KUALA LUMPUR: Bukan satu tetapi ada beberapa lagi sindiket penipuan Macau Scam dan judi dalam talian dikenal pasti aktif di ibu negara.
Bagaimanapun sindiket yang dibongkarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini hanyalah salah satu daripada sindiket yang aktif.
Menurut sumber, semua individu warga tempatan yang direman SPRM baru-baru ini dipercayai berperanan sebagai orang tengah kepada sindiket yang didalangi warga China sebelum menjadikan negara ini sebagai call centre.
Ini sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa hanya mereka yang menjalankan Macau Scam sehingga ramai individu mengalami kerugian.
“Mereka yang ditahan SPRM baru-baru ini menjadi orang tengah dalam mencari lokasi dan peralatan untuk sindiket tersebut melakukan aktiviti.
“Individu tersebut juga yang akan membuat public relations dengan pegawai dan anggota polis yang ditahan supaya tiada tindakan diambil terhadap kegiatan yang dijalankan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu kata sumber, ada di antara kenderaan mewah yang dirampas dipercayai milik salah seorang selebriti terkenal yang dipanggil SPRM baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya akan memanggil lebih ramai individu bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram.
Jelasnya, mana-mana pihak yang pernah merasakan menerima duit daripada individu yang ditahan pihaknya sekarang perlu segera tampil sebelum pegawai SPRM memanggil mereka.
“Tidak kira selebriti atau tidak, saya tidak mahu membuat spekulasi (golongan selebriti) mana-mana pihak yang mungkin pernah menerima wang daripada individu yang ditahan itu perlu datang ke SPRM. Kalau kita panggil mereka ini jadi tidak berapa cantik, siapa makan cili dia terasa pedasnya.
“Kita akan layan mereka dengan baik sebab pegawai saya sudah ada senarai nama mereka, bukan saya suruh serah diri tetapi tampil ke hadapan memberikan kerjasama,” katanya dalam temu bual SPRM 360 yang disiarkan secara langsung menerusi MACC FM.
Tambah Azam, SPRM menyita 730 akaun bernilai RM80 juta milik ahli sindiket yang ditahan termasuk selebriti selain menyita 24 kenderaan mewah selepas lapan individu direman bagi membantu siasatan membabitkan kes pengubahan wang haram.
“Kira-kira lapan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) berusia 30 sehingga 57 tahun masing-masing berpangkat Asisten Komisioner, Superintenden, Deputi Superintenden, Inspektor, Sarjan dan Koperal selepas dipercayai melindungi sindiket tersebut selama ini.
“Selain itu, 11 rakyat tempatan dan seorang warganegara China masih ditahan reman oleh pihaknya bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung sindiket yang menyebabkan kerugian berjuta ringgit dalam kalangan rakyat tempatan,” katanya.
Difahamkan, Asisten Komisioner yang ditahan itu dipercayai memegang jawatan sebagai penolong pengarah di salah satu jabatan dalam PDRM.
Dalam pada itu, Azam menggesa orang ramai yang pernah terlibat dengan individu yang ditangkap itu tampil sebagai saksi dan pihaknya memberikan jaminan melindungi mereka mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Beliau berharap, pihaknya dapat menyita lebih banyak wang tunai dan aset kenderaan mewah daripada sindiket yang memperdaya orang ramai itu untuk diserahkan kepada pihak kerajaan sebelum dikembalikan kepada mangsa.
Jelasnya, siasatan yang dijalankan turut melibatkan kolaborasi dengan Jabatan Operasi Khas, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi melihat isu percukaian sekiranya ada.
“Penyiasatan kes ini agak rumit dan bukannya mudah serta berharap orang ramai bersabar kerana SPRM masih lagi mengesan sebarang aset yang sudah digubah kepada bentuk lain.
“Kita dapati beratus-ratus syarikat dummy yang sengaja diwujudkan bagi menyalurkan wang itu kerana modus operandi mereka apabila sudah melakukan kegiatan haram bagaimana hendak mencuci semula wang itu?
“Sebab itu, mereka menyalurkan wang kepada pihak lain yang hendak menjalankan perniagaan dan ahli sindiket ini akan memegang syarikat dalam keadaan tertentu bagi memastikan wang itu dibayar semula.” – UTUSAN ONLINE










