`Audition' di tepi padang bola - Baggio - Utusan Malaysia

`Audition’ di tepi padang bola – Baggio

Baggio Damasutra - MINGGUAN/ MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AWAL 90-an, kewujudan kumpulan-kumpulan yang mendendangkan irama pop, balada dan slow rock mula membanjiri industri muzik tanah air. Walaupun muzik mereka tidak ‘sekeras’ rock kapak, namun ia masih diterima ramai memandangkan konsep dan lagu yang ditonjolkan mudah melekat di jiwa peminat.
Damasutra juga tidak terkecuali. mempertaruhkan lagu-lagu malar segar serta penampilan anggota kumpulan yang cukup versatile menjadikan kumpulan ini antara yang dikenali. Damasutra tidak mengambil masa lama mencipta nama apabila kemunculan album pertamanya berjaya mendominasi carta teratas pilihan pendengar di stesen-stesen radio tempatan.
Mingguan Malaysia berpeluang bertemu dengan vokalis utamanya, Bahagia Daharun, 49, atau Baggio yang sudi berkongsi cerita tentang zaman kegemilangan serta perkembangan terkini Damasutra yang suatu ketika dahulu pernah popular dengan lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi dan Asyik ini.
“Ketika di sekolah rendah dahulu saya pelajar yang aktif mengaji al-Quran dan menjadi wakil dalam pertandingan musabaqah antara sekolah. Waktu itu saya belajar di Sekolah Rendah Tronoh, Perak.
“Namun ketika berusia 10 tahun ayah meninggal dunia dan setahun kemudian emak pula menyusul meninggalkan saya sekeluarga. Ia cukup memberi tamparan dan cabaran besar kerana dalam usia semuda itu saya bergelar yatim piatu, apatah lagi saya anak bongsu dalam keluarga.
“Bila ayah dan emak meninggal dunia, saya tinggal bersama abang di Tanjung Malim dan belajar di situ. Sewaktu menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya berhijrah dan tinggal bersama kakak di Kajang, Selangor. Waktu itulah anak buah saya Joe, ahli kumpulan Slash mengajak saya berjinak-jinak dengan muzik,” ceritanya panjang lebar.
Menurut Baggio, ketika itulah dia mengenali Amran, bekas ahli kumpulan Fotograf. Amran memberitahu hajatnya menubuhkan sebuah kumpulan muzik dan mempelawanya menyertai mereka.
Baggio seakan tidak percaya dengan tawaran yang datang kepadanya ketika itu apatah lagi usianya ketika itu baharu menginjak 18 tahun serta tiada langsung pengalaman sebagai anak seni.
“Yang lawaknya, ketika itu Amran audition saya bukannya di studio, tapi di tepi padang bola dengan gitar kapok. Jadi, dia main gitar dan saya menyanyi. Setelah dia berpuas hati akhirnya dia bawa saya berjumpa bos syarikat rakaman Sinar Mesra yang merupakan label awal pembabitan Damasutra dalam industri muzik tanah air.”
“Sebenarnya nama awal Damasutra adalah Kamasutra. Waktu itu saya memang tak faham apa maksud Kamasutra, maklumlah waktu itu berhingus lagi. Masa buat rakaman di Kings Studio, Petaling Jaya, M.Nasir jumpa dan tanya apa nama kumpulan kami, jadi kami jawablah Kamasutra. Dia terkejut dan jawab, ‘korang dah gila ke?’Akhirnya barulah saya tahu Kamasutra itu bermaksud kitab lucah masyarakat purba India.
“Fikir punya fikir akhirnya kami ubah nama Kamasutra kepada Damasutra. Awang BPR bertindak sebagai penerbit album ketika itu. Alhamdullillah, album tersebut mendapat sambutan begitu menggalakkan. Lagu Umpama Mimpi dalam MImpi dan Antara Sutera dan Bulan melonjakkan nama Damasutra.
“Seluruh ahli keluarga dan rakan-rakan tidak tahu saya jadi penyanyi kecuali kakak, sehinggalah wajah saya muncul di kaca TV, majalah dan akhbar. Ketika itu mereka terkejut besar dan tak sangka saya jadi penyanyi.”
“Lagu Umpama Mimpi dalam Mimpi berjaya ke final Juara Lagu 1991. Walaupun mendapat saingan sengit dari kumpulan rock seperti Black Rose, Laksamana, Olan dan Dinamik, namun Damasutra berjaya mengungguli tempat kedua melalui persembahan terbaik,” katanya.
Menurut Baggio, rahsia Damasutra kekal bertahan ketika itu adalah melalui lagu-lagu hits yang dimuatkan dalam setiap album mereka.
Resepi mereka adalah memuatkan dua lagu hits dalam setiap album, contohnya lagu Asyik dan Sesat dalam Rindu dalam album kedua, Asyik (1992) dan lagu Sufi dan Seribu Bayangan dalam album ketiga, Kurnia (1993).
“Tawaran mengadakan persembahan pentas, ibarat goreng pisang panas. Saya pula seperti orang mabuk dapat microphone, maklumlah waktu itu usia masih muda dan tengah bersemangat. Tidak dinafikan waktu itu saya alami kejutan budaya bila sudah dikenali dan punyai ramai peminat.
“Pernah sekali saya terkena gosip yang agak memalukan kononnya saya bercium di belakang pentas bersama peminat. Sebenarnya tidak pernah terjadi pun. Gambar yang diambil ketika itu dari angle sisi.
“Sekali lihat seakan individu tersebut sedang mencium saya. Tapi bila dah nama gosip memang cepatlah tersebar. Waktu itu memang tak pasal-pasal saya kena maki dengan adik beradik,” ujarnya sambil ketawa.
Pada 1996, Damasutra akhirnya keluar dari label Sinar Muzik Productions dan berhijrah ke label gergasi BMG.
Menurut Baggio, bernaung di bawah label besar dan gah bukanlah jaminan untuk mereka terus sukses, apatah lagi setelah berehat selama dua tahun. Album Penawar yang diterbitkan pada 1996 tidak seperti yang diimpikan.

Konflik dalaman

Konflik melanda Damasutra apabila Amran mengambil keputusan untuk menggantikan saya dengan penyanyi baharu. Alasan Amran kononnya saya tidak memberikan komitmen kerana sibuk berlakon. Alasan itu cukup tidak berasas kerana saya sentiasa mengutamakan Damasutra kerana itu adalah periuk nasi utama saya, namun saya tidak mampu melawan tekanan dan akhirnya berundur secara terhormat”.
“Pada tahun 2000 saya menandatangani kontrak bersama EMI sebagai artis solo dan menghasilkan album kompilasi ‘Tangkap Nangis’ bersama arwah Shamrin Fotograf dan Aris Ariwatan. Selepas 25 tahun, akhirnya saya dan Damasutra buat comeback dalam projek reunion pada 2015 di Hard Rock Café Melaka. Seterusnya pada 2016, show di Ipoh bersama Teja, Sofea, dan SYJ.
“Legasi Damasutra diteruskan dengan beberapa persembahan amal termasuk konsert Air Mata Rohingya pada 2017. Dan pada 2020, saya menerbitkan single terbaru berkonsepkan irama balada berjudul Laduni Cinta hasil ciptaan Joe Slash,” katanya.
Terbaharu, Baggio aktif mengisi masa lapang bersama ahli kelab kayuhannya, Baggio Comunity Cycling Club bersama rakan strategik iaitu Kelab Kembara Kebajikan yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan Malaysia Kementerian Belia Dan Sukan. Pelbagai program diadakan termasuk menganjurkan aktiviti riadah serta kerja-kerja amal. Sesiapa yang berminat untuk menyertai bolehlah melayari Facebook #Baggio3ccycling dan Instagram BAGGIOMY. – Khabar Legenda, Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN