Hutang pengusaha bas RM3 bilion - Utusan Malaysia

Hutang pengusaha bas RM3 bilion

Abdul Aziz Ismail Gani (lima dari kanan) bersama pengusaha bas membuat laporan polis kerana mendakwa kerajaan enggan membantu menyelesaikan masalah mereka yang berhutang dengan syarikat kredit di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 10,000 pengusaha bas pelancong dan bas ekspres di seluruh negara tersepit dengan bebanan hutang mencecah RM3 billion kerana tidak mampu membayar ansuran pinjaman kredit membeli bas.

Presiden Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (GAPP Bas Malaysia), Abdul Aziz Ismail Gani berkata, sejak Mac hingga Oktober lalu, ramai pengusaha tidak bayar ansuran bulanan kerana permintaan terhadap perkhidmatan bas merosot teruk.

“Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bas tidak bergerak dan kini dalam tempoh PKP Bersyarat (PKPB) pula, permintaan terhadap pengangkutan ini terutama bas pelancong tetap tiada.

“Macam mana kami mahu bayar ansuran bulanan beli bas,” kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, syarikat pinjaman kredit enggan memberi morataroium selain menekan pengusaha membuat ansuran penuh setiap bulan tanpa mengira situasi pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada bisnes mereka.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya lebih kesal dengan kerajaan yang bukan sahaja enggan membantu malah seolah-olah meminggirkan pengusaha bas.

“Kerajaan sepatutnya dengar masalah kami. Kami juga rakyat seperti individu lain. Jika kerajaan boleh minta bank memberi morotarium kepada pinjaman kenderaan lain, kenapa kerajaan enggan bantu meminta syarikat pinjaman kredit tawar moratarium kepada kami,” katanya.

Susulan itu, Abdul Aziz memberitahu, pihaknya mengambil keputusan membuat laporan polis terhadap lima kementerian yang didakwa enggan membantu menyelesaikan masalah mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya semalam.

Lima kementerian terbabit ialah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggunaan (KPDNHEP).

“Sebahagian besar kami sedang berhadapan situasi muflis dan gulung tikar kerana gagal menyelesaikan hutang,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, sebelum laporan polis dibuat, pihaknya menghantar surat kepada kementerian-kementerian terbabit pada Jun lalu untuk meminta bantuan, namun hanya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi maklum balas.

Kata beliau, pihaknya pernah mengadakan rundingan dengan syarikat pinjaman kredit namun tidak mendapat respons baik apabila pengusaha bas tetap diminta terus membayar ansuran pinjaman yang tinggi setiap bulan.

“Kami memberikan tempoh seminggu kepada lima kementerian tersebut untuk membantu menyelesaikan masalah kami.

“Sekiranya tiada tindakan kami akan berhimpun secara besar-besaran bagi menyerahkan bas kepada Kementerian Pengangkutan, ” ujarnya.

Sementara itu, di JOHOR BAHRU, Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Bas Johor, R. Thiagarajan berkata, ramai pemandu bas terpaksa meminjam daripada ah long berikutan masalah kewangan dan beban hutang terlalu tinggi.

“Terdapat 10,000 pengusaha bas di seluruh negara kini hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana pelbagai faktor terutamanya kesan penutupan pintu sempadan Malaysia dan Singapura.

“Pelaksanaan PKPB hari ini (semalam) menambahkan kesempitan hidup apabila kami tidak boleh lagi merentas daerah dan negeri bagi menghantar penumpang.

“Pendapatan kami berdasarkan operasi bas, kalau bas tidak dapat jalan, maka kami tidak dapat cari makan,” kata beliau jugas selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini semalam.

Terdahulu, dia bersama 20 pengusaha bas membuat laporan polis terhadap kerajaan ekoran kegagalan membela nasib mereka sehingga terpaksa mengikat perut demi meneruskan kehidupan dan menyara keluarga.

Thiagarajan merasakan mereka telah dianaktirikan kerajaan apabila tiada satu usaha dibuat untuk menjaga kebajikan mereka yang terkesan akibat Covid-19.

Katanya, lebih mendukacitakan Belanjawan 2021 dilihat tidak menyeluruh apabila hanya menyasarkan bas henti sedangkan bas lain seperti pelancongan, kilang dan sekolah juga mengalami nasib lebih teruk.

“Pelbagai surat dan memorandum dihantar kepada kerajaan, namun sehingga kini semuanya bisu seribu bahasa,” katanya.

Menurutnya, jika kerajaan masih membisu, semua pengusaha bas bukan sahaja dari Johor malah seluruh negara akan berhimpun di Putrajaya bersama bas masing-masing. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN