Ranggi berprinsip, itu Pyanhabib - Utusan Malaysia

Ranggi berprinsip, itu Pyanhabib

Pyanhabib Rahman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ORANGNYA cukup tertib, meskipun bergaya ranggi. Setiap kali terbatuk, ditekapnya tangan kanan ke mulut.

Senyuman juga tak pernah lekang, malah pada usia ‘emas’, beliau masih petah berjenaka. Pendek kata, gaya dan perwatakannya membuat siapa sahaja yang mendampinginya, tertambat.

“Saya ini boleh dikategorikan sebagai warga heritage, bukannya warga emas. Di usia sebegini, hanya ikut arus sahaja,” kata Pyanhabib Rahman.
Berkongsi suka-duka bersama Mingguan Malaysia baru-baru ini, deklamator dan penulis terkenal itu menceritakan perkembangan terkini.

“Saya baru balik mengembara naik keretapi. Pusing-pusing ke Pantai Timur, sambil itu buat rakaman untuk filem pendek.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasa lagi, merata saya berjalan. Naik train.

“Kalau ada program baca sajak, baca puisi di Pulau Pinang, di Kuala Lumpur atau di mana sahaja, saya hadir. Sebab ini, membaca sajak adalah periuk nasi saya,” tuturnya perlahan.

KEMBARA SENIMAN JALANAN
Dilahirkan di Taiping pada 1958, Pyanhabib nama yang tidak asing bagi peminat seni dan sastera tanah air.

Dalam kalangan peminat, namanya mula meniti di bibir massa ketika memegang watak Osman Tikus dalam filem Kembara Seniman Jalanan.

Selain itu, beliau turut membintangi beberapa filem lain, termasuk Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium pada 2015.

LATTIF MOHIDIN, NOVEL, AKHBAR JAWI
Kata penulis buku Balada Pyanhabib ini, minat menulis dan berpuisi mula menerjah rakus ke jantung sanubari sejak di bangku sekolah rendah, membara menanti masa untuk diekspresikan.

“Latiff Mohidin. Itulah antara sosok penulis yang beri inspirasi.

“Oh ya, ada satu lagi. Dahulu sejak tahu baca novel dan akhbar jawi, saya selalu baca novel karangan seorang penulis tersohor. Lama kemudian pada 1983, waktu itu saya dah bertugas di Utusan Malaysia, baru saya tahu, penulis sohor itu bertugas satu bumbung dengan saya. Beliau ialah Pak Sako,” ujarnya sambil mata merenung jauh, diulit nostalgia yang dibayangi memori silam.

Katanya, minat terhadap kesusasteraan didorong disiplin ibu dan ayah yang sentiasa membugarkan budaya membaca di rumah.

“Buku-buku tulisan Pak Sako yang banyak dibaca satu ketika dulu, dimiliki mak dan ayah. Pada masa sama, mereka juga melanggan akhbar, jadi secara tak langsung saya juga terdorong menghadam isi penulisan akhbar di rumah.

“Sewaktu menghadam ruangan cerpen dan sajak, saya belek-belek bahagian bawahnya untuk tengok nama si penulis. Dari situ baru saya tahu, mereka ini digelar penyair. Sejak itu jugalah, saya bercita-cita nak jadi penyair!” jelasnya.

PERIUK NASI
Atas prinsip dan iltizam itu, tanpa menoleh beliau pantas mengorak langkah meredah onak berduri dalam ‘hutan sastera’ tanah air.

“Pada 1983, saya mula sertai majalah Mastika, menguruskan kerja suntingan di bahagian pendidikan.

“Selepas 10 tahun, saya pindah pula ke Utusan Malaysia. Di sana, saya jadi penyunting selama 10 tahun.

“Kemudian pada 2003, selepas Malaysia menempuh drama politik reformasi (1998), saya undur diri. Sejak itu, saya jadi bebas merdeka,” jelasnya.

Berbekalkan semangat tegar seorang sasterawan, beliau kemudian mula memasuki fasa yang digelarnya sebagai `mangsa propaganda.’

MANGSA PROPAGANDA
“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, pihak pembangkang jemput saya baca puisi. Saya datang, sebab mereka bayar. Harus diingat, ba

ca puisi ini adalah periuk nasi saya.

“Pada masa sama, pihak UMNO pula mula serang saya, dakwa mereka saya ini pro-pembangkang. Itu tak betul! Apa sebab kerajaan waktu itu tak jemput saya baca puisi? Mereka ada bajet. Sebaliknya, pembangkang pula yang pelawa,”katanya.

Hal itu, katanya, mencipta prejudis dalam kalangan massa, kononnya beliau mula bersikap partisan.

“Hakikatnya adalah jauh berbeza, sebab abang ini neutral. Apa yang berlaku, segala konotasi ke atas abang, itu tak benar. Abang ini mangsa propaganda,” jelasnya lagi.

Menegaskan bahawa beliau seorang yang neutral dan tidak partisan, katanya, dia tidak gentar mengkritik mana-mana pihak yang menjadi kerajaan.

Ini kerana, sebagai rakyat dalam negara demokrasi, mereka berhak menegur salah laku dan kekurangan yang dirasakan berlalu dalam tadbir urus negara.

KALAU TIADA NASI?
Diajukan soalan mengenai matlamat hidupnya pada masa hadapan, Pyanhabib terkesima.

Dia merenung jauh. Dengan kening berkerut, sambil sesekali mengusap janggut yang beruban, dia berkata:

“Abang sudah warga heritage, tiada apa yang hendak dicapai lagi.

“Ke mana arus kehidupan mengulit, ke situ lah abang mengikutinya. Kalau ada pena dan kertas, abang tulis. Kalau ada buku, abang akan baca. Kalau ada nasi, abang makan,” katanya.

“Bagaimana pula kalau nasi habis?” soal saya.

“Kalau tiada nasi, kita makan quinoa,” ujar sosok yang pernah menolak anugerah pelakon pembantu terbaik tahun 1986 berseloroh, sebelum menutup perbualan. –Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×