KUALA LUMPUR: Penyanyi, Irfan Haris mendedahkan kakaknya, Amira Othman terpaksa menarik diri daripada membuat persembahan duet bersamanya untuk lagu Rasa dan Takdir di pentas separuh akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) malam tadi atas faktor kesihatan.
Menurut Irfan, keputusan tersebut dibuat pada saat akhir selepas keadaan kesihatan Amira tidak mengizinkan, sekali gus memaksa mereka mencari pengganti dalam tempoh yang sangat singkat.
“Kakak saya tidak dapat membuat persembahan atas faktor kesihatan kerana keadaannya tidak cukup cergas. Saya juga tidak mahu memaksanya kerana kesihatan adalah keutamaan.
“Jadi saya katakan tidak mengapa dan kita cari pengganti. Saya tidak mahu menarik diri daripada lagu ini kerana terlalu sayang, tambahan pula sudah 10 tahun saya tidak pernah terlepas peluang. Jadi saya mengambil keputusan untuk teruskan juga,” katanya.
Mengulas lanjut, Irfan berkata Amira turut membantu bersungguh-sungguh dalam usaha mencari pengganti sebelum akhirnya memilih Umairah berdasarkan bakat yang dimiliki.
“Kakak saya memang berusaha bersungguh-sungguh, dia bertanya kepada ramai kenalan, namun kebanyakan tidak dapat membantu. Akhirnya, Umai menjadi pilihan.
“Saya sendiri terfikir mengapa tidak memikirkan Umai lebih awal kerana dia memang memiliki vokal yang bagus. Saya terus bersetuju kerana yakin dengan bakat yang dimilikinya,” ujarnya.
Irfan turut memaklumkan bahawa dia hanya mengetahui perkara tersebut beberapa hari sebelum persembahan berlangsung, walaupun perancangan awal telah dimuktamadkan.
“Saya hanya dimaklumkan pada hari Jumaat lalu. Sepatutnya, selepas pengumuman dibuat, semuanya sudah dimuktamadkan termasuk tarikh. Namun atas faktor kesihatan, kakak saya memaklumkan bahawa dia tidak dapat membuat persembahan.
“Pada awalnya saya cuba memujuk kerana memang mahu beraksi bersama, tetapi akhirnya saya merasakan tidak adil untuk memaksanya dalam keadaan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Irfan mengakui masa latihan bersama Umai sangat terhad, namun tetap berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan.
“Kami sebenarnya hanya sempat berlatih pada malam sebelum persembahan. Ini semua tentang kepercayaan. Saya percaya Umai mampu membawa lagu ini dengan baik. Kami bertemu sekitar pukul 5 petang dan terus menjalani sesi latihan serta ‘soundcheck’. Walaupun hanya beberapa kali mencuba, saya berpuas hati dan merasakan kami telah memberikan yang terbaik.
“Saya sentiasa berhubung dengan kakak dan dia sangat mengambil berat. Ketika sesi ‘soundcheck’, dia meminta saya menghantar video kerana ingin mendengar. Pada petang tadi juga kami masih berhubung. Dia berpesan agar saya tidak tertekan dan hanya menikmati persembahan.
“Katanya, jika terlalu memikirkan, ia akan menyebabkan tekanan. Soal rezeki semuanya telah ditentukan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Irfan tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk mara ke peringkat akhir, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada rezeki.










