Ketum mangsa prejudis? - Utusan Malaysia

Ketum mangsa prejudis?

'LADANG' ketum di Kampung Perik, Kuala Nerang, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Untuk ne­geri Perlis sahaja, nilai ‘eksport’ tanaman ketum boleh mence­cah sehingga RM9 juta sebulan apabila 15,000 tan metrik tanaman itu diseludup ke Thailand.
Itu antara maklumat diperoleh Utusan Malaysia tentang tanaman tersebut yang memberikan gambaran potensi sebenar ketum sebagai komoditi yang boleh memberi keuntu­ngan kepada negara jika kesan buruknya mampu dikawal.

Malah, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail mendedahkan, ketum Malaysia adalah antara yang terbaik sehingga mendapat permintaan tinggi daripada negara-negara jiran.

Ia sekali gus memberi perspektif yang lebih positif tentang ketum yang selama ini diserang pandangan prejudis masyarakat.

“Jika kita lihat di Thailand mereka menggunakan nama ‘Kratom Malaysia’. Itu adalah produk ketum diproses yang mereka eksport ke Eropah.

“Ketum itu sudah pasti me­reka peroleh dari Malaysia, cara bagaimana mungkin dengan cara seludup. Tetapi apa yang ingin kita sampaikan adalah kualiti ketum Malaysia. Di situ sahaja sudah berapa ba­nyak hasil yang kerajaan hilang,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Bagi beliau, ketum tidak membawa mudarat kepada individu yang mengamalkannya sebaliknya ia boleh digunakan secara meluas untuk kesihatan seperti ubat sakit kulit, ubat kutu dan juga pengganti metadon bagi merawat penagih dadah.

KUALA NERANG 7 SEPTEMBER: Sekumpulan anggota penguatkuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Padang Terap melakukan pemeriksaan di sebuah rumah yang dijadikan tempat memproses daun ketum dalam satu serbuan di sebuah ladang ketum di Kampung Perik, Kuala Nerang, hari ini. – UTUSAN/SHAHIR NORDIN

Namun, isu salah guna ketum boleh berlaku apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mencampurkannya dengan dadah atau bahan lain untuk mendapatkan kesan yang lebih kuat.

“Ketum juga boleh menjadi alternatif kepada metadon bagi merawat pesakit yang meng­alami ketagihan opioid se-per­ti heroin. Tambahan pula pengambilan ketum tidak menyebabkan mengantuk ma­cam orang ambil metadon.

“Ini sebenarnya boleh dika­wal oleh kerajaan dengan me­lakukan penguatkuasaan dan mengambil tindakan kepada pelakunya,” katanya.

Kajian Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Yale Uni­versity yang diterbitkan Jun lalu juga memberi gamba­ran kemampuan ketum sebagai tanaman kesihatan yang berkualiti apabila tanaman itu didapati mampu meningkatkan ketahanan daripada rasa sakit.

Bagaimanapun, penilaian ter­hadap tanaman itu perlu dilakukan secara lebih objektif dan melibatkan penguatkuasaan undang-undang yang menyeluruh kerana seperti tanaman psikoaktif lain, ia terbuka kepada penyalahgunaan yang memudaratkan.

Ketika ini, belum ada mana-mana akta khusus yang digubal untuk mengawal penggunaan tanaman psikoaktif.

Sebaliknya, setiap tanaman dikawal mengikut akta yang berbeza.

Contohnya, peruntukan pe­nga­walan ganja terdapat dalam Akta Dadah Berbahaya 1952; ketum dalam Akta Racun 1952 dan tembakau dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau dalam Akta Makanan 1983.

Bagi Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang, mungkin sudah tiba masa untuk kerajaan menggubal akta khusus bagi mengawal penggunaan semua jenis tanaman psikoaktif dalam negara.

Kata beliau, ia juga boleh di­muatkan dalam pindaan Akta Racun 1952 yang telah dibaca buat kali pertama di Parlimen tahun lalu.

Bagi beliau, faktor pengawalan penggunaan tanaman-tanaman itu dalam kalangan masyarakat adalah yang paling penting.

“Jika kita mahu benarkan penggunaan ketum bagi tujuan perubatan, ia perlu melalui proses panjang bagi mengkaji kandungan dan kepenggunaannya secara teliti, seperti mana yang dilalui ubat-ubatan bersumberkan tanaman psikoaktif lain seperti morfin,” katanya kepada Utusan Malaysia. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN