KUALA LUMPUR: Malaysia mampu bangkit semula lebih awal daripada kemelesetan ekonomi ekoran wabak Covid-19 walaupun Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan ekonomi dunia akan terus menguncup kepada 4.9 peratus sehingga tahun depan.
Badan ekonomi dunia itu juga menganggarkan 300 juta hilang pekerjaan di seluruh dunia pada suku kedua tahun ini.
Namun, negara ini dijangka pulih lebih awal berdasarkan petunjuk ekonomi tempatan yang mula memberikan reaksi positif terhadap dasar yang dilaksanakan kerajaan terutama sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pasaran saham dan nilai ringgit.
Walaupun kadar pengangguran di negara ini mencecah 5.3 peratus pada Mei dengan 826,100 orang hilang pekerjaan iaitu rekod tertinggi melangkaui kadar pengangguran ketika krisis ekonomi Asia pada 1997 (3.9 peratus) dan kelembapan ekonomi dunia sekitar 2007-2009 (4.1 peratus), penganalisis yakin Malaysia mampu bertahan dibantu dengan dasar-dasar kerajaan yang membantu menstabilkan ekonomi negara.
Kerajaan membuka semula ekonomi secara berperingkat mulai 4 Mei lalu. Rangsangan fiskal dan monetari di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjumlah RM295 bilion turut memberi sinar kepada sebahagian besar rakyat dan syarikat yang terjejas.
Penganalisis Kanan MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof yakin langkah yang diambil kerajaan akan mendorong pemulihan ekonomi negara pada suku ketiga tahun ini dan akan menunjukkan pertumbuhan pada suku keempat.
“Walaupun menyedari kemungkinan berlaku gelombang kedua Covid-19, kami yakin Malaysia mampu bertahan kerana pengalaman barisan hadapan dan kerajaan dalam menangani wabak ini dengan melaksanakan langkah-langkah yang mampu menstabilkan ekonomi negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, keyakinan itu turut disokong oleh pelabur runcit yang kembali melabur yang melonjakkan prestasi saham bermula Mei lalu dan ringgit pula diunjurkan berlegar secara purata RM4.22 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Secara dasarnya, penularan wabak Covid-19 menjadi krisis besar sehingga menjejaskan ekonomi global pada tahap terburuk dengan Bank Dunia mengunjurkan 90 peratus daripada ekonomi dunia mengalami penguncupan tahun ini.
Walaupun berdepan cabaran, Pengarah Negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina, Thailand, Asia Timur dan Pasifik, Ndiame Diop berkata, Malaysia mampu menangani krisis yang dihadapi dengan lebih baik berbanding negara lain.
Katanya, kerajaan telah menggerakkan enam strategi peringkat yang mampu memacu semula ekonomi secara kukuh dan berdaya tahan dengan peringkat pemulihan iaitu peringkat keempat menjadi asas dalam membentuk semula ekonomi.
“Ekonomi negara mempunyai asas yang kukuh dengan struktur ekonomi pelbagai, sistem kewangan mantap dan langkah pengurusan kesihatan awam yang berkesan serta sokongan dasar makroekonomi proaktif membantu mengurangkan kesan pandemik.
“Walaupun kita menjangkakan ekonomi menguncup tahun ini dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turun sebanyak 3.1 peratus termasuk penguncupan yang ketara pada suku kedua dan ketidaktentuan terhadap pemulihan ekonomi tetapi kita masih ada harapan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, penganalisis pasaran, Nazarry Rosli mengunjurkan indeks FBM KLCI berlegar sekitar 1,600 hingga 1,650 mata pada separuh kedua tahun ini.
Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia itu juga berkata, walaupun Bursa Malaysia mengalami kejatuhan teruk sejak awal tahun sehingga Mac lalu, terdapat sektor tertentu terutama penjagaan kesihatan, teknologi dan industri pembuatan berkaitan teknologi merekodkan prestasi memberangsangkan ekoran permintaan tinggi terhadap produk keluaran mereka.
Pasaran saham tempatan kembali melonjak melepasi 1,600 mata iaitu paras sebelum memuncak penularan Covid-19 pada 13 Julai lalu dengan kenaikan lebih 400 mata apabila ditutup 1,606.43 mata, tertinggi sejak 30 Disember 2019.
Felo Akademi Sains Malaysia, Dr. Madeline Berma memberitahu, walaupun Bank Dunia meramalkan ekonomi Malaysia menguncup, beliau optimis keadaan itu hanya bersifat sementara.
Katanya, pakej rangsangan dan pelan jana semula dapat mengurangkan beban rakyat dan PKS, isu dalam pasaran buruh dan peralihan kepada kebiasaan baharu khususnya berkaitan digital.
Sementara itu penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, negara berada di landasan terbaik untuk bangkit semula dan Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan untuk mengundur ke belakang.
Beliau yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Tun Abdul Razak menjelaskan, bagi merealisasikan harapan tersebut, kerajaan perlu lebih serius bertindak sebagai pemangkin bagi memandu para peniaga kecil, industri mikro, sederhana serta kumpulan-kumpulan pekerja lain dalam mengasah kemahiran baharu. – UTUSAN










