REMBAU: Seorang bekas tentera tidak dapat melupakan detik cemas apabila dia terjun dari helikopter tanpa menggunakan alat keselamatan dalam satu operasi memburu komunis di Kuching, Sarawak sekitar awal tahun 70-an.
Veteran tentera itu, Kamaruddin Itam, 82, berkata, semasa Operasi Jala Raja di Kampung Muara Tebas, Kuching, Sarawak, dia mengambil keputusan terjun dari ketinggian 30 meter selepas mendapat maklumat awal kawasan perkampungan berpaya itu mula dijadikan sarang persembunyian komunis.
Menurutnya, dia nekad terjun dari helikopter namun sempat memberikan amaran kepada rakan lain untuk tidak berbuat demikian jika terjunannya itu berakhir dengan maut.
“Lain semangatnya masa itu, saya masuk tentera sebab nak pastikan negara kita ini akan terus aman, jadi saya tak kisah berkorban nyawa untuk negara demi kesenangan anak cucu di masa hadapan.
“Dalam operasi berkenaan, kumpulan saya berjaya menangkap seorang komunis yang bersembunyi di dalam kawasan berpaya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Bintongan, dekat sini kelmarin.

Kamaruddin menambah, kerana terlalu sayangkan negara, dia sering meminta untuk terlibat sama dalam operasi dan masuk ke dalam hutan bagi mengesan pihak musuh.
Jelasnya lagi, dia menyertai pasukan tentera kira-kira 10 hari sebelum negara merdeka dan telah diberikan amanah untuk berkhidmat di Congo sekitar tahun 60-an, ketika konfrantasi di antara Indonesia-Malaysia dan ketika negara diserang pengganas komunis.
“Sepanjang 22 tahun bertugas, 15 kali saya sambut Aidilfitri di hutan, namun itu bukanlah satu masalah buat saya lebih-lebih lagi keluarga memahami tugas saya.
“Saya mula dapat menyambut hari raya bersama keluarga apabila bertugas sebagai Pegawai Waran di Kem Terendak Melaka pada tahun 1972. Janggal juga rasa pada waktu itu kerana tidak berada di dalam hutan,” katanya.
Caption
KAMARUDDIN Itam bersama lebih 50 pingat yang diperolehnya sepanjang 22 tahun bertugas dalam tentera. – FOTO/NOR AINNA HAMZAH
KAMARUDDIN Itam yang memakai baju seragam berusia lebih 50 tahun menunjukkan potretnya yang dirakam awal tahun 1960-an selepas kejayaannya mendapat tempat pertama dalam satu kejohanan menembak.










