PETALING JAYA: Kejadian buli membabitkan sekumpulan pelajar dengan seorang remaja perempuan yang tular di media sosial telah diambil tindakan oleh pihak sekolah bersama pegawai perhubungan sekolah (PPS).
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, setakat ini, tiada laporan diterima daripada mana-mana pihak berhubung kejadian.
“Siasatan mendapati insiden berlaku pada 16 April lalu kira-kira pukul 11.30 pagi, namun rakaman tersebut tidak menunjukkan sebarang sentuhan fizikal atau interaksi lisan yang bersifat agresif.
“Susulan itu, pihak sekolah bersama PPS telah mengadakan sesi pertemuan dan libat urus melibatkan ibu bapa atau penjaga mangsa serta kesemua pelajar yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular satu video menujukkan sekumpulan pelajar sekolah di Kajang dekat sini dilihat mengejek dan mengeluarkan kata-kata provokasi terhadap pelajar perempuan.
Menurutnya, tindakan sewajarnya juga telah diambil oleh pihak sekolah terhadap tujuh pelajar berkenaan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
Jelasnya, polis akan terus bekerjasama rapat dengan pihak sekolah dalam memantau situasi ini serta memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat.
“Kami juga memberi perhatian terhadap sebarang bentuk perlakuan, termasuk penggunaan kata-kata yang boleh menjejaskan emosi pelajar.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan kesejahteraan pelajar terlibat,” katanya. – UTUSAN










