LONDON: Majalah Time Out menyenaraikan 40 kawasan kejiranan terbaik di seluruh dunia pada tahun ini.
Lapor CNN, tinjauan yang dilakukan majalah itu berdasarkan pandangan lebih 38,000 penduduk bandar global.
Majalah itu turut memberi tumpuan terhadap kawasan-kawasan kejiranan yang memiliki semangat kemasyarakatan tinggi serta komuniti dan perniagaan yang bekerjasama dan maju sepanjang tahun ini yang paling sukar dan mencabar.
Taman Paramount di Kuala Lumpur menduduki tempat ke-36 dalam senarai kawasan kejiranan terbaik
BERIKUT ADALAH LIMA KAWASAN KEJIRANAN TERBAIK:
#1 Esquerra de l’Eixample di Barcelona
Menurut Time Out, ketika Barcelona melaksanakan perintah berkurung yang ketat, blok pangsapuri Esquerra menjadi tumpuan utama di bandar tersebut.
Penduduk di kawasan tersebut menunjukkan semangat komuniti yang luar biasa menerusi inisiatif kejiranan seperti Hidrogel Sessions yang mana pesta tarian besar-besaran diadakan di balkoni semasa sekatan pergerakan berlangsung.
#2 Downtown di Los Angeles
Time Out memaklumkan tahun ini merupakan yang paling mencabar dalam sejarah Los Angeles.
Malah, Downtown menjadi ‘jiwa’ penyokong kepada penduduk tinggal sekitar kawasan ini.
Beberapa peristiwa penting berlaku antaranya penduduk berkumpul untuk berkabung kematian legenda bola keranjang, Kobe Bryant dan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tragedi kematian lelaki kulit hitam, George Floyd.
“Wujudnya titik tolak yang ketara menuju ke arah perpaduan ketika ribuan orang berkumpul di jalanan di Downtown,” jelas majalah itu.
#3 Sham Shui Po di Hong Kong
Menurut Time Out, bandar ini menjadi hos kepada sebilangan besar penduduk Hong Kong yang terpinggir selain ‘medan pertempuran utama’ bagi beberapa tunjuk perasaan sepanjang 2019 hingga tahun ini.
#4 Bedford-Stuyvesant di New York
Ketika protes Black Lives Matter berlaku, kawasan kejiranan ini berperanan sebagai hub utama.
Malah, semasa bandar ini dilanda pandemik Covid-19, beberapa rangkaian bantuan bersama muncul seperti BedStuy Strong bagi melindungi golongan yang mudah terdedah.
#5 Yarraville di Melbourne
Pelaksanaan dua perintah berkurung mungkin ‘melumpuhkan’ budaya Melbourne.
Namun, semangat komuniti Melbourne tidak berkurangan malah kawasan kejiranan paling baik adalah di kawasan luar bandar barat Yarraville.










