepat glamor. Di akhirnya, kalau betul nak jadi artis, orang nak tengok apa bakat dan kelebihan yang kita ada, apa naskah yang kita dah buat,” katanya.
Si bongsu yang degil
Sengaja mengusik dirinya sementelah kakaknya, pelakon tersohor Fasha Sandha pernah menyatakan Elisya seorang yang degil, dia tertawa besar.
Mengaku dia adakalanya bersikap begitu, kata Elisya, bagaimanapun tidaklah sehingga dia tergamak membelakangkan keluarga dalam satu-satu perkara.
“Biasalah anak bongsu, degil, nakal dan manja itu mesti ada. Saya dengan keluarga memang macam itu, adakala memang tak dengar kata.
“Kalau dari aspek kerjaya, memang saya akan akur, terutama kalau datangnya daripada Fasha. Orang kenal dia dalam industri macam mana.
“Jadi saya kena jadi macam dia dan jaga kelakuan agar tidak membusukkan namanya. Dulu dia garang tahu! Tapi sekarang dah okey sikit,” tawanya kecil. – Mingguan Malaysia










