Hentikan amalan surat sokongan - Utusan Malaysia

Hentikan amalan surat sokongan

SALLEH BUANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Amalan surat sokongan atau menggunakan ‘kabel orang dalam’ sepatutnya sudah tidak wujud lagi ketika kerajaan berusaha memerangi penyelewengan dan rasuah.

Amat menghairankan apabila masih ada pemimpin dalam pentadbiran negara yang se­olah-olah tidak serik, padahal unsur salah guna kuasa menjadi antara punca utama tumbang­nya kerajaan pada 9 Mei 2018.

Mengulas surat sokongan seorang timbalan menteri kepada menteri yang tular ketika ini, Pengarah Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel berkata, isu surat sokongan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sebagai perkara normal.

“Ia membunuh aspek daya saing, suatu gejala yang serius serta berpotensi mewujudkan agenda rasuah serta salah guna kuasa.

“Sebab itu kami tekankan untuk mengharamkan surat sokongan. Jika ada amalan sebegini dalam isu yang tular ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muh­yiddin Yassin mesti bertindak secara serius menanganinya,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.

Beliau mengulas isu surat sokongan membabitkan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz kepada menteri berkenaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tular dalam media sosial.

Menerusi surat terbabit, Ikmal Hisham dikatakan me­minta agar anaknya, Ikmal Hazlan disokong untuk dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga Bhd.

Sementara itu, pakar undang-undang, Datuk Salleh Buang berkata, adalah tidak wajar apabila surat sokongan yang dikemukakan mengandungi elemen mempengaruhi.

“Dari sudut undang-undang, surat sokongan yang tidak ada elemen mempengaruhi adalah tidak salah. Tetapi jika surat sokongan itu mengandungi ele­men mempengaruhi pembuat keputusan untuk melakukan sesuatu seperti ‘disokong’, itu adalah salah.

“Kita perlu lihat siapa individu yang beri surat sokongan itu dan siapa individu yang menjadi pembuat keputusan,” katanya.

Tambah Salleh, surat soko­ngan tidak sepatutnya menjadi amalan jika tidak mahu dipandang serong atau dituduh mengamalkan nepotisme oleh masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×