Lebih 2,600 kes ceroboh sempadan

Lebih 2,600 kes ceroboh sempadan

MOHD. Rosli Abdullah ketika temubual berkaitan kedaulatan laut negara di Putrajaya baru-baru ini. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perairan negara semakin terancam apabila lebih 2,600 kes pencerobohan direkodkan dalam tempoh dua tahun lalu.

Pencerobohan tersebut jelas mengancam kedaulatan negara apabila ia membabitkan jenayah rentas sempadan dan sumber ekonomi marin.

Ancaman paling ketara berlaku di perairan Laut China Selatan apabila wujud cubaan mencabar kedaulatan negara melalui taktik gray zone membabitkan kapal pihak berkuasa dan penyelidikan asing di Zon Eko­nomi Eksklusif (ZEE) Malaysia terutama di wilayah Beting Patinggi Ali.

Ancaman lain termasuk pencerobohan oleh nelayan asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI), pengedaran dadah, pemerdagangan manusia, jenayah rentas sempadan dan penyeludupan barangan bersubsidi.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, pada 2024 sebanyak 1,317 pencerobohan perairan negara direkodkan, sementara tahun lalu sebanyak 1,373 kes.

Kemunculan fenomena dark fleet turut mencetuskan kebimbangan apabila kapal tangki usang mematikan sistem Automatic Identification System (AIS) bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, menjalankan aktiviti pemindahan minyak secara ha­ram di laut terbuka.

Katanya, aktiviti itu bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa malah berisiko tinggi menyebabkan tumpahan minyak besar tanpa perlindu­ngan insurans.

“Justeru, kita (Maritim Malaysia) menggunakan pendekatan show of presence secara konsisten bagi mempertahankan kedaulatan negara dan melindungi aset strategik petrokimia negara,” katanya dalam temubual bersama Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Dark Fleet merujuk kepada kapal yang menyembunyikan identiti dan lokasi bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa dengan mematikan atau memanipulasikan sistem Automatic Identification System (AIS).

Aktiviti ini sering dikaitkan dengan perdagangan berisiko tinggi seperti minyak dan bahan terlarang terutama dari negara yang disenarai hitam (sanction).

Mohd. Rosli berkata, pen­cerobohan perairan negara turut membabitkan kemasukan nelayan asing yang menjalankan aktiviti menangkap ikan haram atau Unreported and Unregulated (IUU) Fishing yang boleh menjejaskan sumber perikanan negara.

Kata beliau, kegiatan itu bukan sahaja menyebabkan kerugian hasil laut, malah merosakkan ekosistem marin dan menjejaskan pendapatan nelayan tempatan.

“Lebih membimbangkan, terdapat kumpulan nelayan asing bertindak agresif termasuk merempuh aset penguat kuasa bagi mengelak ditahan, sekali gus meningkatkan risiko kese­lamatan kepada anggota bertugas,” katanya.

Kata Mohd. Rosli, Maritim Malaysia juga berdepan sindiket jenayah rentas sempadan yang aktif dalam penyeludupan manusia, pengedaran dadah dan penyelewengan barang bersubsidi yang aktif di Selat Melaka dan perairan timur Sabah.

Katanya, penggunaan bot fi­ber berkuasa tinggi oleh sindiket menuntut keupayaan pengesanan dan pemintasan yang lebih pantas serta berteknologi tinggi.

“Di perairan juga, kita (Mari­tim Malaysia) tidak terlepas isu kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan pelarian termasuk dari Myanmar.

“Sindiket pemerdagangan manusia dikesan menggunakan taktik mengeksploitasi ‘titik buta’ di sepanjang pesisir pantai selain memanipulasi situasi kecemasan bagi memaksa operasi menyelamat dilaksanakan,” katanya.

Mohd. Rosli berkata, keadaan itu meletakkan Maritim Malaysia dalam dilema antara melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan memenuhi tanggungjawab kemanusiaan sejagat.

“Ancaman di perairan negara kini melangkaui bentuk tradisio­nal dengan melibatkan perubahan modus operandi jenayah, tekanan geopolitik dan isu kelestarian sumber marin.

“Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan kesiapsiagaan operasi dan pengawasan bersepadu bagi memastikan kedaulatan serta kese­lamatan perairan negara kekal terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN