MUNICH, 18 April 2026 /PRNewswire/ — Kajian dunia sebenar yang terbesar seumpamanya, dibentangkan pada hari ini di ESCMID Global 2026, menunjukkan bahawa vaksinasi wanita hamil terhadap virus sinsitium pernafasan (RSV) mengurangkan risiko kemasukan ke hospital bagi bayi baharu lahir sebanyak lebih 80% apabila diberikan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum kelahiran.
RSV adalah virus biasa yang boleh mengakibatkan penyakit pernafasan yang teruk pada bayi dan kanak-kanak, termasuk jangkitan saluran pernafasan bawah (LRTI) seperti bronkiolitis dan pneumonia. Jangkitan ini adalah penyebab utama kemasukan bayi ke hospital di seluruh dunia, dengan jangkitan awal hayat yang dikaitkan dengan potensi kesan jangka panjang termasuk berdehit atau asma berulang, kemasukan berulang-kali ke hospital dan kesihatan paru-paru yang terjejas.
Di England, program vaksinasi RSV wanita hamil kebangsaan telah diperkenalkan pada 1 September 2024, menawarkan vaksin F Pragabungan Dwivalen kepada wanita hamil dari usia kehamilan 28 minggu.
Untuk menilai impak program terhadap kemasukan bayi disebabkan oleh LRTI yang berkaitan dengan RSV, penyelidik dari Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) mengendalikan kajian kohort retrospektif menggunakan set data kebangsaan yang berkaitan, termasuk rekod bersalin NHS, data imunisasi, serta data hospital dan makmal. Analisis tersebut merangkumi 289,399 bayi yang dilahirkan antara 2 September 2024 dan 24 Mac 2025, mewakili kira-kira 90% kelahiran di England dalam tempoh ini.
Bagi seluruh populasi kajian, sebanyak 4,594 kemasukan ke hospital berkaitan RSV direkodkan. Walaupun bayi yang dilahirkan oleh ibu yang tidak divaksinkan membentuk 55% daripada jumlah kohort, mereka menyumbang 87.2% daripada kemasukan ke hospital.
Sebaliknya, bayi yang ibunya telah divaksinkan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum kelahiran mempunyai risiko kemasukan ke hospital yang jauh lebih rendah, dengan keberkesanan vaksin dianggarkan sebanyak 81.3%, berbanding dengan kumpulan yang tidak divaksinkan.
Pengarang utama dan ahli epidemiologi UKHSA Matt Wilson mengulas, "Memandangkan kajian terbesar setakat ini mengkaji impak vaksin ini terhadap kemasukan bayi ke hospital, dapatan ini memberikan bukti kukuh bahawa vaksinasi menawarkan perlindungan yang besar terhadap penyakit yang teruk pada bayi baharu lahir. Kami mendapati hubungan yang jelas antara pemasaan dan perlindungan, dengan keberkesanan meningkat apabila selang antara vaksinasi dan kelahiran yang mengambil masa yang panjang, mencapai hampir 85% apbila vaksinasi dilakukan sekurang-kurangnya empat minggu sebelum bersalin."
Kajian ini juga menyiasat hasil pada bayi pramatang. Keberkesanan vaksin dianggarkan 69.4% pada bayi pramatang, apabila membenarkan sekurang-kurangnya 14 hari antara tarikh vaksinasi dan kelahiran.
"Dapatan ini amat penting untuk bayi pramatang, yang merupakan antara yang paling terdedah kepada jangkitan RSV yang teruk," tambah Wilson. "Dengan masa yang mencukupi antara vaksinasi dan kelahiran, kami melihat tahap perlindungan yang baik pada bayi ini."
Sumber artikel: http://www.prnasia.com/asia-story/archive/4932591_MS32591_6










