GEORGETOWN: Kerajaan negeri tidak akan meneruskan pembentangan usul untuk mengosongkan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada sidang Dewan Undangan Negeri yang berlangsung Isnin ini ekoran situasi terkini wabak Covid-19.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat setelah melihat kesan buruk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang mana berlaku peningkatan kes Covid-19.
“Setelah banyak pertimbangan dibuat dalam masa yang mencabar ini, kerajaan negeri melihat bahawa kesihatan dan keselamatan awam rakyat mesti didahulukan.
“Sehubungan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mesyuarat mingguannya telah memutuskan kita tidak akan meneruskan pembentangan usul ini pada persidangan akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Sebelum ini, seramai empat ADUN mengumumkan telah hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mana Kerajaan DAP Pulau Pinang merupakan sebahagian daripadanya.
Mereka ialah dua ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifli Md. Lazim (Teluk Bahang) serta Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) yang keahlian mereka digantung PKR.
Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang sebelum ini berkata, beliau telah menerima satu usul khas untuk mengisytiharkan kerusi ADUN yang telah melanggar undang-undang anti lompat parti itu sebagai kosong.
Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri yakin usul tersebut akan diperdebatkan secara meluas semasa persidangan akan datang dan Perkara 14A Perlembagaan Negeri akan ditegakkan dengan majoriti yang kuat.
“Kita yakin jika usul ini dibentangkan, pilihan raya kecil perlu diadakan dalam masa 60 hari, namun kerana situasi Covid-19 dan tidak mahu apa yang berlaku di Sabah berulang, usul ini ditangguhkan.
“Pembentangan usul berkenaan akan diteruskan pada sesi DUN yang lain ketika keadaan yang lebih sesuai tanpa membahayakan kesihatan orang ramai untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK),” katanya. – UTUSAN ONLINE










